Oleh Nor Mohamad Shakil Hameed

Dua isu terbaharu melibatkan peranan dan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negara ini menarik perhatian banyak pihak. Isu pertama, melibatkan cadangan untuk memberikan status pengecualian cukai kepada penyumbang dana PIBG. Isu kedua pula melibatkan cadangan pemberian cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang menyertai kegiatan PIBG.

Syor pengecualian cukai kepada penyumbang dana PIBG dikemukakan oleh salah seorang wakil PIBG pada 4 Februari lalu, dalam sesi dialog bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, ketika mengadakan perjumpaan dengan warga pendidik, pesara guru dan pengerusi PIBG dari seluruh negeri Selangor. Sebagai respons segera kepada cadangan tersebut, Muhyiddin berjanji akan merujuk Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, selaku Menteri Kewangan, bagi membincangkan secara terperinci, sama ada cadangan ini boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Cadangan ini mendapat maklum balas yang positif daripada Muhyiddin apabila beliau sendiri mengakui bahawa cadangan tersebut mampu menggalakkan lebih banyak pihak menyumbang kepada PIBG dan sekali gus membantu menambah baik kualiti pendidikan di sekolah. Selain itu, cadangan tersebut juga dapat membantu mengurangkan beban kerajaan.

Ketika ini sumbangan kepada PIBG tidak menerima sebarang keistimewaan seperti pengecualian cukai. Lantaran itu, cadangan pengecualian cukai dianggap cukup proaktif dan wajar diberikan perhatian khusus oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran. Hal ini demikian kerana cadangan tersebut mampu melakar satu haluan baharu ke arah mentransformasikan sumbangan PIBG dalam membantu pihak sekolah melahirkan generasi pewaris yang berkualiti dan berdaya saing.

Masalah utama yang membelenggu PIBG di seluruh negara ialah ketidakcukupan dana untuk menggerakkan aktiviti yang dirancang demi masa hadapan yang terjamin untuk anak-anak. Akibatnya, majoriti PIBG di negara ini beroperasi dan bergerak dalam keadaan yang cukup daif dan menyedihkan. Walaupun pelbagai idea ditampilkan oleh pihak PIBG, semuanya hanya tinggal cadangan semata-mata kerana tidak dapat direalisasikan seperti yang dirancang disebabkan masalah dana yang tidak mencukupi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.