Oleh Ku Seman Ku Hussain

Satu adegan daripada filem Jogho arahan U-Wei Saari yang memaparkan Pak Mat (Khalid Salleh) terbaring selepas ditanduk oleh lembu laga kelihatan begitu realistik. Peralatan, kostum, gerak lakon dan cahaya dalam ruang tamu rumah kampung dilihat amat “akrab” dengan latar budaya filem ini. Penonton berasa seperti berada dalam ruang yang nyata. Segala ”benda” yang kecil yang perlu untuk menyatakan zaman dan milieu sosial terdapat dalam adegan filem tersebut. Kepada sesiapa yang pernah tinggal di kampung, adegan dalam filem Jogho pasti menyentuh perasaan.

Faktor tersebut antara yang menyumbang kepada ketepatan filem Jogho menyusuri masyarakat Melayu yang mundur, tetapi tebal dengan budaya Melayu di selatan Thailand. Tanpa persekitaran tersebut, sudah pasti pengarah tidak mampu membangkitkan kekaguman penonton terhadap usaha meminjamkan realiti ke dalam filem Jogho.

Penonton juga dapat membezakan antara kerja membuat penggambaran di dalam ruang secara bersungguh-sungguh dengan sebaliknya. Penonton pasti berkata, filem A kelihatan lebih “realistik” tentang gambaran rumah kampung yang dicipta oleh penerbit menerusi kesan dinding yang buruk, cahaya malap dan tikar mengkuang yang sedikit reput berbanding dengan filem B yang semacam kurang tepat tentang gambaran rumah kampung yang cuba diketengahkan.

Inilah yang dikatakan rasa seni atau sense of arts dalam kalangan penonton. Dalam hal ini, penghayatan penonton tidak boleh diperkecil. Penonton mungkin tidak bijak tentang rasa seni tetapi mereka boleh menyatakan rasa seni itu sama ada sesuai atau sebaliknya. Tanggungjawab memberikan kefahaman kepada penonton terletak di tangan pengarah artistik, manakala pengarah ialah individu yang bertanggungjawab atas apa-apa yang dilakukan oleh pasukan kreatif yang dilantik.

Dalam istilah perfileman, kerja tersebut dikenali sebagai mise en scene yang merupakan terjemahan longgar daripada bahasa Perancis yang bermaksud adegan. Mise en scene merupakan aspek yang lebih penting daripada aspek penataan artistik sesebuah filem. Mise en scene sebenarnya tercetus daripada istilah teater di Perancis, yang bermaksud mencipta adegan untuk pentas dan turut merujuk susun atur semua elemen visual dalam pementasan teater.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.