Oleh Tam Chan Lian

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bakal menjelang tiba. Adakah penduduk Malaysia sudah bersiap sedia untuk mengundi dari segi mental dan emosi? Pernahkah rakyat terfikir tentang faktor psikologi dan psikososial yang mempengaruhi pilihan raya di Malaysia?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perwatakan individu, pengaruh sosial, dan rakan sebaya serta pemikiran dalaman memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kesedaran seseorang tentang keadaan politik, pemilihan parti politik serta kebarangkaliannya untuk mengundi dalam pilihan raya yang akan datang. Banyak pakar psikologi dan politik menjelaskan bahawa faktor psikososial, seperti ciri jiran tetangga, tahap pendidikan seseorang, status perkahwinan, jantina dan peringkat umur, turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keinginan pengundi untuk mengundi dalam pilihan raya.

Selain itu, kempen yang dilakukan oleh parti politik, pengetahuan umum tentang politik, khususnya dalam kalangan belia, turut mempengaruhi persepsi mereka tentang kecekapan parti politik. Pelbagai usaha gigih dilakukan termasuk menganalisis aliran politik berasaskan keputusan pilihan raya yang lepas, dan secara tidak langsung, tidak dapat dinafikan bahawa faktor psikologi dan keadaan sosial seseorang memainkan peranan yang penting dalam menentukan tingkah laku pengundi.

Antara faktor yang penting termasuklah kognitif. Faktor kognitif merujuk pengetahuan seseorang tentang keadaan politik serta beberapa isu penting yang sedang berlaku. Sebagai contoh, isu yang berhubung kait dengan pembangunan ekonomi, pendidikan mahupun hak asasi. Menurut Heath, Anderson dan Sinnott dalam Do Less Informed Voters Make Mistakes? Political Knowledge and Electoral Choice, seandainya pengundi tidak memperoleh maklumat yang tepat tentang situasi politik negaranya, besar kemungkinan mereka akan terpengaruh dengan kempen politik yang menarik.

Dapatan tersebut menunjukkan bahawa terdapat juga golongan pengundi yang cenderung untuk mengambil jalan singkat tanpa mengambil masa untuk memahami aliran politik yang terlibat. Situasi seperti ini berlaku mungkin kerana sikap manusia yang malas berfikir dan lebih selesa untuk mengambil jalan singkat ketika membuat keputusan.

Contohnya, dalam kalangan masyarakat Cina, khususnya mereka yang duduk di kawasan luar bandar dan kurang terpelajar, mereka lebih rela untuk mengikut kumpulan lain, sama ada ahli keluarga ataupun jiran tetangga, ketika membuat keputusan untuk mengundi. Menjelang pilihan raya, penduduk setempat, khususnya masyarakat kampung, mengambil peluang berborak mesra antara satu sama lain di rumah, pasar atau kedai kopi. Ketika itu mereka memberikan komen serta bertukar-tukar fikiran tentang parti politik masing-masing.

Begitu pun, pada saat akhir, sebahagian besar mengikut aliran majoriti dengan mengambil kira manfaat maksimum yang boleh dinikmati sekiranya memilih calon yang bakal memimpin kawasan mereka. Selain itu, besar kemungkinan akan munculnya golongan pengundi yang hanya mementingkan parti politik dan tidak begitu mengambil kira calon yang bakal memimpin.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.