Oleh Shamsiah Abd. Kadir

Judul : Pertikaian Perdagangan Pengguna: Penyelesaian Pertikaian Alternatif di Malaysia
Pengarang : Nor’Adha Ab. Hamid dan Sakina Shaik Ahmad Yusoff
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun : 2011
Harga : RM30 (305 Halaman)

Globalisasi yang sedang menakluki dunia perdagangan kini mempamerkan pelbagai permasalahan dalam konteks perdagangan pengguna. Berhadapan dengan pelbagai cabaran dan permasalahan yang berhubung kait dengan barang dan perkhidmatan yang disediakan oleh pembekal dan pengilang, pengguna memerlukan kepelbagaian cara dalam sistem penyelesaian pertikaian yang menepati ciri pertikaian perdagangan pengguna serta mempamerkan keanjalan dalam pemakaiannya, lebih mudah diakses, murah serta menjamin kepuasan pengguna.

Buku ini membincangkan mekanisme penyelesaian pertikaian dalam konteks perdagangan pengguna sedia ada di Malaysia. Keperluan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif, seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan Biro Pengantaraan Kewangan, dianalisis keupayaannya dalam menangani kes pertikaian perdagangan pengguna dengan mengambil statistik kes yang difailkan dan diselesaikan oleh mekanisme tersebut.

Dalam menilai keberkesanan mekanisme penyelesaian pertikaian di Malaysia, buku ini juga membincangkan praktis kedapatan di beberapa negara Asia terpilih, seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, Hong Kong dan India, yang mempunyai kepelbagaian mekanisme penyelesaian pertikaian pengguna.

Dalam memberikan gambaran keseluruhan perkembangan dagangan pengguna tempatan khususnya aspek penyelesaian pertikaian perdagangan pengguna, buku ini dibahagikan kepada enam bab. Bab satu yang memfokuskan pengertian konsep “perlindungan pengguna”. Rentetan sejarah perkembangan perlindungan pengguna dalam perdagangan juga dimuatkan bagi memberikan kefahaman tentang susur galur perkembangan perlindungan pengguna di dunia.

Dalam memahami konsep perlindungan pengguna yang diamalkan di negara ini, bab dua membincangkan senario tempatan, kerangka perundangan dan kerangka institusi perlindungan pengguna Malaysia. Antara kata kunci yang menjadi tunjang buku ini termasuklah “pertikaian perdagangan pengguna”. Perbincangan khusus tentang konsep ini dalam bab tiga.

Bab empat pula memfokuskan realiti tempatan dalam konsep mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif. Bab ini membincangkan beberapa mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif terpilih sedia ada dalam konteks perdagangan pengguna. Setelah mengenali mekanisme sedia ada di Malaysia, satu paparan senario beberapa negara Asia terpilih dikemukakan dalam bab lima bagi kajian perbandingan dan penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian di Malaysia.

Buku ini diakhiri rumusan yang dibincangkan dalam bab enam tentang keseluruhan kandungan yang tertumpu pada penyelesaian pertikaian alternatif dalam konteks perdagangan pengguna dengan mengemukakan satu skema penambahbaikan pada sistem penyelesaian pertikaian sedia ada di Malaysia dalam konteks perdagangan pengguna.

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.