Oleh Aninah Janang dan Abd. Kadir Mohd. Ayub

Inai di jari masih merah tetapi sudah bergelar janda! Keadaan ini umpama barah yang semakin kritikal, seolah-olah menjadi trend terkini dalam kalangan masyarakat di negara ini. Senario itu lebih ketara dalam kalangan pasangan beragama Islam.

Yang mengejutkan, purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod satu pasangan bercerai untuk setiap 15 minit.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, ketika merasmikan seminar sempena sambutan Maulidur Rasul pada Mac 2011 di Putrajaya, angka tersebut diperoleh berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009.

Kebanyakan pasangan yang mengemukakan permohonan cerai di 13 buah pejabat Jabatan Agama Islam memberikan alasan kurang persefahaman sebagai punca mereka bercerai.

Menurut satu lagi kajian yang dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM pada 2011, mendapati bahawa antara punca suami memohon penceraian ialah sikap tidak bertanggungjawab isteri (32.93 peratus), masalah akhlak dan sosial (12.03 peratus), masalah pihak ketiga (5.45 peratus) dan masalah ekonomi (2.26 peratus). Di pihak isteri pula, selain tiada persefahaman, isteri memberikan alasan suami tidak bertanggungjawab (17.68 peratus), masalah akhlak dan sosial (5.84 peratus), wujud pihak ketiga (4.42 peratus), dan masalah seksual (1.38 peratus).

Meskipun kajian JAKIM menunjukkan bahawa sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua pihak (suami dan isteri) sebagai antara faktor utama yang membawa kepada keretakan rumah tangga, namun bagi pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kelantan, Masnah Mohd. Zain, masalah kewangan merupakan satu lagi faktor utama yang menyebabkan berlakunya penceraian dalam perkahwinan.

“Pendapatan yang tidak mencukupi menjadi antara faktor utama penceraian,” tegas Masnah kepada penulis ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada 2002, beliau yang mengetuai penyelidikan “Kesan Pendapatan ke Atas Kadar Penceraian Dalam Kalangan Masyarakat Melayu di Kelantan” mendapati bahawa pendapatan menjadi faktor penting dalam menentukan kekukuhan institusi perkahwinan.

Penyelidikan tersebut menurut Masnah memberikan fokus kepada pasangan Melayu yang bercerai di seluruh jajahan di Kelantan bagi tempoh enam tahun, iaitu dari 1993 hingga 1998, dengan mengambil kira sama ada faktor pendapatan menjadi punca berlakunya penceraian.

Penyelidikan tersebut sengaja memilih Kelantan kerana dua faktor; pertama, Kelantan antara negeri paling tinggi kadar penceraian di negara ini; kedua, Kelantan ialah negeri paling banyak didiami orang Melayu.

Menurut Bancian Penduduk 2000, jumlah penduduk Kelantan sebanyak 1313014 orang. Daripada jumlah tersebut, 95 peratus ialah penduduk berketurunan Melayu.

Masnah turut menjelaskan bahawa proses pembangunan yang berlaku di negara ini banyak mengubah taraf hidup masyarakat. Lantaran itu, keperluan material dalam sesebuah keluarga yang semakin bertambah turut mempengaruhi corak hidup pasangan yang berkahwin.

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan, makanan, pakaian, dan tempat tinggal yang baik kepada keluarga mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.