Oleh Aninah Janang
Tindakan mereka sukar diramal. Gerak-geri mereka berubah-ubah mengikut keadaan. Ada dalam kalangan mereka mampu menjalani kehidupan yang sempurna, namun tidak berpanjangan. Mereka tidak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Mereka juga tidak mampu membezakan antara yang hitam dengan yang putih. Mereka sering berasa terancam dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya, mereka mencederakan sesiapa sahaja, termasuklah ahli keluarga, orang tersayang dan individu yang tidak dikenali. Dalam situasi yang tertentu, mereka bertindak di luar batas kemanusiaan. Mereka membunuh, namun mereka tidak mengetahui bahawa mereka pembunuh yang amat kejam!
Banyak pihak mengklasifikasikan pesakit mental mengikut cita rasa masing-masing. Di Thailand, pihak tentera melabelkan golongan pondan sebagai penghidap penyakit mental disebabkan cara mereka berpakaian dan berkelakuan seperti wanita. Pada September 2011, tentera Thailand mengenakan kerahan tenaga ke atas golongan lelaki berusia 18 tahun ke atas, tetapi mengetepikan golongan pondan selepas pihak tentera meletakkan pondan sebagai “pesakit mental kekal”. Seorang aktivis pondan, Samart Meechai, 27 tahun, memfailkan kes tersebut di mahkamah dan pada 14 September 2011, Mahkamah Thailand mengarahkan tentera menarik balik gelaran tersebut dan memberikan layanan sama rata kepada golongan pondan.
Hakikatnya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengenal pasti seseorang pesakit mental. Pakar perubatan di negara ini melabelkan penyakit mental sebagai “penyakit tidak nampak” yang hanya diketahui sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal di hospital atau klinik sakit mental di seluruh negara.
Isteri pesakit mental, Siti Amirah Sulaiman, 30 tahun, dari Petaling Jaya, Selangor, mendedahkan kepada Dewan Masyarakat bahawa dia tidak mengetahui suaminya pesakit mental meskipun sebelum berkahwin mereka bercinta selama lebih tiga tahun. Walau bagaimanapun, rahsia tersebut terbongkar setelah Siti berkahwin dan menyedari perlakuan aneh suaminya kerana sering bercakap sendirian dan melakukan perkara pelik seperti tidur di dalam almari pakaian kerana mendakwa ada orang yang mahu mencederakan dirinya.
“Sepanjang mengenali dirinya, saya tidak sedikit pun terfikir bahawa dia pesakit mental,” ujar Siti ketika diwawancara pada Mei lalu.
Merujuk perlakuan ganas pesakit mental, secara logiknya, tiada manusia yang sanggup menyakiti individu yang disayangi apatah lagi membunuh dan menyembelih ibu, bapa atau anak sendiri. Persoalannya, siapakah mereka dan mengapakah mereka bertindak sebegitu kejam?
Menurut Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil, psikosis merupakan istilah yang berasal dari Greek yang dikenali sebagai “psyche” bermaksud minda atau jiwa, manakala “osis” bermaksud keadaan tidak normal.
“Terdapat 280 jenis penyakit mental dan satu daripadanya ialah skizofrenia. Psikosis merupakan satu cabang skizofrenia yang dikaitkan dengan gangguan bahan kimia di dalam badan pesakit, yang dikenali sebagai serotonin dan dopamin. Sekiranya pesakit tidak dirawat, keadaan tersebut boleh membawa perlakuan negatif, termasuk mencederakan pihak lain,” ujar Mohamad ketika diwawancara oleh penulis di pejabatnya, di Wisma R&D, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Mengulas antara punca penyakit psikosis, menurut Mohamad faktor keturunan, melahirkan anak, komplikasi ketika hamil, komplikasi ketika bersalin, dan masalah sosial boleh menyebabkan seseorang berhadapan dengan penyakit skizofrenia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.