Oleh Zulkifli Salleh

Dalam ulasan buku yang diterbitkan oleh London Review of Books, Februari 2012, Perry Anderson memulakan penulisannya dengan “buku tentang China, popular dan ilmiah, terus diterbitkan.” Bukan hanya Anderson mengulas buku tentang China, tetapi juga Richard Bernstein, melalui buku “The Chinese Are Coming!” dalam The New York Review of Books.

Sebenarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kepustakaan tentang China membanjiri pasaran, baik buku dan jurnal, mahupun majalah dan akhbar. Misalnya, The Economist yang baru-baru ini muncul dengan “state capitalism” dengan tumpuan terhadap China, disusuli rencana utama, “China and the Paradox of Prosperity”, dalam keluaran berikutnya.

Pada 1 Julai 2011, Parti Komunis China (CCP) menyambut ulang tahun ke-90. Menerusi minggu acara yang direka dengan teliti, termasuk konsert, lakonan semula revolusioner, pertunjukan televisyen, filem propaganda yang padat dengan pelakon terkenal, dan acara pesta di Shanghai, parti tersebut menekankan asal-usul populisnya. Perayaan itu mencapai kemuncaknya dalam ucapan selama 90 minit oleh Presiden Hu Jintao. Dalam ucapan tersebut, beliau menyanjung tinggi pemerintahan Parti Komunis selama 90 tahun, tetapi mengakui keperluan semasa untuk memerangi rasuah. Ketika China menyambut perayaan itu, ratusan juta orang murid sekolah, pegawai, pesara, bahkan eksekutif kanan internet turut menyanyikan lagu merah, yang memuji ibu pertiwi. Panggung wayang membentangkan permaidani merah untuk tayangan filem propaganda tentang kewujudan parti tersebut.

Pada Februari lalu, genap 40 tahun peristiwa yang tidak dijangkakan, iaitu Presiden Richard Nixon, melawat China ketika Perang Dingin sedang memuncak. Dengan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu – semasa pemerintahan Mao Zedong, maka bermulalah era “pembukaan China,” yang menjadi sejarah. Semasa di bawah kepimpinan Deng Xiaoping, secara perlahan-lahan China membuka pasarannya dan terangkum dalam arus perdagangan ekonomi dunia kapitalis.

Kini, dalam kuasa ekonomi global, AS masih menduduki tempat pertama, tetapi disaingi rapat oleh China yang menduduki tempat kedua. China mempunyai lebihan imbangan perdagangan yang sangat besar dengan AS. Daripada hutang kerajaan AS berjumlah AS$14.3 trilion, seperti yang didedahkan oleh Business Insider pada Julai 2011, AS$1.16 trilion (lapan peratus) dimiliki China.

Menurut Immanuel Wallerstein, hubungan China dengan AS, menjadi tumpuan penulis blog, media, ahli politik, dan birokrat antarabangsa. Analisisnya dikemukakan sebagai hubungan antara kuasa besar yang sedang merosot, iaitu AS, dengan negara yang “muncul” secara pantas, iaitu China. Di dunia Barat, China dianggap sebagai “ancaman.” Setelah menyoroti sejarah hubungan antara kedua-dua buah negara itu, Wallerstein merumuskan bahawa, pada takat tertentu, China dan AS saling menyaingi, tetapi tidak bermusuhan. Mereka menjadi rakan usaha sama lebih daripada yang kedua-dua negara itu akui, dan akan menjadi rakan usaha sama yang lebih erat ketika dekad bergerak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.