Oleh Yasmeen Borhan

Apabila timbul khabar angin yang menyatakan bahawa dua buah syarikat automotif negara, Proton Holdings Bhd. (PROTON) dan Perusahaan Automobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) akan digabungkan, banyak pihak menganggap penggabungan itu akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah struktur industri automobil tempatan.

Kajian yang dibuat oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) pada 16 Januari lalu, menunjukkan bahawa industri automotif tempatan menjadi lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran luar negara sekiranya masalah struktur industri tersebut dapat diatasi. Melalui penggabungan tersebut, masalah seperti kenaikan kos tetap dapat dikurangkan dengan peningkatan pengeluaran penggunaan kapasiti.

Walaupun kedua-dua buah syarikat mengenal pasti bidang kerjasama strategik yang boleh diterokai bagi meningkatkan penggunaan kapasiti dan daya saing, usaha tersebut tidak sempat dilaksanakan apabila PROTON “dilamar” oleh DRB HICOM Berhad pada 17 Januari lalu. Pelbagai spekulasi timbul dan ada yang mempersoalkan, sejauh mana masa depan PROTON di tangan DRB HICOM?

DRB-HICOM Berhad merupakan integrasi syarikat automotif terbesar di Malaysia dengan memiliki kepakaran dalam operasi pengilangan, pemasangan dan pemasaran kenderaan komersial dan penumpang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, pengambilalihan PROTON oleh DRB-HICOM daripada Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), tidak melenyapkan fungsi syarikat berkenaan sebagai pengeluar kereta nasional. Sebaliknya, bakal membawa PROTON kekal berdaya saing dengan pengeluar kereta yang lain dalam persaingan industri automotif yang amat mencabar.

Menurutnya lagi, kerajaan tidak menghalang Khazanah melepaskan kepentingannya dalam PROTON kerana beliau yakin dengan keupayaan DRB-HICOM sebagai konglomerat tempatan yang diterajui tokoh perniagaan Bumiputera yang berjaya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, mampu untuk terus kekal berdaya saing.

“Perkara ini untuk memastikan PROTON berada dalam tangan orang yang diyakini, sekali gus mampu berdaya saing serta boleh mengeksport kereta nasional ke lebih banyak negara,” jelas Muhyiddin dalam sidang media di Semporna, Sabah, Januari lalu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.