Oleh Hairi Ismail

Apabila media antarabangsa melaporkan pada November 2011 bahawa gaji Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan dipotong sebanyak satu per tiga atau kira-kira 36 peratus, berita tersebut menarik perhatian dunia untuk mengetahui jumlah sebenar gaji yang diperoleh oleh pemimpin berusia 60 tahun itu. Apa-apa alasan sekali pun, potongan tersebut terlalu tinggi meskipun bagi seorang Perdana Menteri.

Meskipun selepas potongan gaji tersebut, Hsien Loong masih menjadi pemimpin negara yang menerima gaji paling tinggi di dunia selepas diwartakan! Beliau kini menerima pendapatan berjumlah AS$1.69 juta atau RM5.31 juta setahun berbanding dengan AS$2.18 juta (RM7.63 juta) pada tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan, gaji Hsien Loong itu ialah 40 kali ganda daripada pendapatan per kapita Singapura, iaitu kira-kira AS$2400 (RM8400) sebulan.

Penyelarasan semula gaji Hsien Loong merupakan rentetan daripada janji Parti Tindakan Rakyat (PAP) semasa pilihan 2011, ekoran kemarahan rakyat yang menilai gaji pegawai kanan kerajaan terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Tekanan tersebut menyebabkan kerajaan Hsien Loong menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menilai gaji pegawai kanan kerajaan termasuklah menteri kabinet dan presiden. Masing-masing menikmati gaji baharu bermula 2012, iaitu sekitar satu per tiga lebih rendah berbanding dengan gaji sebelum ini.

Presiden Singapura, Tony Tan pula menerima gaji baharu sebanyak SG$1.54 juta (RM3.76 juta) setahun, iaitu pengurangan 51 peratus berbanding dengan gaji yang asal, manakala menteri kabinet yang baharu dilantik menerima separuh daripada gaji Perdana Menteri. Seperti juga Hsien Loong, Menteri Kabinet Singapura masih menjadi pegawai kanan negara yang menerima gaji paling tinggi di dunia, iaitu mencecah jutaan dolar AS.

Pendapatan pemimpin Singapura yang disifatkan sebagai luar biasa itu acap kali dibandingkan dengan pendapatan pemimpin dunia yang lain. Paling kerap adalah dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang lebih berpengaruh berbanding dengan Hsien Loong sama ada dari segi kuasa atau kekuatan ekonomi negara. Obama juga merupakan presiden negara yang keluasannya lebih 10 kali ganda berbanding dengan Singapura. Maka, paling tidak pun, gaji Obama mestilah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Hsien Loong. Obama hanya menerima gaji sebanyak AS$400 000 (RM1.25 juta) setahun, iaitu hampir lima kali lebih rendah daripada Hsien Loong.

Jika dilihat dari senarai pemimpin dunia yang memperoleh pendapatan tertinggi, Obama tidak langsung menyaingi Hsien Loong apabila hanya berada di kedudukan keempat. Hal ini demikian kerana pemimpin yang memperoleh pendapatan kedua tertinggi di dunia selepas Hsien Loong ialah Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang, iaitu sebanyak AS$543 500 (RM1.7 juta).

Meskipun jurang gaji Tsang dengan Hsien Loong amat ketara, iaitu kira-kira empat kali lebih rendah, tetapi gaji Tsang lebih tinggi berbanding dengan gaji pemimpin negara jirannya, iaitu Presiden China, Hu Jintao, yang hanya memperoleh pendapatan sekitar AS$418 000 (RM 1,263 196) setahun, sedangkan China ketika ini antara negara ekonomi terkuat di dunia.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

1 Maklum Balas

  1. Darin Mormon Komen:

    Orang akan membeli setiap situasi yang ‘ satu ke pelanggan . ”
    Jangan hanya berhenti dari sesuatu; memiliki sesuatu untuk beristirahat .

    Dihantar pada 15 Mac, 2012, 8:41 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.