Oleh Aninah Janang dan Abd. Kadir Mohd. Ayub

Segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan semuanya di bangkang dan ditafsirkan mengikut selera masing-masing. Golongan ini mendakwa mereka berada di landasan yang betul sehingga melupakan tanggungjawab sebenar yang harus dipikul apabila berjaya menjejakkan kaki di menara gading.

Tindakan seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikenali sebagai Adam Adli, 22 tahun, menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak di hadapan Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 18 Disember tahun lalu, mengundang seribu persoalan.

Kumpulan mahasiswa yang menggelar diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) tersebut turut menegaskan bahawa mereka tidak akan memohon maaf kepada Najib ekoran peristiwa itu.

Kejadian menurun dan menaikkan semula bendera wajah Najib terjadi sebelum majlis penyerahan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam usaha mereka mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Sebelum itu, mereka berkumpul di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur, sebelum berarak ke bangunan Maju Junction, Jalan Tuanku Abdul Rahman, bagi menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Sementara itu, awal Mac lalu, kira-kira 80 orang mahasiswa berhimpun di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum. Mereka turut menyerahkan batu nisan sebagai simbol berkuburnya demokrasi di kampus dan mendesak pilihan raya kampus diadakan dengan segera.

Mereka berjaya menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Mohammad Khairi A.Malik, namun batu nisan berkenaan ditolak. Banyak pihak termasuk Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin, berpendapat bahawa perbuatan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak matang.

Awal April lalu, sekali lagi Adam dan kumpulannya muncul di rumah pangsa Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, kononnya bagi membantah isu perpindahan penduduk ke Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pelik, mengapa Adam yang sepatutnya menelaah buku dan mencari ilmu sebanyak mungkin tiba-tiba mahu menjadi “wira” di rumah pangsa tersebut?

Layakkah Adam mempertikai pihak pemaju yang mahu membangunkan kawasan Kampung Kerinchi? Kempen murahan kumpulan tersebut yang sengaja menarik perhatian dan mencari publisiti murahan bukan sahaja mengundang padah sehingga mewujudkan situasi tegang, malah mereka sememangnya tidak matang apabila bertindak tanpa usul periksa.

Dewan Masyarakat membuat tinjauan langsung di rumah pangsa tersebut pada 23 April lalu dan mendapati bahawa kawasan tersebut tidak lagi didiami penduduk sejak 2008. Kebanyakan blok tidak sesuai untuk diduduki. Sementara itu, beberapa buah blok didapati menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian dan kebanyakan tingkap serta pintu rumah di setiap blok dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab. Kawasan sekeliling rumah pangsa tersebut juga dipenuhi lalang dan semak samun. Yang lebih menakutkan, kawasan tersebut turut menjadi lokasi persembunyian pendatang asing tanpa izin.

Menurut penduduk Kampung Kerinchi, Yahya Harun, 50 tahun, tiada apa-apa yang perlu diperjuangkan oleh Adam dan kumpulannya. Hal ini demikian kerana isu perpindahan penduduk ke PPR menemui titik noktah.

“Kerajaan memberikan keselesaan kepada penduduk dengan menyediakan PPR yang ternyata lebih selesa daripada rumah pangsa tersebut,” jelas Yahya ketika diwawancara oleh penulis pada April lalu.

Tambah Yahya, rumah pangsa Kampung Kerinchi hanya menyediakan satu bilik tidur dan ruang yang sangat terhad. Kebanyakan keluarga memiliki lebih daripada dua orang anak lelaki dan perempuan. Maka, atas keprihatinan kerajaan yang mahu menyediakan tempat tinggal yang kondusif, PPR yang dibina hanya kira-kira 700 meter dari lokasi rumah pangsa tersebut, menyediakan ruang yang luas untuk keselesaan penghuninya dan berdekatan dengan pelbagai kemudahan, seperti Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, masjid, dan kedai runcit.

Melihat kesungguhan kerajaan mengubah kehidupan penduduk, pada 2008 majoriti penduduk rumah pangsa Kampung Kerinchi mengambil peluang keemasan tersebut dengan berpindah ke PPR.

Ternyata, anak muda yang masih mentah, seperti Adam dan kumpulannya hanya mencari publisiti murahan tanpa mengetahui faedah di sebalik perpindahan penduduk ke PPR. Sebagai mahasiswa yang berilmu, mereka seharusnya meneliti sebelum bertindak.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mei 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.