Oleh Shamsiah Abd Kadir

Bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU ke-13) semakin hangat. Meskipun belum ada lampu hijau daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan mana-mana parti berkempen, banyak kawasan “panas” mula ”berperang” dengan memasang bendera parti masing-masing. Yang paling ketara, pelbagai isu mula diperdebatkan oleh parti politik untuk menawan hati pengundi. Banyak penganalisis politik tempatan turut berpendapat bahawa tsunami PRU ke-12 memberikan kesan yang besar kepada orang Melayu. Lantaran itu, masa depan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini mula diperkatakan selepas mereka didakwa beralih “angin” pada PRU ke-12 sehingga menyaksikan UMNO mengalami kemerosotan undi yang mendadak.
Mengimbas kembali pola pengundian pada PRU ke-12, daripada 10.9 juta orang pengundi berdaftar di negara ini, hanya 70 peratus atau kira-kira 7.6 juta orang keluar mengundi pada PRU ke-12. Daripada jumlah itu, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 51.2 peratus undi atau kira-kira 3.8 juta undi popular – peratusan undi popular paling sedikit yang pernah diperoleh oleh BN sejak PRU pertama pada 1955. Sekiranya jumlah ini mengambil kira jumlah 3.4 juta orang ahli UMNO, bermaksud BN hanya meraih 400 ribu undi daripada pengundi bukan ahli UMNO. Akhirnya, pada PRU ke-12, UMNO hanya memenangi 78 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Yang paling memeranjatkan, PRU ke-12 mencatatkan paling banyak undi rosak dalam sejarah PRU. Menurut SPR, sebanyak 322 461 ribu undi rosak dicatatkan di seluruh negara. Ada penganalisis politik berpendapat bahawa lambakan undi rosak ini berkemungkinan berpunca daripada pengundi yang tidak sampai hati mengundi pembangkang. Tiga buah negeri yang mencatatkan undi rosak tertinggi ialah Johor, Selangor dan Perak.
Menurut Lembaga Disiplin UMNO, wujud perbuatan sabotaj dalam kalangan penyokong BN dan ahli UMNO sendiri sehingga tiga buah negeri yang dikuasai UMNO sejak 1995, iaitu Kedah, Perak (ketika itu), dan Selangor terlepas ke tangan pembangkang. Apakah yang menyebabkan UMNO khususnya UMNO tidak mendapat tempat di hati pengundi? Adakah disebabkan oleh perpaduan yang dipupuk erat selama ini semakin “longgar”? Ke manakah haluan perpaduan khususnya orang Melayu yang sebenar?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Jun 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.