Oleh Intan Halim

Apabila filem Bunohan arahan Dain Said member ikan keterujaan kepada banyak pihak, khususnya penganalisis filem dan media di luar negara, ada pihak yang membisikkan kata-kata “nakal” ke telinga penulis. Masing-masing berasa pelik kerana Bunohan yang “hebat” dari kaca mata Barat tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton di negara ini.

Bunohan mendapat kerjasama dengan Universal Pictures yang bertindak sebagai pengedar filem di luar negara. Pada Januari lalu, filem tersebut turut ditayangkan di pentas antarabangsa, termasuk di Festival Antarabangsa Toronto, Kanada, dan Festival Filem Taipei Golden Horse, di Taiwan.

Ternyata Bunohan berjaya mendapat perhatian penggiat filem di luar negara. Rata-rata mereka kagum dengan tema, latar dan pelakon filem yang menjayakan Bunohan. Meskipun ketika itu (Januari) filem tersebut belum ditayangkan di Malaysia, Bunohan mencatat kejayaan di luar negara apabila berjaya membawa pulang Anugerah Rotterdan Network for the Promotion of Asian Cinema (NETPAC) di Festival Filem Taipei Golden Horse. Yang lebih membanggakan, filem ini turut mendapat perhatian media antarabangsa, seperti program televisyen (TV) popular E! News dan Discovery yang mewawancara pengarah dan barisan pelakon Bunohan.

Malangnya, kehebatan Bunohan di luar negara tidak “sampai” di Malaysia. Sehingga artikel ini ditulis, iaitu empat hari tayangan Bunohan di pawagam di seluruh negara, filem itu hanya meraih RM400 ribu jualan tiket. Jumlah ini jauh berbeza daripada kutipan tiket yang diraih oleh filem KL Gangster yang memperoleh RM1.2 juta untuk tempoh dua hari tayangan. Di manakah silapnya? Ketika pentas antarabangsa memperakui kehebatan Bunohan, sokongan penonton tempatan terhadap filem tersebut ternyata hambar.

“Bunohan sukar difahami. Mesej yang cuba disampaikan terlalu berat,” ujar Azmin Ali, 27 tahun, salah seorang penonton yang diwawancara oleh penulis pada Mac lalu di Golden Screen Cinema, pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor. Jawapan yang sama turut diluahkan oleh beberapa orang penonton yang berpeluang menonton Bunohan.

Bunohan bukanlah filem Malaysia yang pertama mendapat pengiktarafan di luar negara, namun tidak mendapat sokongan daripada penonton di negara sendiri. Menurut pengarah Bunohan, Dain Said, tema yang cuba diketengahkan oleh Bunohan amat berbeza daripada filem yang pernah dihasilkan di negara ini. Bunohan mengangkat tema masyarakat dan kekeluargaan dari sudut yang lebih terperinci. Tema ini disalurkan menerusi pelbagai konflik yang belum pernah “disajikan” kepada penonton di Malaysia.
U
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mei 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.