Oleh Shamran Sarahan

Ketika dalam tahanan, dia mengugut untuk membalas dendam terhadap detektif yang menyoal siasat dirinya. Ugutannya itu bukan sekadar omong kosong. Akibat didorong dendam kesumat yang membara dalam dirinya, Balakrishnan Raju nekad melarikan diri dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 6 Mei 2000.

Balakrishnan bersama-sama enam orang tahanan reman lain berjaya melarikan diri dari lokap berkenaan dengan memotong besi pengadang bilik kurungan mereka. Kesempatan melarikan diri daripada tahanan polis itu membuka ruang untuk dirinya melunaskan janjinya. Dia berusaha menjejaki detektif berkenaan dan nyaris membunuhnya.

Sekalipun gagal membunuh detektif tersebut, Balakrishnan yang berusia 36 tahun ketika itu tidak terus berdiam diri, sebaliknya dia semakin digeruni dalam kalangan samseng dan kongsi gelap. Balakrishnan dianggap sebagai orang yang tidak berfikir dua kali sebelum bertindak, menjadikan dirinya penjenayah licik dan paling berbahaya pernah diburu polis di negara ini.

Balakrishnan memperhebat jaringan rakan jenayahnya. Enam orang penjenayah yang melarikan diri dari penjara bersama-sama dengannya sebelum itu menjadi tali barut utamanya. Dua orang daripadanya iaitu Mohd Faizal Ibrahim, 24 tahun, dan Suresh Kumar, 21 tahun, menubuhkan kumpulan samseng Geng Ali Boy bersempena dengan nama samaran Suresh, Ali Boy.

Suresh mengetuai kumpulan berkenaan dan merekrut kira-kira 10 hingga 12 orang samseng bersama–sama mereka. Geng ini begitu kuat kerana turut memiliki senjata api. Kemuncak keganasan mereka termasuk di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Geng Ali Boy tidak hanya dengan beberapa siri rompakan, bahkan terlibat dalam kes bunuh. Secara keseluruhannya, mereka didapati merompak wang dan barang kemas bernilai RM7 juta, selain turut dikaitkan dengan tiga siri pembunuhan dan satu cubaan membunuh.

Sasaran pertama mereka ialah sebuah bank di Ipoh pada 22 Mei 2000. Mereka berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM500 ribu. Selang beberapa hari, mereka merompak sebuah bank di sebuah pasar raya borong yang terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, jumlah rompakan mencecah RM2.4 juta. Tiga bulan berikutnya menyaksikan keganasan geng itu merompak lapan buah bank dan kedai emas, jumlah rompakan bernilai RM1 juta.

Pada Ogos 2000, mereka bertembung dengan polis ketika melarikan diri selepas merompak sebuah bank di Selayang, Selangor. Dalam kejadian itu, mereka berbalas tembakan dengan polis dan beberapa orang anggota dalam kumpulan tersebut cedera. Pada 29 Jun 2000, Balakrishnan bersama-sama seorang pengikutnya melakukan cubaan menembak seorang detektif yang cuba menjejaki jenayah mereka di sebuah restoran di Pusat Bandar Puchong dari dalam sebuah kereta.

Namun begitu, tindakan menyerang polis berkenaan menjadi kesilapan besar buat Balakrishnan. Dalam kekalutan saling berbalas tembakan, kereta yang dinaiki Balakrishnan berlanggar dengan sebuah kereta. Balakrishnan dapat melarikan diri, tetapi pengikutnya ditangkap polis. Dengan penangkapan itu juga, polis akhirnya berjaya menjejaki tempat persembunyian geng tersebut di Batang Berjuntai, Kuala Selangor, pada 22 Ogos 2000 dan menembak mati Suresh dan orang kanannya, M Vijayanathan atau Dee Pea, 25 tahun. Balakrishnan dapat melarikan diri bersama-sama konconya yang lain.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mei 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.