Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Leiby Kletzy, yang sesat dalam perjalanan pulang seorang diri di Brooklyn, New York, dibunuh dengan kejam oleh Levi Aron, 35 tahun. Aron menculik Kletzy yang menegurnya dan membawa kanak-kanak tersebut di satu kawasan terpencil. Tanpa belas kasihan, Aron melemaskan mangsa menggunakan tuala dan mencencang lumat tubuh Kletzy sehingga mati.

Di Liverpool, England, pembunuhan kejam kanak-kanak berusia dua tahun, James Bulger, pada 3 Mac 1993, menggemparkan negara itu. Bulger dibunuh oleh dua orang kanak-kanak, Robert Thompson dan Jon Venables, masing-masing berusia 10 tahun. Sementara itu, pada 1980, seorang jururawat pediatrik di Hospital Universiti San Antonio, Amerika Syarikat, Genene Anne Jones, dihukum penjara selama 99 tahun kerana membunuh antara 11 hingga 46 orang bayi dalam jagaannya ketika bertugas.

Kisah pembunuhan kanak-kanak di seluruh dunia sering menggamit simpati banyak pihak. Pendebatan demi perdebatan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi melindungi insan yang bergelar kanak-kanak ini. Namun, mereka terus menjadi mangsa dan keselamatan mereka sukar diramal.

Di Malaysia, kisah pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, lapan tahun, masih menjadi igauan ngeri. Nurin yang hilang pada 20 Ogos 2007 ketika berjalan seorang diri ke pasar malam berdekatan rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, ditemui dalam keadaan yang menyayat hati pada 17 September, di dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya Utama.

Banyak hati yang terluka dengan kematian adik Nurin, termasuklah pemimpin negara. Semua pihak menggesa agar pembunuh adik Nurin ditangkap dan dikenakan hukuman yang setimpal. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi, mahu pembunuh tersebut dibawa ke muka pengadilan. Ada juga pihak yang mahu kematian adik Nurin dibalas dengan nyawa pembunuhnya. Malangnya, sehingga kini, pembunuh adik Nurin masih bebas.

Penulis masih ingat, kisah ngeri pembunuhan adik Nurin memberikan impak yang besar kepada ibu bapa yang mempunyai anak seusianya. Kebanyakan mereka berasa bimbang tentang keselamatan anak, lantas mereka tidak membenarkan anak pergi ke pasar malam atau bermain di luar kawasan kediaman seorang diri.

Namun, kebimbangan tersebut tidak berpanjangan. Setelah lima tahun berlalu, pada 12 Mac lalu, negara sekali lagi digemparkan dengan kematian tragis kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau panggilan manjanya Dirang. Dirang diculik pada 1 Mac lalu ketika keluar bersendirian membeli mi segera berhampiran rumahnya di rumah pangsa Seri delima, Bandar Seri Alam, Johor Bahru. Setelah 12 hari berlalu, mayat Dirang ditemui di dalam lubang di sebuah tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor, dalam keadaan rentung akibat dibakar.

Ketika artikel ini ditulis, tiga orang suspek yang berusia lingkungan 30-an, termasuk seorang wanita, yang kesemuanya penagih dadah, ditahan reman kerana disyaki bertanggungjawab atas penculikan dan pembunuhan Dirang.

Di sebalik kematian adik Nurin dan Dirang, ada sesuatu yang perlu dipelajari ibu bapa di negara ini. Mereka perlu sedar bahawa mereka bertanggungjawab dan memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan keselamatan anak mereka. Menurut Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim, sikap membiarkan anak keluar bersendirian harus dibendung.

“Ibu bapa perlu mengambil iktibar atas kes culik dan bunuh ke atas kanak-kanak sebelum ini. Sudah tiba masanya mereka menyedari bahawa persekitaran tidak menjamin keselamatan anak mereka,” ujar Kamal ketika dihubungi penulis.

Pada Januari 2008, kerajaan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam dan premis yang dikenal pasti berisiko jenayah. Sementara itu, Talian Nur yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, membolehkan masyarakat melaporkan pelbagai masalah sosial, termasuklah kehilangan kanak-kanak. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan meningkatkan kesedaran terhadap masyarakat berkenaan isu keselamatan kanak-kanak menerusi ceramah dan lawatan ke sekolah.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, sepanjang 2009, sebanyak 1050 orang kanak-kanak dilaporkan hilang di seluruh negara. Persoalannya, adakah nasib mereka sama seperti adik Nurin dan Dirang? Lantaran itu, ibu bapa perlu berada di barisan hadapan sebagai pelindung keselamatan anak mereka. Di seluruh dunia, kanak-kanak sering dijadikan mangsa keganasan individu yang tidak berakal dan berhati binatang. Lantaran itu, ibu bapa tidak mempunyai pilihan selain melindungi nyawa anak mereka seperti nyawa mereka sendiri.

- Aninah Janang

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.