Oleh Zulkifli Salleh

Tembok, benteng, kubu, dan seumpamanya sering digunakan secara simbolik untuk menunjukkan kekuatan sesuatu yang seolah-olahnya tidak akan runtuh. Namun begitu, realiti sebenar sering berlaku sebaliknya, misalnya Tembok Berlin yang runtuh lebih daripada 20 tahun lalu; berpecahnya Kesatuan Soviet; demikian juga kapitalisme yang berkubu kuat di Amerika Syarikat diisytiharkan menang dalam Perang Dingin, akhirnya tersungkur.

Kini, perhatian tertumpu kepada Cuba, iaitu sebuah negara daripada sebilangan kecil negara yang masih setia kepada Komunisme, meskipun sebuah demi sebuah negara di Eropah Timur berpaling tadah. Pope Benedict XVI yang dalam rangka lawatan ke Cuba pada akhir Mac lalu, menyarankan agar negara itu meninggalkan Komunisme. Beliau yang secara terus terang mengatakan bahawa Marxisme sudah tidak ada tempat di dunia sezaman dan menggesa rakyat Cuba mencari “model baharu.” Menurut Benedict yang menjawab pertanyaan tentang lawatannya ke Cuba, yang masih kekal menjadi kubu Komunisme sejak lebih 50 tahun, sudah terbukti bahawa ideologi Marxis dari segi cara ideologi adalah difikirkan tidak lagi secocok dengan realiti.

Cuba terpaksa hidup dalam darurat untuk tempoh yang sangat panjang. Selepas berkuburnya sistem Soviet, situasi dikatakan semakin teruk, bukan hanya menerusi sekatan Amerika Syarikat (AS) yang semakin ketat, dengan dibuai harapan Cuba yang runtuh, tetapi kerana negara itu tiba-tiba hilang pasaran utama dan sumber bekalannya. Akibatnya, pengambilan kalori dan protein penduduk terpaksa dikurangkan hampir separuh, dan tahun-tahun yang menyakitkan “tempoh istimewa” diperlukan untuk memulihkan keperluan pemakanan rakyat kepada tahap yang awal.

Meskipun AS mengenakan sekatan lebih daripada 50 tahun yang bertujuan untuk menggulingkan Fidel Castro, negara tersebut tetap dapat meneruskan kelangsungannya. Cuba juga berjaya menafikan ramalan bahawa negara itu tidak dapat bertahan berikutan keruntuhan penyokong kuatnya, iaitu Kesatuan Soviet. Runtuhnya Kesatuan Soviet memaksa kerajaan Cuba memperkenalkan kawalan yang ketat terhadap tenaga, makanan dan barang pengguna. Ekonomi diteruskan dengan pertolongan pelaburan dari Kanada, Eropah, dan Amerika Latin, terutamanya dalam bidang pelancongan. Namun begitu, kawalan dilonggarkan pada 1990-an, apabila syarikat dibenarkan mengimport dan mengeksport tanpa perlu mendapatkan kebenaran dan beberapa zon perdagangan bebas dibuka.

Sejak tumbangnya diktator yang disokong oleh AS, iaitu Fulgencio Batista, pada 1959, Cuba merupakan negara satu parti yang diketuai Fidel Castro hingga Februari 2008, apabila beliau melantik penggantinya, iaitu adiknya sendiri, Raul Castro. Mengeksploitasi Perang Dingin AS -Soviet Union, dikatakan bahawa sejak beberapa dekad lamanya, Fidel Castro mampu bergantung pada sokongan kuat Soviet, termasuk subsidi tahunan yang bernilai AS$4 bilion (RM 9.6 bilion) hingga AS$5 bilion (RM12 bilion), dan berjaya membina sistem kesihatan dan pendidikan yang bereputasi baik. Walau bagaimanapun, beliau didapati gagal mempelbagaikan ekonomi Cuba kerana sekatan perdagangan yang dikenakan oleh AS.

Di bawah kepimpinan Raul Castro, Cuba diperhatikan terbuka selera terhadap pasaran bebas akhir-akhir ini apabila beliau memperkenalkan pembaharuan pasaran. Gereja Katolik menyokong usaha ini, dan lawatan Pope Benedict merangsang usaha untuk membuka negara tersebut. Raul dikatakan mahu menggabungkan ekonomi yang dikendalikan negara dengan pembaharuan berasaskan pasaran, dengan harapan agar dapat mengubah Cuba yang mempunyai 11 juta orang penduduk, menjadi semacam “Vietnam Carribbean”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.