Oleh Mohd. Din

Industri enterpris kecil dan sederhana (EKS) mewakili 99.2 peratus daripada perniagaan di Malaysia dan menyumbang sebanyak 56.4 peratus kepada jumlah guna tenaga di negara ini. EKS turut menjadi komponen penting bagi ekonomi Malaysia dan berpotensi sebagai jentera utama pertumbuhan dan inovasi.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, meskipun menghadapi pelbagai cabaran, nilai tambah EKS berkembang pada kadar 7.8 peratus, iaitu lebih pantas daripada keseluruhan pertumbuhan ekonomi. Sumbangan EKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut meningkat daripada 29.4 peratus pada 2005 kepada 31.4 peratus pada 2008. Peningkatan tersebut hasil daripada inisiatif dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, termasuk penyelarasan yang lebih baik antara kementerian, agensi dan penubuhan Majlis Pembangunan EKS Kebangsaan (NSDC).

Bagi merealisasikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan komited dalam usaha menyerlahkan potensi pertumbuhan dan inovasi EKS. Usaha ini dilakukan bagi melahirkan juara domestik, serantau dan global. Bagi tujuan tersebut, inisiatif tersebut dilaksanakan, dengan tujuan mengurangkan kos kawal selia yang ditanggung EKS; membina keupayaan dan kebolehan EKS; menyokong pewujudan budaya keusahawanan; mengukuh sistem sokongan EKS; dan meningkatkan akses EKS kepada pembiayaan.

Terdapat beberapa isu kawal selia yang dirasakan bercanggah oleh EKS yang lazimnya tidak mempunyai sumber kewangan untuk memenuhi keperluan syarat kawal selia secara berkesan kos. Kajian Bank Dunia 2010, meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-88 dan ke-57 bagi dua isu kritikal, iaitu memulakan perniagaan dan menutup perniagaan. Dalam tempoh RMK-10, bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan, kerajaan mengecualikan beberapa peraturan perniagaan yang membebankan untuk syarikat yang mempunyai lima orang pekerja atau kurang sehingga syarikat berkembang melebihi lima orang pekerja. Beberapa peraturan dipermudahkan untuk syarikat yang terlibat dalam urusan, seperti pendaftaran perniagaan dan keperluan tenaga kerja.

Perkembangan EKS pada masa ini dikekang oleh kekurangan tenaga mahir. Setelah menyedari hal tersebut, beberapa program dirangka oleh kerajaan untuk menjanakan perkembangan EKS, iaitu latihan di Multi-National Corporations (MNC) atau syarikat besar. Latihan praktikal turut diberikan kepada pekerja syarikat EKS yang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada syarikat besar dan MNC bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Antara latihan yang disediakan termasuklah program latihan kemahiran, iaitu kursus dalam bidang pengurusan, kewangan, pemasaran dan aplikasi Internet oleh institut latihan yang diiktiraf oleh kerajaan dengan sasaran 20 ribu EKS terlibat sepanjang tempoh RMK-10 (2011 hingga 2015). Kerajaan turut menyediakan pelan latihan industri jangka sederhana bagi menyokong EKS dalam pengurusan modal insan.

Kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan perdagangan dan industri untuk membangunkan pelan latihan jangka sederhana dan menjalankan latihan yang berkaitan dengan industri. Turut disediakan ialah sumber latihan luar negara. Kerajaan turut membantu EKS untuk mendapatkan latihan dalam bidang yang tidak ditawarkan di negara ini dengan mengambil pakar dan jurulatih asing.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.