Oleh Iqbal Ikhwandi Mat Zin

Bidang animasi atau kartun berkembang dengan pesat di negara ini apabila banyak syarikat produksi berani melaburkan wang bagi menerbitkan filem genre tersebut. Sebaik untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Jika diimbas kembali sejarah, animasi pertama di dunia ialah wayang kulit. Dengan bentuk sendi tangan yang digerakkan, wayang kulit merupakan bentuk yang digunakan dalam animasi guntingan. Animator dari Jerman, Lotte Reiniger, mendapat ilham untuk membuat filemnya, The Adventures of Prince Achmed (1926), yang berasaskan wayang kulit.

Animasi di Malaysia bermula pada 1946 dengan tertubuhnya Unit Filem Malaya yang kini dikenali sebagai Filem Negara. Filem animasi pendek yang pertama ialah Hikayat Sang Kancil dan ditayangkan pada 1983. Selepas itu, filem pendek yang muncul antara 1984 hingga 1987 ialah Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba.

Gesaan kerajaan terhadap penggunaan teknologi digital pada awal 1980-an menyaksikan penghasilan siri televisyen (TV) pertama, Usop Sontorian, oleh sektor swasta. Manakala, filem animasi tempatan pertama ialah Silat Lagenda dengan kos produksi sebanyak RM3.5 juta. Filem ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan ditayangkan kepada umum pada 1998. Selain itu, animasi tempatan lain yang berjaya menggemparkan siaran tempatan, seperti Anak-anak Sidek dan Keluang Man yang, berjaya mendapat tempat di saluran utama TV tempatan.

Selepas berakhirnya era Usop Sontorian, Anak-anak Sidek dan Keluang Man, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd, salah sebuah penerbit tempatan, menerbitkan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula…, yang pada mulanya hanya menembusi siaran TV tempatan melalui siri Upin dan Ipin. Geng: Pengembaraan Bermula.. (2009) dilihat oleh banyak pihak sebagai menyamai filem animasi luar negara, khususnya dari aspek kualiti.

Biarpun penggunaan teknologi animasi yang digunakan tidak secanggih peralatan yang digunakan oleh penerbit animasi di luar negara, kemampuan penerbit filem ini menghasilkan Geng: Pengembaraan Bermula.., memang membanggakan. Menurut pengarah filem tersebut, Mohd. Nizam Abdul Razak, pasukan produksinya mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan filem tersebut dengan bantuan 40 orang animator tempatan yang sebahagiannya terdiri daripada graduan universiti tempatan dan menelan kos sebanyak RM4 juta.

Selepas Upin dan Ipin, sebuah lagi siri animasi yang berjaya diterbitkan. Boboiboy (2011), oleh syarikat tempatan, Animonsta Studio Sdn. Bhd, melonjakkan kemampuan kumpulan produksinya yang berjaya mencipta produk animasi yang setanding dengan produk animasi luar negara. Pembikinan Boboiboy mencecah kos sebanyak RM2.6 juta untuk 30 episod dengan 25 orang tenaga pakar yang dikerah untuk menyiapkan siri tersebut yang mengambil masa selama 18 bulan untuk dihasilkan. Menurut pengarah urusan Animonsta Studio, Mohd. Nizam Abdul Razak (yang juga merupakan pengarah untuk filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula..), idea Boboiboy timbul selepas mendapati bahawa Malaysia belum mempunyai ikon hero super kanak-kanak tempatan.

“Kami menghasilkan animasi yang mampu menambat hati penonton tempatan, terutama golongan kanak-kanak, dengan konsep ‘hero super kita’ yang disertakan dengan humor,” jelas Mohd. Nizam Abdul Razak, dalam sebuah akhbar tempatan pada Januari 2011.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.