Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Pastinya ibu bapa berasa gembira apabila dikurniakan anak yang sempurna sifatnya. Lebih bertuah lagi sekiranya darah daging yang dikandungkan selama sembilan bulan sepuluh hari itu lahir sebagai yang cerdik yang mempunyai kelebihan yang cukup luar biasa berbanding dengan anak yang lain.

Mungkin banyak pasangan yang sudah berumah tangga, baik yang memiliki zuriat mahupun yang masih berusaha menimang cahaya mata tercari-cari “formula” terbaik bagi memastikan genetik yang bakal disenyawakan benar-benar “berkualiti” dan mampu memberikan “pulangan” berbaloi kepada ibu bapa.

Ada “formula” yang mendakwa bahawa sekiranya inginkan anak yang pintar, seseorang itu perlu berkahwin dengan bangsa lain yang berpotensi tinggi untuk melahirkan anak yang pintar dan cerdik.

Hal ini bukanlah sekadar cakap kosong yang tidak berasas dan telah dibuktikan melalui kajian sains serta pernah dinyatakan juga oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bukunya bertajuk Dilema Melayu.

Kini, akibat kepesatan pembangunan teknologi yang canggih, terdapat satu lagi kaedah terbaharu yang mampu melahirkan anak yang pintar. Kaedah bank sperma bukan perkara baharu di negara maju di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Malah kaedah ini semakin popular di beberapa buah negara maju yang lain.

Yang menariknya, bank sperma bukan sahaja untuk pasangan yang mahu memiliki zuriat, tetapi lebih mengejutkan bank sperma menyediakan perkhidmatan menjual sperma kepada individu mengikut “gred” sperma yang berbeza-beza dengan harga yang tertentu.

Misalnya, bank sperma terbesar di Cryobank, California, AS dikunjungi ribuan orang, khususnya wanita yang belum berkahwin. Ibarat membeli-belah pakaian baharu di pusat ini, wanita diberikan kebebasan memilih jenis sperma yang diinginkan mengikut ciri fizikal yang bersesuaian, iaitu berasaskan etnik, latar belakang pendidikan dan kesihatan penderma. Dalam hal ini, sperma seorang doktor perubatan atau juruterbang lebih mahal berbanding dengan sperma seorang guru atau pensyarah. Bagi ibu bapa atau wanita bujang yang memiliki keupayaan ekonomi, sudah tentu harga tidak menjadi masalah.

Kadar bayarannya pula ditetapkan mengikut ciri yang disebutkan tadi. Sekiranya tahap pendidikan atau profesion penderma itu hebat, maka kadar bayaran yang dikenakan juga berganda-ganda. Di Cryobank, kadar yang dikenakan antara AS$180 (RM650)hingga AS$250 (RM900) bagi setiap botol air mani.

Di Asia, China antara negara terawal yang menjalankan perniagaan bank sperma, iaitu sejak 1998. Buktinya, sebuah bank sperma di Shanghai yang dikendalikan oleh Renji Hospital dalam laman webnya www.renji.com menyiarkan iklan untuk mencari penderma sperma dari seluruh dunia. Hasil usaha bank tersebut, puluhan ribu lelaki datang ke hospital tersebut untuk menderma sperma.

Sperma daripada penderma sperma juga boleh digunakan dalam kes ibu tumpang untuk mewujudkan embrio. Sperma penderma dibekalkan oleh bank sperma terus kepada penerima untuk membolehkan seorang wanita menjalankan inseminasi buatan beliau sendiri menggunakan picagari jarum atau konsep peranti topi serviks.

Sperma penderma pula hanya boleh dibekalkan oleh bank sperma melalui pengesahan seorang pengamal perubatan berdaftar yang melaksanakan kaedah yang sesuai sama ada rawatan permanian atau kaedah persenyawaan luar rahim (IVF).

Walau bagaimanapun, keajaiban teknologi yang mengubah dunia ini tidak diterima di seluruh dunia. Ada pihak yang melihat kewujudan bank sperma menongkah arus kemanusian. Hal ini demikian kerana terdapat faktor budaya dan agama tertentu yang tidak “membenarkan” ibu bapa menggunakan sperma dari mana-mana bank sperma untuk mendapat zuriat. Di Malaysia, isu bank sperma menjadi perdebatan dalam kalangan ahli akademik, pemimpin, dan pakar agama yang rata-ratanya menolak teknologi ini.

Penyelidikan menerusi internet yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa operasi bank sperma di negara ini beroperasi sekitar 1990 dan semakin ketara pada 2007. Kebanyakan hospital dikendalikan secara kecil-kecilan oleh hospital swasta, sebagai pilihan alternatif kepada pasangan yang menghadapi masalah ketidaksuburan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.