Oleh Rizuan Kamis

Profesion keguruan cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya.

Pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

Guru ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional.

Seperti profesion lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar. Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang pendidikan semakin mencabar.

Dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks.

David Ryans dalam bukunya Characteristics Of Teachers—Their Description, Comparison, And Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan.

Guru dalam konteks pendidikan sebenarnya berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. Dalam cakupan ini, guru memainkan peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting bagi membentuk sesebuah masyarakat.

Proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi yang melingkari profesion keguruan, antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan.

Sebenarnya profesion keguruan mempunyai cabarannya sendiri dan memerlukan persediaan yang secukupnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion keguruan menjurus cabaran yang dihadapi di kawasan sekolah amnya dan cabaran dalam pengajarannya khususnya.

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata, dalam abad ke-21, bidang pendidikan menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi. Setiap pendidik di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik.

Persepsi yang menyatakan bahawa guru ibarat “ibu bapa kedua” secara tidak langsung menggambarkan tanggungjawab yang besar kepada golongan pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada guru untuk mengajar anak mereka supaya cemerlang dalam bidang akademik.

Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan.

Guru yang aktif dan bersikap terbuka akan sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya. Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mei 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.