Oleh Aziyatul Huzaimah

Gigi umpama mutiara. Tiada sesiapa pun yang mahu kehilangan gigi, apatah lagi menderita kerana terpaksa menanggung sakit gigi yang menyeksa. Hakikat yang perlu diterima ialah sesiapa pun tidak terlepas daripada kehilangan gigi sama ada disebabkan oleh faktor kerosakan gigi atau faktor usia.

Kebimbangan ini w alau bagaimanapun berakhir apabila teknologi dalam bidang perubatan menjadi penyelamat kepada penampilan seseorang, iaitu dengan kejayaan menghasilkan gigi tiruan atau implan gigi. Di Malaysia, implan gigi berjaya dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai Presiden Persatuan Pergigian Implan Malaysia, Dr. Firdaus Hanapiah.

Lebih membanggakan, penyelidikan yang dijalankan pada 2009 merupakan hasil titik peluh saintis tempatan yang sekali gus melakar sejarah penghasilan implan gigi pertama di Malaysia.

Dengan kos rawatan sebanyak RM750, mereka yang memerlukan pemasangan implan gigi boleh mendapatkan implan tersebut di klinik pergigian persendirian atau kerajaan tanpa perlu dibelenggu oleh masalah kos yang berganda. Sebelum ini, kos rawatan implan gigi keluaran syarikat luar negara mencecah RM2000.

Syarikat Delphax Sdn. Bhd., merupakan salah satu syarikat di Malaysia yang bertanggungjawab memasarkan implan gigi yang dikenali sebagai Novella Ultima sejak 2011. Pengarah Urusan Delphax Sdn. Bhd., Azman Jufri, menjelaskan kepada penulis bahawa produk berkenaan dihasilkan sebagai langkah untuk membantu mengurangkan beban rakyat di negara ini memandangkan kos membuat implan gigi yang terdapat di pasaran tempatan sebelum ini bernilai ribuan ringgit.

“Hal itu menyebabkan banyak orang tidak mampu membuat implan sedangkan mereka memerlukan rawatan tersebut,” ujar Azman.

Hakikatnya, tiada pengganti gigi yang terbaik apabila seseorang mengalami masalah gigi patah atau terpaksa dicabut. Lantaran itu, alternatif terbaik adalah menggunakan implan gigi.

Mengimbas kembali sejarah, implan gigi ditemui sejak ribuan tahun yang lalu. Peradaban pra-Columbia Maya menggunakan implan gigi sebelum Per-Ingvar Branemark (bapa pergigian moden dunia) memulakan penyelidikan tentang implan titanium pada 1350.

Uniknya, Branemark bukan seorang doktor gigi. Sebaliknya, beliau pakar bedah ortopedik dari Sweden yang mendapati titanium dan tisu hidup boleh berinteraksi dengan baik bagi menggantikan gigi yang dicabut atau rosak.

Semenjak itu, perkembangan implan gigi tidak pernah terhenti. Banyak pakar pergigian dari Barat berlumba-lumba menghasilkan implan gigi yang terbaik. Di seluruh dunia, terdapat lebih 250 buah syarikat pengeluar implan gigi dengan setiap satunya mendakwa mereka pengeluar implan yang terbaik. Walau bagaimanapun, menurut Azman, implan gigi yang terbaik diukur dalam satu pakej, iaitu reka bentuk implan yang mesra pengguna, kejayaan klinikal dan kejayaan pasaran.

Selain harga yang murah, implan gigi Novella Ultima juga mesra pengguna dan pemasangannya cukup ringkas dengan keutamaan menjana integrasi gusi dan tulang, sekali gus menguatkan gusi yang dipasang dengan implan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

1 Maklum Balas

  1. Roslan Bin Puteh Komen:

    Saya berumur 55 thn , tidah bekerja,( telah bersara) masaalah saya ia lah kehilangan gigi atas dan bawah , gigi bawah hilang keseluruhan akibat kerosakan gigi, kini saya menggunakan gigi palsu penuh di bahagian bawah, yg menjadi masaalah saya ialah ketika waktu makan, saya mengalami kesukaran apabila gigi tersebut akan bergerak dan kadang kala hampir terkeluar ketika makan, ini menyebabkan saya akan mengalami kesakitan apabila saya mengunyah makanan, gigi palsu tersebut bergesel pada gusi saya. walaupun saya menggunakan pelekat gigi palsu yg saya dapati di farmasi. namun ia tidak dapat bertahan lama. apabila saya makan maka akan tertanggal la pelekat tersebut. di sini saya ingin mendapatkan bantuan di mana saya boleh membuat implan gigi dgn kos yg murah , saya dapati klinik yang ada membuat implan ini kos nye terlalu tinggi, saya tak mampu untuk melakukan nye, kos nye mencecah RM 4,000 bagi setiap batang gigi sekeru yang di tanam untuk memasang gigi palsu tersebut. saya harap dapat berikan dimana ada klinik yang boleh membuat implan yang memberikan harga yang berpatutan dan berkemampuan saya.

    Dihantar pada 23 Mac, 2012, 5:27 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.