WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.227.104.40' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.227.104.40','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Kemajuan Bahasa Setengah Abad Mendatang','/?p=3033','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Awang Sariyan

Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu, lebih setengah abad yang silam di Malaysia, bertitik tolak dari tahun kemerdekaan negara dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan cita-cita dan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah satu asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan dari sudut perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa), meskipun aspek itu memang penting dalam menentukan sosok bahasa yang menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian Dasar Bahasa Negara. Perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.
Di peringkat supranasional pula, pembicaraan tentang perkembangan dan perancangan bahasa Melayu wajarlah dipertalikan dengan cita-cita besar membentuk persatuan umat Melayu sebagai bangsa besar, yang di sisi rencam dengan kepelbagaian etnik dan budayanya di seluruh alam Melayu, masih dapat menampilkan keperibadian yang bernaung di bawah tonggak-tonggak utama tamadun, terutama bahasa Melayu dan agama Islam.
Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan memperlihatkan kebangkitan semangat kebangsaan yang holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air bukan terhad pada pembebasan dari sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan turut merangkum aspek bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan. Maka, muncul dalam kosa kata bahasa Melayu frasa “nasionalisme bahasa” atau “nasionalisme linguistik”, dengan pengertian nasionalisme atau semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas kebangsaan dan kenegaraan.
Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan nasionalis di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (di tubuh pada tahun 1922), wartawan, sasterawan, bahasawan dan agamawan yang tampak nyata berkobar dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti kemerdekaan tanah air. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 sebagai badan perancangan bahasa Melayu itu pun merupakan hasil perjuangan rakyat, khususnya melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun yang sama dengan penubuhan badan itu.
Pada pihak Kerajaan (yang bertaraf kerajaan sendiri sejak tahun 1955) sebelum memperoleh kemerdekaan pada waktu itu, penubuhan Jawatankuasa Razak pada tahun 1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara yang turut memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah yang menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1966. Falsafah di balik penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara berkaitan rapat dengan agenda perpaduan kebangsaan, pembangunan yang berasaskan acuan sendiri dan juga pendemokrasian pendidikan.
Dengan menggunakan bahasa penghantar utama yang sama, iaitu bahasa Melayu, dicita-citakan berhasilnya pemupukan persefahaman dan tolak ansur yang membentuk perpaduan kebangsaan. Demikian pula, kemajuan dalam bidang pendidikan negara berlangsung dalam acuan sendiri apabila bahasa kebangsaan dijadikan asas untuk membentuk pemikir, tenaga ilmu dan tenaga kerja dalam pelbagai bidang. Yang tidak kurang pentingnya ialah penggunaan bahasa Melayu untuk melaksanakan pendemokrasian pendidikan dalam kalangan semua keturunan yang pada zaman Inggeris telah ternafi sebahagiannya apabila bahasa Inggeris menjadi wahana pendidikan kelas atasan dan golongan elit, sementara pendidikan berbahasa Melayu dan bahasa vernakular Cina dan Tamil bertaraf pendidikan kelas kedua.
Tempoh babak-babak tertentu dalam lebih setengah abad silam sebenarnya dapat dikatakan diwarnai kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah. Meskipun masih jauh perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang benar-benar bersatu padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang sesungguhnya dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, kita telah bermula dengan perancangan yang bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman. Kisah kejayaan negara dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Malaysia terbentuk atas landasan kontrak sosial yang jelas.
Dalam tempoh tiga dekad pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama (dengan mengambil tahun 1970 sebagai titik tolaknya), telah terhasil beberapa juta ahli ilmu, birokrat, teknokrat, profesional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dengan sebahagian besar mereka terdidik dalam sistem kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya bahasa Melayu, sekurang-kurangnya sehingga peringkat menengah atas.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.