Oleh Mus Lakawa

Populariti sukan bola sepak meningkat secara mendadak terutamanya pada abad ke-20. Dengan berlandaskan undang-undang asal yang diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) pada 1863, sukan ini sekarang diiktiraf sebagai sukan nombor satu dunia.

Berpaksikan permainan berpasukan, bola sepak pada hakikatnya memiliki aura luar biasa yang mampu mengubah reputasi individu mahupun negara. Bola sepak dikatakan mula wujud di China sejak abad ketiga lagi, dan sukan ini dimainkan di lebih 200 buah negara di seluruh dunia dengan penglibatan mencecah hampir 500 juta orang. Mengambil kira statistik tersebut, bola sepak akhirnya ditafsirkan sebagai industri sukan yang menguntungkan dan bukan semata-mata permainan menendang dan mengejar bola di atas padang.

Perolehan melalui pendapatan hak siaran televisyen dan penjualan tiket di stadium juga cukup tinggi. Hal ini merupakan perniagaan asas dalam industri tanpa melibatkan pendapatan lain seperti penajaan, gaji, elaun, penjualan cenderahati dan hadiah kemenangan. Bukti paling jelas apabila penganjuran Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, dua tahun lalu, memberikan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) keuntungan mencecah AS$3.64 bilion (RM11.04 bilion). Persoalannya, sejauh manakah pendapatan mewah hasil daripada permainan bola sepak, mampu dikategorikan sebagai “rezeki halal” terutamanya kepada pemain?

Melihat senario kini termasuklah permintaan yang mencurah-curah, pelbagai taktik digunakan oleh pihak tertentu dalam mengaut keuntungan segera hasil daripada ketaksuban masyarakat terhadap sukan bola sepak. Jalan pintas selalu digunakan iaitu menerusi amalan bookie dan aktiviti mengatur perlawanan dengan menjadikan pemain bola sepak sebagai “watak utama”.

Amalan dan aktiviti ini menular dalam bola sepak antarabangsa terutamanya melibatkan penganjuran kejohanan besar mahupun persaingan dalam liga berprofil tinggi, yang diistilahkan sebagai satu jenayah rasuah. Lebih memburukkan keadaan, apabila jenayah rasuah dalam industri ini turut melibatkan pemimpin atasan persatuan seperti yang menimpa calon Presiden FIFA, Mohammed Hammam, yang dituduh memberikan rasuah bagi memenangi pemilihan jawatan tersebut pada tahun lalu.

Di Malaysia, peminat sukan ini sepatutnya bersyukur kerana aktiviti rasuah melibatkan pemimpin bola sepak tidak pernah dilaporkan. Namun yang dikesali adalah apabila jenayah ini meracuni kerjaya pemain tempatan sejak sekian lama. Pada Mei tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengesahkan kebenaran bahawa aktiviti rasuah sebenarnya masih menapak dalam bola sepak tempatan, sekalipun pada tahap minima.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.