Oleh Zulkifli Salleh

Pada September tahun lalu, Robert D. Kaplan (The Washington Post) menyatakan perihal anjakan kuasa di Asia berikutan kemerosotan Amerika Syarikat (AS) dari segi ekonomi dan ketenteraan. Pada 2020, dengan memetik kajian Rand pada 2009, bahas beliau, AS tidak mampu mempertahankan Taiwan daripada serangan udara China. Robert D. Kaplan, walau bagaimanapun, tidak menyatakan kedatangan abad Pasifik, sebaliknya menegaskan bahawa perbincangan tentang kemerosotan AS tanpa mengetahui suratan takdir kuasa, seperti China, adalah tergesa-gesa.

Tatkala perhatian terus tertumpu pada Asia kerana dua daripada empat buah negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) dari Asia, krisis ekonomi di Barat, perubahan landskap politik di Timur Tengah, dan pengunduran tentera AS dari Iraq dan Afghanistan. Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, dalam Foreign Policy keluaran November tahun lalu (“America’s Pacific Century.”) menegaskan bahawa masa hadapan politik akan diputuskan di Asia, bukannya di Afghanistan atau Iraq, dan AS akan betul-betul di pusat tindakan.

Hillary Clinton memulakan penulisannya seakan-akan meluahkan kekesalannya kerana sepanjang 10 tahun lalu, negaranya banyak memperuntukkan sumber kepada dua peperangan. Satu daripada tugas penting tata urus AS sepanjang dekad yang akan datang untuk memasungkan peningkatan pelaburan yang besar dalam bidang diplomatik, ekonomi dan strategik di rantau Asia-Pasifik. Beliau mengakui bahawa rantau ini menjadi pemacu utama politik dunia, dari benua kecil India ke pantai barat Amerika, rantau yang merentangi dua lautan, iaitu Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, semakin dihubungkan oleh perkapalan dan strategi. Tambah beliau lagi, rantau ini memasukkan banyak jentera utama ekonomi global, di samping pemancar besar gas rumah hijau.

Memanfaatkan pertumbuhan dan dinamisme Asia, jelas Hillary Clinton, penting untuk ekonomi dan kepentingan strategik AS dan penting bagi Presiden Barack Obama. Pasaran terbuka di Asia menyediakan AS peluang yang tidak pernah berlaku untuk pelaburan, perdagangan dan akses kepada barisan hadapan teknologi. Dari segi strategik, beliau menjelaskan bahawa mengekalkan keamanan dan keselamatan di sepanjang Asia-Pasifik penting untuk kemajuan global, sama ada menerusi kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, melawan usaha Korea Utara, ataupun memastikan ketelusan dalam aktiviti ketenteraan pemain utama di rantau ini.

Dalam mengalu-alukan kedatangan abad Pasifik, Hillary Clinton meletakkan negaranya, AS, sebagai pemain utama, meskipun beliau tidak menafikan peranan negara lain di rantau ini. Dari segi strategi serantau, beliau mengemukakan enam garis tindakan penting, iaitu memperkukuh ikatan keselamatan dua hala, memperdalam hubungan kerja antara AS dengan kuasa yang sedang muncul, termasuk China, terlibat dengan institusi pelbagai hala serantau, memperluas perdagangan dan pelaburan, meneruskan kehadiran ketenteraan yang lebih luas, dan memajukan demokrasi dan hak asasi manusia.

Beliau juga menggolongkan China, India, Indonesia, Singapura, New Zealand, Malaysia, Mongolia, Vietnam, Brunei dan negara kepulauan Pasifik sebagai sebahagian usaha yang lebih luas demi memastikan pendekatan yang lebih tuntas untuk strategi dan pembabitan AS. Dalam kalangan negara tersebut, pastinya China kini memperlihatkan salah satu cabaran yang paling besar dan perhubungan dua hala penting yang pernah diuruskan oleh AS.

Walau bagaimanapun, Hillary Clinton tidak menafikan bahawa peranan pelbagai hala dalam menangani cabaran transnasional kompleks yang kini dihadapi Asia dan memerlukan institusi yang mampu menggembleng tindakan kolektif. Dalam hubungan ini, beliau melihat pentingnya Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yang menurut pemerhatian beliau wujud permintaan supaya AS memainkan peranan aktif dalam menentukan agenda institusi tersebut.

Selain ASEAN dan APEC yang sudah mantap dan terkenal, kini AS mengorak langkah dengan merealisasikan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP), yang menggembleng ekonomi dari seluruh Pasifik, yang maju dan membangun, menjadi komuniti perdagangan tunggal. Matlamatnya bukan sekadar mencipta lebih banyak pertumbuhan, tetapi pertumbuhan yang lebih baik dan dapat memberikan manfaat kepada setiap warga di rantau ini yang diukur dari segi kualiti kehidupan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.