Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Bagaikan pesta! Tanggal 16 Mei 1992 masih segar dalam ingatan penulis. Walaupun hanya “memenuhi” barisan ruang kosong di hadapan televisyen (TV) kerana tidak berkesempatan menyaksikan perlawanan akhir Piala Thomas antara pasukan Malaysia bertemu seteru utamanya, Indonesia, aura dan semangat “Malaysia Boleh” menggegarkan tubuh penulis.

Lagu keramat Fikirkan Boleh yang dicipta khusus untuk kejohanan tersebut sering kali diputarkan baik di TV mahupun di corong radio. Rakyat Malaysia berteriakan bersama-sama menyanyikan lagu tersebut. “Penangan” Piala Thomas terserap dalam benak jiwa dan fikiran rakyat Malaysia. Ribuan penyokong membanjiri segenap ruang Stadium Negara, ditambah lagi jutaan rakyat Malaysia yang setia memberikan sokongan padu melalui siaran langsung yang dibawa khas oleh sebuah stesen TV tempatan.

Pada masa itu, enjutan rejaman yang dilakukan Cheah Soong Kit bukan sahaja memberikan mata kemenangan kepada beregu Soong Kit- So Beng Kiang, malah kemenangan tersebut turut membawa kejayaan yang cukup bernilai kepada seluruh rakyat Malaysia. Jeritan, laungan, tangisan, dan doa mengiringi kejayaan pasukan negara.

Kejayaan ini menandakan berakhirnya penantian selama 25 tahun menawan Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1967. Paling manis kejayaan tersebut direalisasikan dengan mengalahkan juara lapan kali, Indonesia. Sejak itu, bagaikan satu fenomena baharu melanda rakyat di negara ini tidak kira bangsa, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa. Mereka memasang impian dan cita-cita yang tinggi untuk menjadi “wira” negara, seperti Rashid Sidek, Razif Sidek, Jailani Sidek, Foo Kok Keong dan Kwan Yok Meng.

Bagi penulis, kejayaan ini tidak mampu diraih tanpa “bantuan” penyokong yang berpayung di bawah bendera Malaysia yang turun bersama-sama memberikan sokongan padu kepada pemain. Pandangan penulis ini ada asasnya apabila Rexy Manaiky dalam satu sidang media di Stadium Juara pada 2010 yang juga pada ketika itu bergandingan dengan Ricky Subadja mengakui bahawa salah satu punca kekalahan Indonesia di tangan Malaysia, kerana faktor gerun dengan kehadiran penyokong negara pada masa itu.

“Kekalahan kami bukan kerana tidak kuat, tetapi disebabkan pemain dan penyokong setia Malaysia pada ketika itu bersatu hati. Saya dan rakan-rakan amat gugup serta bulu roma kami naik apabila melihat ribuan penyokong Malaysia memenuhi stadium hingga permainan kami serba tidak menjadi,” kata Rexy.

Setelah hampir sekian lama tidak merasai “suasana” pada 1992 tersebut. Penutup tirai 2010 membawa rakyat Malaysia sekali lagi berasa bangga apabila skuad bola sepak negara di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki buat julung kalinya.

Bangga kerana Malaysia yang hanya dibarisi pemain muda yang berusia seawal 20-an, tetapi mampu melakar kejayaan yang selama ini dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak tempatan. Megah disebabkan pasukan negara berjaya “mengajar” pemain dan penyokong fanatik pasukan lawan, Indonesia di Stadium Bung Karno yang dibanjiri lebih daripada 100 ribu penyokong setianya.

Ketika itu juga, bagaikan badai tsunami melanda negara ini kerana setiap detik, setiap minit, dan setiap masa semua pihak hanya bercerita tentang kejayaan pasukan negara. Yang memberikan impak positif kepada negara adalah kesepakatan dan perpaduan rakyat dengan jelas dizahirkan melalui sokongan padu yang tidak mengenal agama, bangsa mahu pun keturunan – masing-masing bersatu hati memakai jersi kebangsaan sebagai tanda sokongan.

Namun, bukan itu fokus yang ingin diperjelaskan, tetapi yang lebih penting dan utama adalah bagaimana sukan menyatukan rakyat yang datang daripada pelbagai latar belakang dan agama, jiwa yang sedang “berperang”, dan fahaman politik yang tidak pernah sehaluan.

