Oleh Wira Herman
Debaran menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 semakin hampir. Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sudah memberikan bayangan bahawa PRU ke-13 boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Ada cakap-cakap bahawa tarikh pilihan raya hanya menunggu “lampu hijau” daripada Najib.
Dalam kalangan pemerhati politik, PRU ke-13 bakal menjadi “ibu” kepada pilihan raya yang pernah berlangsung di negara ini. Yang pasti, Barisan Nasional (BN) mahu terus mempertahankan tampuk pemerintahan bagi meneruskan kesinambungan agenda pembangunan negara, manakala pakatan pembangkang melalui Pakatan Rakyat (PR) masih memendam angan-angan untuk menawan Putrajaya.
Selepas tsunami politik yang berlaku pada 2008, PRU ke-13 menjadi cabaran besar kepada BN untuk terus mempertahankan pemerintahannya. Jika diimbas kembali sejarah pilihan raya negara, hanya dua kali BN kehilangan kuasa dua per tiga di Parlimen, iaitu pada 1969 dan 2008.
Timbul persoalan, adakah BN mampu mengembalikan semula majoriti dua per tiga di Parlimen pada PRU ke-13?
Ketika BN didakwa lemah pada 1969, mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien melakukan penjenamaan semula Parti Perikatan kepada BN. Kemudian, beliau melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menangani masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang tercetus berikutan Peristiwa 13 Mei 1969. Ternyata penjenamaan semula Perikatan dan idea DEB berupaya melonjakkan semula kewibawaan BN.
Selepas 39 tahun, BN sekali lagi hilang kuasa majoriti di Parlimen pada PRU ke-12. Banyak pihak menyifatkan kemelut dalaman Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan faktor pengundi bukan Melayu yang tidak memihak kepada Malaysian Indian Congress (MIC) dan Malaysian Chinese Association (MCA) di beberapa buah negeri mengakibatkan sokongan kepada BN merosot. Persoalannya, adakah PRU ke-13, UMNO, MIC dan MCA mampu meraih semula sokongan rakyat sebagaimana yang diharap-harapkan?
Apabila Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009, imbasan sejarah bapanya, Tun Abdul Razak Haji Dato’ Hussein, yang menjadi Perdana Menteri kedua negara pada 1969 seakan-akan berulang. Kedua-dua orang pemimpin ini mempunyai persamaan. Tun Razak menerajui BN semasa parti tersebut dalam keadaan goyah, manakala nasib Najib ketika mengambil alih pemerintahan negara ketika BN mengalami penurunan sokongan.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.