Oleh Zulkifli Salleh

Serangan berkembar yang dilakukan oleh Anders Behring Breivik, meledakkan bangunan kerajaan di Oslo, dan beberapa jam kemudian, pula menyerang perkhemahan belia di Pulau Utoya pada akhir Julai tahun lalu, mengorbankan 76 nyawa, membangkitkan kesedaran tentang kewujudan neo-Nazi bukan sahaja di negara itu, tetapi juga di negara lain, seperti Sweden, Belgium dan Jerman.

Banyak orang menyertai neo-Nazi dan ideologi kanan jauh (far right) yang lain berasa diri mereka dilucutkan kuasa dan dipinggirkan. Mereka percaya bahawa cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan berpatah balik ke masa lalu yang dianggap indah, berasaskan kaum, dan pada takat tertentu berasaskan agama.

Kira-kira empat tahun lalu, pernah ditonjolkan kebangkitan neo-Nazi di Eropah Timur dan Rusia. Kebangkitan ini berlaku setelah 75 tahun selepas Hitler berkuasa di Jerman yang menyaksikan pengaruh ideologinya mendatangkan pelbagai implikasi negatif seperti peningkatan serangan rasis, terutamanya di negara bekas Kesatuan Soviet.

Di Rusia, salah satu kawasan pergolakan utama untuk kegiatan neo-Nazi, aktivis hak asasi manusia menganggarkan wujud kira-kira 70 ribu orang skinheads. Sementara itu, di rantau Baltic, iaitu di Estonia, Luthuania, dan Latvia, kumpulan neo-Nazi kebanyakannya terpinggir daripada politik arus perdana. Negara demokrasi yang lama wujud di Eropah Barat juga didapati tidak kebal daripada pengaruh neo-Nazi dengan serangan dan gerakan kanan jauh di negara, seperti Sepanyol dan Greece. Merentas benua itu, gerakan kanan jauh menarik golongan belia yang menganggur, tidak terpelajar, dan mereka yang menentang imigrasi.

Pada keluaran 15 Ogos 2011, Newsweek muncul dengan rencana utama yang bertajuk, “Fascist Russia?” ditulis oleh Owen Matthews dan Anna Nemtsova. Mereka mendakwa bahawa Kremlin bermain permainan yang bahaya ekoran tunduk pada tuntutan puak kanan jauh yang menimbulkan kebencian. Beberapa jam selepas tragedi di Norway itu, puak bawah tanah ultra nasionalis Rusia meraikan, “Breivik ialah wira kulit putih.”

Salah satu agenda perjuangan parti ultra nasionalis yang dikenali sebagai Demokrat Nasional adalah menghentikan “pengislaman Rusia” dan menyekat penghijrahan peribumi Caucasus ke Rusia Eropah. Pemimpinnya, Dmitry Fiaktistov mahukan “kawasan etnik Rusia yang tulen” diwujudkan supaya orang Rusia dapat diasingkan, seperti pengasingan yang berlaku antara orang Yahudi Israel dengan rakyat Palestin di Tebing Barat.

Neo-Nazi dan Fasis di Eropah selalunya dilihat dalam konteks kebangkitan kanan jauh dan parti populis, seperti yang pernah dicatatkan oleh Jamie Barlett dalam Foreign Policy bahawa parti populis melanda Eropah, dan Facebook. Dalam makalah “Europe Facebook Fascists,” Barlett menulis, di Eropah, parti populis ditakrifkan oleh penentangan mereka terhadap penghijrahan dan keprihatinan untuk melindungi budaya kebangsaan dan Eropah, terutamanya terhadap ancaman yang ditanggapi daripada Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.