Oleh Azmi Ibrahim

Industri filem Malaysia mutakhir ini seolah-olah mendapat “suntikan” luar biasa. Sepanjang 2010 banyak filem karya tempatan berjaya menarik orang ramai ke pawagam. Sokongan penonton dapat diukur menerusi jualan tiket pecah panggung yang memecah tradisi kutipan filem tempatan. Kecemerlangan filem tempatan bukan sahaja diukur dari segi jumlah penayangan, tetapi angka kutipan kasar tiket bagi setiap filem secara puratanya mencatatkan perkembangan positif. Statistik yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menunjukkan bahawa meskipun jumlah penonton yang berkunjung ke pawagam merosot, iaitu dari 44.13 juta orang pada 2009 kepada 43.91 juta orang pada 2010, jumlah tersebut ternyata tidak menjejaskan jumlah kutipan filem tempatan.

Kecemerlangan filem tempatan ternyata berterusan apabila pada 2011, ekoran jumlah kutipan filem terus meningkat sekali ganda kepada RM100 juta pada 2011 berbanding dengan 2010 yang mencatat RM50 juta. Kutipan tersebut merupakan hasil daripada penayangan 42 buah filem tempatan dengan 10 buah filem berjaya mencatat rekod pecah panggung. Enam buah filem yang meraih kutipan tertinggi pada 2011 ialah Kongsi (RM8.09 juta), Khurafat (RM8.08 juta), Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.5 juta), Hantu Bonceng (RM8.53 juta), KL Gangster (11.74 juta) dan Ombak Rindu (RM12 juta).

Selain peningkatan jumlah kutipan tiket filem, beberapa peningkatan positif yang lain dilihat turut menjadi penyumbang kepada kejayaan industri perfileman tanah air, antaranya pertambahan jumlah pawagam daripada 93 buah pada 2009 kepada 99 buah pada 2010. Jumlah skrin turut meningkat dengan mendadak daripada 485 skrin pada 2009 kepada 566 skrin pada 2010. Jumlah kerusi juga bertambah dari 101 165 buah kerusi pada 2009 kepada 109 691 buah kerusi pada 2010.

Sekiranya pada 2009, hanya dua buah filem yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung dengan purata kuitpan RM1 juta hingga RM2 juta. Begitupun, pada 2010 jumlahnya meningkat lima kali ganda, iaitu 10 buah filem mencatat kutipan pecah panggung; Ngankung (RM8 juta), Adnan Sempit (RM7.66 juta), Hantu Kak Limah Balik Rumah (6.2 juta), Evolusi KL Drift 2 (RM5.67 juta), Lagenda Budak Setan (RM4.28 juta), Jangan Pandang Congkak 2 (RM4.23 juta), V3: Samseng Jalanan (RM3.88 juta), Niyang Rapik (RM3.2 juta), Cuti-cuti Cinta (RM3.17 juta) dan Magika (3.14 juta).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.