WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.224.103.239' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.224.103.239','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Harga Nyawa dan Keganasan','/?p=2792','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Februari lalu, sebaik-baik Thailand mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa kerajaan untuk memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas di selatan Thailand, penulis menarik nafas lega. Sudah lebih lapan tahun, selatan Thailand bermandikan darah dan sepanjang tempoh itu juga, ketakutan dan kesedihan sentiasa menyelubungi kehidupan mereka.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Kehakiman, Jeneral Pracha Promnok, memutuskan pakej ganti rugi bagi keluarga empat kumpulan mangsa keganasan di Narathiwat, Patani, Yala, dan empat daerah di Songkhla, dalam satu mesyuarat di sebuah hotel di daerah Hat Yai, Songkhla, pada 12 Februari lalu.

Mereka yang cedera, hilang upaya atau ditangkap secara tidak sah semasa keganasan di selatan Thailand, berhak menerima ganti rugi antara 10 ribu baht (RM981) hingga 350,ribu baht (RM34,346), bergantung pada kecederaan yang dialami. Sementara itu, keluarga mangsa yang terbunuh dalam empat kategori keganasan tersebut masing-masing menerima ganti rugi 7.5 juta baht (RM736 ribu).

Antara kumpulan yang layak mendapat ganti rugi tersebut termasuklah keluarga yang terjejas akibat tragedi Masjid Kerisik, di Patani, pada 28 April 200; pembunuhan pemain bola sepak di daerah Saba Yoi, Songkhla (28 April 2004); protes di Tak Bai, Narathiwat (25 Oktober 2004); serangan bersenjata ke atas sebuah masjid di Ban Ai Payae, daerah Cho Airong, di Narathiwat (8 Jun 2009); 37 kes mangsa diculik dan beberapa siri keganasan yang lain.

Banyak pihak merumuskan bahawa keprihatinan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra meskipun tidak mampu mengembalikan nyawa mereka yang tidak berdosa, setidak-tidaknya masih ada sekelumit simpati dicurahkan kepada rakyat di daerah terpinggir itu.

Ironinya, pengumuman tersebut dibuat selang beberapa hari selepas Pejabat Akauntabiliti Amerika Syarikat (AS), mengumumkan membelanjakan lebih daripada AS$30 juta (RM91.2 juta) di Iraq dan Afghanistan sepanjang tempoh 2003 hingga 2006 bagi tujuan memberikan wang pampasan kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dalam pelbagai konflik keganasan. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2011, AS turut memberikan AS$688 ribu (RM2.09 juta) sebagai pampasan dan AS$6.8 juta (RM20.67 juta) dana untuk memperbaik infrastruktur yang rosak akibat perang di Afghanistan.

Hal ini bukanlah kali pertama AS bermurah hati menghulurkan bantuan atas kesilapan yang dilakukan oleh mereka. Misalnya, pada 2009, sebanyak 15 orang awam terbunuh dalam serbuan tentera AS di sebuah perkampungan di Afghanistan. Seminggu selepas peristiwa menyayat hati itu, pemerintah tentera AS mengadakan lawatan mengejut ke lokasi tersebut dan mengagihkan pampasan sebanyak AS$40 ribu (RM121 600). Mangsa yang meninggal dunia menerima pampasan sebanyak AS$2500 (RM7600), manakala AS$500 (RM1520) untuk dua orang lelaki yang cedera dan AS$1500 (RM4560) untuk membaik infrastruktur kampung.

Penulis tertanya-tanya di sebalik topeng keprihatinan ciptaan AS dan Thailand, sejauh manakah mereka menilai harga nyawa orang awam? Lebih penting lagi, adakah wang ringgit mampu membayar kesengsaraan dan trauma yang terpaksa ditanggung oleh mangsa dan ahli keluarga mangsa yang terkorban? Felo Penyelidik Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kamaruzzaman Bustamam, menjelaskan kepada penulis bahawa wang tidak mampu memadamkan memori hitam yang berlaku di selatan Thailand.

“Puluhan keluarga kehilangan orang tersayang dalam keadaan yang amat menyedihkan. Kesakitan ini akan terus kekal bersama-sama mereka buat selama-lamanya,” ujar Kamaruzzaman ketika dihubungi penulis. Penulis bersetuju dengan kenyataan tersebut. Dalam situasi apa-apa sekalipun, nyawa manusia tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Kuasa ketenteraan yang disalahgunakan oleh mana-mana negara hanya mengakibatkan dunia tidak aman dan lebih banyak nyawa manusia yang tidak berdosa menjadi korban.

- Aninah Janang

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.