Keadaan ini jelas menunjukkan sukan salah satu platform terbaik untuk memupuk semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Tidak hairanlah Malaysia menjadi negara inspirasi kepada negara Dunia Ketiga, terutamanya anggota Komanwel.

Bagi Naib Presiden Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), Samuel John Sitta, suasana di negara ini bertepatan dengan asas penubuhan CPA yang menekankan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa, kaum dan agama. Jelasnya lagi, kebanyakan anggota Komanwel terutama Afrika yang sentiasa dibelenggu oleh perang saudara, masalah perkauman, dan keganasan yang akhirnya melumpuhkan ekonomi dan negara tersebut.

“Isu seperti ini tidak boleh diselesaikan bersendirian, sebaliknya perlu ada model untuk dijadikan ikutan dan saya percaya Malaysia boleh memainkan peranan membantu rakan Komanwel mengatasi krisis dalaman seumpama ini,”ujar Samual semasa berucap di Persidangan Parlimen Komanwel ke-54 pada 2008 di Kuala Lumpur.

Apa-apa pun, persoalannya, benarkah sukan boleh menjadi salah satu alat untuk menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat mahupun penduduk di seluruh dunia? Adakah pendekatan ini hanya sekadar retorik yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak demi meraih publisiti?

Bukan Sekadar Sukan

Mungkin banyak pihak beranggapan bahawa sukan tidak lebih daripada mencari kekuatan dan kelemahan sesebuah negara. Ada pula yang menyimpulkan bahawa sukan sekadar mencipta satu lagi “pertempuran” manusia dengan manusia kerana masing-masing ingin menonjolkan kemampuan diri dan negara yang sekali gus menyaksikan siapa yang lebih layak dikatakan sebagai “jaguh” dunia.

Penulis merasai sendiri pengalaman semasa Kelayakan Piala Dunia 2014 antara Harimau Malaya dengan seteru utama, Singapura, pada 28 Julai tahun lalu yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Mungkin banyak pihak yang mengetahui agak mustahil untuk Malaysia melangkah ke peringkat seterusnya kerana pertemuan pertama yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, berkesudahan negara Kota Singa tersebut mempunyai kelebihan dua gol.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”, mungkin itulah pepatah yang sesuai ditujukan kepada pemain dan peminat bola sepak tempatan. Buktinya, bukan 50 orang atau 60 ribu orang yang hadir, tetapi 100 ribu orang penyokong Harimau Malaya membanjiri stadium tersebut demi memberikan sokongan moral terhadap pasukan bimbingan K. Rajagopal itu.

Yang paling membanggakan, jumlah tersebut tercatat sebagai rekod paling banyak penonton yang pernah membanjiri stadium tersebut sejak dibangunkan pada 1998. Penulis turut kagum dengan semangat dan kesungguhan orang Melayu, India, Cina, dan setiap kaum di negara ini kerana bersatu hati menunjukkan semangat cinta akan negara.

Kali ini semua persengketaan yang selama ini dibangkitkan sejak belakangan ini diketepikan sejenak. Segala fahaman politik serta pemikiran yang tidak sehaluan “dilupakan” semata-mata ingin bersama-sama sebagai “pemain ke-12” di stadium tersebut.

Yang paling mengharukan apabila lagu kebangsaan yang menjadi tonggak utama rakyat negara ini sejak 1957 dinyanyikan dengan penuh patriotisme. Semua penyokong tidak kira kulit, bangsa, dan agama memakai jersi kuning hitam yang menjadi warna “keramat” pasukan Harimau Malaya.

Daripada yang kecil hingga kepada dewasa, lagu Negaraku dilaungkan dengan penuh penghayatan, sehingga ada yang memegang bendera yang tertera di dada jersi sebagai simbolik menyerap rasa cinta akan tanah air. Mungkin bagi penulis rasa cinta dan semangat kebersamaan ini bukan baru dipupuk, tetapi sejak akhir-akhir ini kesepakatan ini semakin “longgar” dek hasutan pihak tertentu.

Bagi Tokoh Sejarah, Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, sukan sebagai alat perpaduan dibuktikan selepas Perang Dunia Kedua lagi. Misalnya, pada 1975 sewaktu pasukan hoki kebangsaan mara ke pusingan akhir Piala Dunia yang berlangsung di Stadium Merdeka. Ketika itu, skuad kebangsaan mara ke separuh akhir dan bertemu dengan pasukan India.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.