Oleh Aninah Janang

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) baru sahaja menyambut ulang tahun yang ke-66 pada 11 Mei lalu. Tempoh 66 tahun merupakan perjalanan yang amat panjang bagi sebuah parti politik. Sepanjang tempoh itu, UMNO yang merupakan pengasas dan tulang belakang pakatan Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab mencorakkan keharmonian dan pemerintahan negara.
Sejak ditubuhkan, UMNO tidak pernah ingkar dalam menjaga kepentingan orang Melayu. Pada masa yang sama, UMNO juga memikul tanggungjawab yang besar dalam memperjuangkan hak kaum bumiputera. Buktinya, UMNO menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia bagi memastikan tidak ada orang Melayu dan bumiputera yang ketinggalan daripada pelbagai aspek khususnya sosioekonomi.
Pada usia 66 tahun, ternyata UMNO masih relevan seiring dengan perkembangan semasa sehingga menjadikannya antara parti yang paling lama berkuasa di dunia. Begitu pun, UMNO sedar, kejayaan tersebut tidak datang bergolek, tetapi disulam bersama-sama parti komponen BN.
Banyak parti politik di dunia yang tidak berjaya mengekalkan kekuasaan dan akhirnya tumbang di tangan parti lain. Misalnya, kerajaan India yang dikuasai Parti Kongres kalah kepada parti Bhatrial Jenata pada 1989. Hal yang demikian juga berlaku dengan parti terbesar dan berkuasa di Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP) yang menguasai Jepun sejak 1955 akhirnya tewas kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ) pada 1990.
Alangkah bertuahnya orang Melayu kerana sehingga hari ini UMNO, parti keramat orang Melayu itu masih mampu bertahan. Menurut Presiden UMNO, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dalam ucapannya sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-66 tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Mei lalu, orang Melayu perlu bersatu padu dan jangan sesekali membiarkan pihak lain meracuni kesepakatan orang Melayu yang selama ini menyokong perjuangan UMNO.
“UMNO berjalan begitu jauh, setiap inci tanah ini telah kita makmurkan, janganlah, janganlah sesekali membiarkan UMNO dibinasakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujar Perdana Menteri kepada lebih 100 ribu penyokong UMNO yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sekali lagi UMNO akan diuji dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Meskipun Parlimen belum dibubarkan, banyak pihak yang menjangkakan bahawa PRU ke-13 bakal diadakan dalam tempoh yang terdekat. Dalam PRU ke-12, UMNO berhadapan tsunami yang ganas sehingga BN tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor serta gagal merampas Kelantan. Persoalannya, bagaimanakah nasib UMNO dalam PRU ke-13?
Pada 3 Mac lalu, dalam majlis Perjumpaan Bersama-sama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, Baling, Kedah, Perdana Menteri berjanji akan membetulkan segala kesilapan yang dilakukan dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Lantaran itu, menerusi kepimpinan beliau, pelbagai program transformasi untuk membangunkan bangsa Malaysia dilaksanakan dengan satu tujuan, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Hakikatnya, untuk terus kekal relevan, UMNO turut melakukan proses transformasi politik UMNO, iaitu dengan menjadikan UMNO lebih segar, muda dan berdaya saing bagi mendepani arus cabaran politik yang mendatang. Dalam meniti usia yang cukup matang, diharapkan rakyat melihat UMNO secara menyeluruh dan bukan sekadar sejarah semata-mata kerana UMNO adalah parti yang mempunyai hala tuju yang jelas, aspirasi yang relevan dan berada dalam landasan yang tepat untuk mewujudkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
UMNO telah melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik, iaitu memimpin negara dengan adil dan saksama terhadap seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Inilah keunikan kepemimpinan UMNO, selama 66 tahun UMNO mengutamakan rakyat dan pada masa yang sama tidak meminggirkan perjuangan terasnya, iaitu untuk agama, bangsa dan negara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.