WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.162.173.119' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.162.173.119','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Siapakah Generasi 2040?','/?p=3068','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Noor Sulastry Yurni Ahmad

Generasi muda di Korea Selatan sering diklasifikasikan berdasarkan latar belakang sejarah hidup, tahun kelahiran, peristiwa dan tahap umur. Kini, politik tempatan diasak dengan bahang pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Konflik parti masih lagi dalam proses pemulihan dan pelbagai langkah diambil untuk menangani kemelut politik dalaman di samping berusaha untuk meraih kembali sokongan daripada rakyat yang meragui ketelusan dan kecekapan parti pemerintah. Oleh hal yang demikian, kanta politik Korea Selatan masih tidak terlepas daripada menyasarkan kelompok muda atau golongan belia yang berstatus sebagai pengundi dan subjek utama dalam perbincangan politik kontemporari.

Kehadiran mereka dalam landskap politik benar-benar memberikan impak terhadap pilihan raya pada tahun ini. Jika kumpulan 2030 merupakan salah satu kelompok yang bakal menjadi penentu dalam politik tempatan, kini tumpuan beralih pula kepada generasi baharu yang dikenali sebagai generasi 2040. Kumpulan ini amat mudah diinterpretasikan dan diterjemahkan semula dengan menggunakan angka 20 dan 40.

Namun begitu, hubungan antara kumpulan berusia 20-an dengan 40-an ini bertunjangkan ikatan pertalian darah, yakni hubungan keluarga. Kumpulan yang berusia 20-an merupakan golongan anak muda yang sedang menempuh perjalanan hidup baharu untuk mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Pelbagai cabaran harus dilalui dan perlu bersaing untuk membolosi tembok penempatan di universiti serta menanggung kos yuran pengajian yang tinggi.

Persaingan menjadi semakin sengit apabila pihak universiti mengetatkan dasar kemasukan dengan meletakkan beberapa syarat dari segi kelulusan yang mengekang mereka daripada meneruskan cita-cita untuk bergelar siswazah. Kos yuran pengajian yang tinggi menjadi beban kepada mereka dan diasak pula dengan situasi ekonomi yang semakin tegar. Walaupun Korea Selatan merupakan salah sebuah negara Asia yang termasyhur dengan kestabilan ekonomi dan negara gergasi dalam sektor automobil, minyak, dan telekomunikasi, “kesempitan hidup” untuk mengumpul aset merupakan cabaran utama bagi warga negara itu.

Isu yuran pengajian di kolej dan universiti semakin mendapat perhatian parti pemerintah, Grand National Party (GNP), apabila para penunjuk perasaan melaungkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan parti dalam menangani isu tersebut. Oleh hal yang demikian, GNP mengambil langkah pantas mengumumkan bahawa yuran pengajian akan dikurangkan sebanyak 30 peratus pada 2014, bagi menghentikan rakyat daripada terus berdemonstrasi kerana yuran pengajian yang mahal.

Kerajaan melaporkan bahawa belanjawan berjumlah dua trilion won (RM4.4 bilion) disediakan pada 2012 bagi mengurangkan kos yuran pengajian sebanyak 15 peratus. Hal ini dilakukan berikutan cadangan oleh parti pembangkang yang mahu memperkenalkan undang-undang bagi mengurangkan yuran, membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan membentuk semula yayasan kolej swasta. Tekanan yang diterima daripada parti lawan tersebut mendesak parti kerajaan untuk membuat keputusan supaya mengurangkan peratusan yuran pengajian pada 2013 dan 2014.

Menurut University World News (2007 hingga 2012), soal selidik tinjauan pendapat yang terkini menunjukkan bahawa kebanyakan responden atau rakyat menyokong serta memilih kos yuran kolej yang rendah. Pelajar menyasarkan bantahan yuran pengajian universiti yang tinggi tersebut kepada Presiden Lee Myung Bak dan ahli GNP yang lain.

Pada 2011, banyak pelajar yang berdemonstrasi di jalanan kerana tidak berpuas hati dengan yuran pengajian sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan parti pemerintah. Demonstrasi tersebut melibatkan beberapa kumpulan masyarakat sivil dan parti pembangkang serta bergabung dengan 510 kumpulan sivik yang membentuk sebuah pakatan untuk menyokong pelajar dalam mencapai matlamat kempen tersebut.

Golongan muda bukanlah satu-satunya kelompok yang dibelenggu masalah ini. Kemelut amat terkesan kepada ahli keluarga, terutamanya ibu bapa yang berusia dalam lingkungan 40 tahun, yang perlu menanggung dan membayar yuran pengajian anak mereka sehingga tamat pengajian.

Bersandarkan kerjaya yang sedia ada untuk menampung keluarga, ditambah pula kos kehidupan yang semakin meningkat, ibu bapa berpandangan bahawa kerajaan perlu bersama-sama membantu rakyat Korea Selatan dalam usaha mengurangkan kos yuran pengajian universiti. Hal ini merupakan langkah untuk menggalakkan lebih banyak anak muda yang bijak pandai bersaing secara adil untuk mendapatkan tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.