Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman
“Saya sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit demi memberikan apa-apa saja bantuan,” jelas Rostam Mustafa Jamil, 37 tahun. Kesal dan rasa terkilan tidak pernah sesekali wujud dalam jiwa anak muda kelahiran Sabak Bernam, Selangor, ini demi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Bagi aktivis belia dan sukarelawan ini, hidup tidak bermakna jika tidak membantu dan meringankan beban orang lain. Ibarat lilin yang sanggup dibiarkan diri terbakar demi menerangi orang lain, begitu jugalah falsafah hidup Rostam.
Minat menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan ini mula timbul sejak di bangku sekolah lagi. Malah, bapanya yang juga pencinta kepada aktiviti kemasyarakatan sering kali membawanya bersama-sama menghadirkan diri dalam program kemasyarakatan. Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi; itu peribahasa yang sesuai untuknya, Rostam sanggup melepaskan jawatan tinggi sebagai penjawat awam demi merealisasikan impian dan cita-citanya untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Saya menggunakan wang sendiri untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Lantaran itu, saya menjalankan perniagaan berbentuk kewangan dan latihan untuk menampung kos bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik,” jelas Rostam.
Malangnya, tidak banyak “wira muda” seperti Rostam atau lebih tepat belia sepertinya yang mahu menghulurkan tangan dan meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan. Hal ini bukanlah omong kosong yang dinyatakan tanpa sebarang asas.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ketika ini hanya 10 ribu orang belia mendaftar di pusat sukarelawan di seluruh negara.
“Angka tersebut begitu sedikit jika dibandingkan dengan negara lain, seperti Australia yang mempunyai lima juta orang sukarelawan yang terlibat dalam 700 juta jam aktiviti sukarela,” ujarnya semasa sambutan Hari Belia 2011 pada 15 Mei yang lalu.
Menurut laporan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, sehingga 9 Disember 2009 terdapat 7113 buah persatuan termasuk badan sukarelawan yang berdaftar dengan ROY. Daripada jumlah tersebut, 5835 buah persatuan mendapat kelulusan ROY.
Angka pertubuhan ini meskipun banyak, sambutannya masih tidak menggalakkan. Persoalannya, mengapakah hal ini berlaku? Apakah punca yang menyebabkan golongan belia kurang berminat menyertai aktiviti kesukarelawanan ini?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mei 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.