Oleh Aninah Janang

Ada pihak yang mengadu kepada penulis, sukarnya untuk umat Islam di negara ini mencari pendakwah yang “sebenar”. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak ajaran sesat muncul meskipun pelbagai usaha membanteras penularan ajaran tersebut dilakukan oleh pihak berkuasa. Yang lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mereka yang menyebarkan dakyah sesat dan menjadi ahli kepada ajaran tersebut berlatarbelakangkan pendidikan agama yang tinggi dan mempunyai kerjaya yang dilihat mustahil untuk menyesatkan umat Islam.

Penulis masih ingat, ketika markas kerajaan langit Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu, diserbu oleh pihak berkuasa pada 20 Julai 2005, beberapa orang pengikut setia ajaran sesat Ayah Pin berjaya ditahan. Seorang daripada mereka ialah mantan ustazah, Kamariah Ali, berusia 57 tahun.

Latar belakang pendidikan wanita ini sangat mengagumkan. Beliau lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir; universiti yang terulung di dunia dan terkenal dalam melahirkan tokoh profesional Islam dan cendekiawan agama. Lantaran itu, penahanan Kamariah Ali menimbulkan tanda tanya. Bagaimanakah seorang yang memiliki ilmu agama yang tinggi dalam bidang syariah boleh terjerat ke dalam kancah ajaran sesat Ayah Pin yang secara terang-terangan tidak dapat diterima akal?

Yang lebih mengejutkan, Kamariah Ali sanggup bertindak berani dengan mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek, pada 21 Julai 2005, di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut, Terengganu. Kes Kamariah Ali mendapat liputan meluas di negara ini. Tidak terkecuali, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh dengan memperjuangkan hak untuk menganut mana-mana agama di negara ini tanpa meneliti Perlembagaan Persekutuan secara tuntas.

Hakikatnya, hak kebebasan beragama Perkara 11(4) menyekat hak untuk mengembangkan doktrin agama dalam kalangan orang Islam. Sementara itu, Fasal (4) menjelaskan bahawa negeri dan Wilayah Persekutuan menerusi badan perundangan masing-masing boleh membuat undang-undang untuk mengawal pengembangan doktrin yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Kes Kamariah Ali bukan sahaja dilihat sebagai melanggar sensitiviti umat Islam di negara ini, tetapi dalam konteks yang lebih besar, Kamariah Ali dibimbing menyebabkan penyebaran ajaran sesat yang bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi banyak penganut ajaran sesat mengangkat beliau sebagai pejuang dan ikon.

Begitu pun, pada 3 Mac 2008, perjuangan Kamariah Ali menemui noktah apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Kamariah Ali selepas wanita tersebut didapati bersalah atas tuduhan murtad. Pada 19 Julai 2011, permohonan Kamariah Ali untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan mengenai hak dan kebebasan beragama juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan, Putrajaya, selepas mendapati kes berkenaan di luar bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Kamariah Ali tidak layak digelar ikon, begitu juga dengan penganut ajaran sesat yang lain. Sebagai seorang yang berpendidikan dan mempunyai pengetahuan agama Islam yang tinggi, mereka sepatutnya menjadi penyuluh jalan dan menjadi pendakwah Islam yang sebenar. Ironinya, mereka pula yang sesat lagi menyesatkan umat Islam.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Masyarakat keluaran Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.