Oleh Nazeri Husin

Sebut sahaja nama Mogadishu, maka terbayanglah wajah anak pelarian berperut buncit, bertubuh kurus tanpa pakaian terlantar dihurung lalat dan langau sambil menunggu bantuan makanan tiba yang dibawa oleh sukarelawan. Dari sisi lain pula, kelihatan anak muda berpakaian celoreng tentera dengan wajah bengis menyandang raifal dan senapang AK-47 menaiki trak separuh uzur sambil meninjau musuh yang bersembunyi di celah-celah bangunan ibu kota Somalia itu.

Sengketa, pembunuhan, kematian dan kebuluran adalah antara realiti yang melatari bumi gersang di tanah tandus Afrika timur ini. Maka, tidak hairanlah dunia mengenali Mogadishu sebagai tanah konflik yang menumpahkan darah sebagaimana nasib yang menimpa wilayah negara Afrika lain yang turut bergelut dengan perang dan kebuluran, seperti Addis Ababa (Habsyah), Khartoum (Sudan) dan Kigali( Rwanda).
Mogadishu yang terletak di wilayah Benadir di persisiran Lautan Hindi. Sejak dua dekad lalu, perang saudara yang berlaku antara pihak yang merebut kuasa telah mengakibatkan lebih daripada dua juta orang penduduknya menjadi pelarian seumur hidup. Somalia juga pernah dijajah oleh Itali dan Britain dengan memperoleh kemerdekaan mutlak pada 1960. Pemerintahan pusat di negara ini sentiasa bertukar ganti sehingga pada suatu ketika tidak ada langsung kerajaan yang memerintah angkara pergolakan sesama sendiri untuk mentadbir kerajaan.

Konflik perang saudara di Somalia lebih tertumpu kepada satu kumpulan tentera yang dikenali sebagai Al Shabab yang anti-Barat dengan Kerajaan Persekutan Transisional (TFG) yang ditaja oleh Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS). TFG yang menguasai beberapa buah wilayah, termasuk Mogadishu, mendapat tentangan sengit daripada kumpulan Al Shahab yang dianggap ekstrem dan pengganas oleh banyak pihak, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Penglibatan negara Barat, khususnya Kesatuan Eropah dan AS, dalam menentukan hala tuju politik dan pemerintahan Somalia, menyebabkan bercambahnya organisasi serta kumpulan etnik yang tidak berpuas hati dengan campur tangan kuasa luar dalam pentadbiran negara itu. Oleh itu, tentangan demi tentangan terus berlaku di beberapa buah wilayah, termasuk Ogaden, dan di sebelah timur oleh golongan radikal Islam yang ingin menegakkan kerajaan yang berasaskan syariah.

Mogadishu, sebuah daerah padang pasir yang terkenal dengan jolokan “Mutiara Putih di Lautan Hindi”, dihuni oleh lebih daripada dua juta orang penduduk. Sebahagian daripada mereka ialah golongan pelarian yang terpaksa menghuni khemah sementara yang disediakan oleh Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa ( ICRC ) dalam serba daif kerana kekurangan makanan dan ubat-ubatan. Sehingga kini, dianggarkan 3.7 juta orang penduduk Somalia terdedah dengan ancaman kebuluran dengan sebahagian daripadanya ialah golongan wanita dan kanak-kanak. Dianggarkan lebih daripada 30 ribu orang kanak-kanak meninggal dunia, manakala 600 ribu orang lagi kanak-kanak mengidap penyakit kronik kerana kekurangan zat makanan.

Musim kemarau berpanjangan yang melanda wilayah tersebut memburukkan lagi keadaan kerana pertanian yang menjadi sumber utama penduduk Somalia terjejas teruk akibat kekurangan air yang tidak dapat disalirkan ke ladang. Namun begitu, punca sebenar kebuluran dan kemelaratan yang melanda wilayah di Somalia, seperti Lower Shabelle, Middle Shabelle, Oddur dan Merca, bukan berpunca daripada fenomena alam, tetapi konflik persengketaan yang berpanjangan antara puak dan kumpulan radikal yang mempunyai kepentingan serta agenda tersendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.