Oleh Husaima Halim

Kemalangan dan kematian di jalan raya sering mengisi dada akhbar tempatan. Paling ketara apabila tiba musim perayaan, jumlah kemalangan meningkat dengan mendadak berbanding dengan hari biasa. Pada 25 Januari lalu, statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan purata 18 kematian setiap hari sepanjang sembilan hari Operasi Sikap (Ops Sikap) ke-25 berlangsung, iaitu sempena Tahun Baharu Cina.

Pada hari pertama Ops Sikap, iaitu pada 16 Januari, sebanyak 17 kematian dicatatkan. Jumlah ini diikuti sembilan kematian pada hari kedua dan 13 kematian pada hari ketiga. Secara keseluruhannya, sepanjang sembilan hari Ops Sikap ke-25 dijalankan, sebanyak 108 jumlah kematian dicatatkan di seluruh Malaysia.

Pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya di seluruh negara menjadi antara faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah kemalangan dan kematian khususnya ketika musim perayaan. Menurut statistik PDRM, sehingga 2011, jumlah kenderaan yang berdaftar di seluruh negara mencecah 21 juta kenderaan berbanding dengan 20 juta kenderaan pada tahun sebelumnya. Secara terperinci, lebih 1.21 juta buah kenderaan baharu didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2011, berbanding dengan 1.15 juta kenderaan pada 2010. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya membabitkan kenderaan persendirian, iaitu 594,610 buah kereta (49.06 peratus) dan 542,308 buah motosikal (44.74 peratus). Sementara itu, sebanyak 527,198 orang pemandu baharu memperoleh lesen pada 2011, menjadikan jumlah terkumpul pemandu di negara ini sebanyak 12,763,452 orang pada 2012 berbanding dengan 12,236,254 orang pada 2010.

Faktor yang sama turut menjadi antara punca utama kegagalan Ops  Sikap ke-24, iaitu bersempena Hari Raya Aidilfitri pada September 2011. Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, menjelaskan dalam sidang media di Kuala Lumpur pada September 2011, peningkatan jumlah kes kemalangan dalam Ops Sikap ke-24 disebabkan oleh penambahan jumlah kenderaan dan sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab.

Tambah Rusli, kegagalan Ops Sikap ke-24 mengekang jumlah kemalangan jalan raya serta kemalangan maut menunjukkan peningkatan sebanyak 16.6 peratus kes kemalangan kepada 19606 kes pada 2011 berbanding dengan 16817 kes pada Hari Raya Aidilfitri pada 2010. Jumlah kes kemalangan maut juga meningkat kepada 259 kes pada 2012 berbanding dengan 218 kes pada 2010.

“Peningkatan ini bukan disebabkan kegagalan anggota yang terlibat, iaitu polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba yang bertanggungjawab dalam menjalankan dan menjayakan Ops Sikap, tetapi sikap pemanduan yang tidak berhemah dan pertambahan jumlah kenderaan menyebabkan Ops Sikap tidak mencapai matlamat untuk mengurangkan kemalangan dan kematian ketika musim perayaan,” ujar Rusli.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.