Oleh Arith Islam

Malaysia pada 2011, mencatat peningkatan positif dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) apabila diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di Asia Pasifik dan 25 terbaik daripada 132 buah negara seluruh dunia. Pada 2010, EPI Malaysia berada pada kedudukan ke-54 dalam kalangan 163 buah negara di seluruh dunia dan keenam di Asia Pasifik.

Dalam mengukur EPI sesebuah negara, antara aspek yang dinilai adalah perubahan iklim, pertanian, perikanan, perhutanan, pencemaran air dan pencemaran udara yang memberikan kesan kepada manusia dan hidupan yang lain.

Di rantau Asia Pasifik, New Zealand, berada di tempat teratas, diikuti Jepun sebelum Malaysia. Sementara itu, di peringkat dunia, EPI Malaysia setanding dengan Jerman, Iceland, Finland, Denmark, Belgium dan Jepun. Kedudukan EPI tersebut di umumkan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, pada 27 Januari lalu. Menurut Ketua Pasukan EPI Malaysia, Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang, ketika diwawancara oleh penulis baru-baru ini, penanda aras EPI memberikan imej baharu kepada negara.

Kajian EPI tersebut dilakukan oleh kumpulan penyelidik Universiti Yale dan Universiti Colombia, Amerika Syarikat, dengan kerjasama Suruhanjaya Eropah dan Forum Ekonomi Dunia bagi menilai pelestarian sesebuah negara melalui dua objektif utama, iaitu kesejahteraan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap kesejahteraan hidup manusia.

Berdasarkan petunjuk yang dikeluarkan, prestasi Malaysia berada pada kedudukan yang amat baik dari segi kesan udara kepada kesihatan manusia, iaitu 97.3 peratus, pertanian (95 peratus) dan biodiversiti serta habitat (90.1 peratus).

“Walau bagaimanapun, langkah proaktif bagi menambah indeks perubahan iklim dan perhutanan perlu diambil yang masing-masing dinilai pada kadar 28 peratus dan 17.4 peratus saja,” jelas Zaini kepada penulis.

EPI turut memberikan kesedaran kepada perancang dan pembuat dasar negara di dunia berkaitan dengan pentingnya menetapkan sasaran dan menyediakan data yang telus bagi mengukur kelestarian berasaskan 25 penunjuk prestasi alam sekitar. Zaini yang juga Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, menjelaskan bahawa peningkatan EPI itu juga disebabkan insentif kerajaan yang banyak memberikan penekanan kepada kelestarian Model Baru Ekonomi (MBE).

Sebelum ini, Malaysia tidak terlepas daripada isu alam sekitar, seperti kejadian tanah runtuh, sungai tercemar, dan pembuangan sisa toksik secara haram. Hal ini mengakibatkan segelintir masyarakat membuat kesimpulan mudah dengan menyatakan bahawa prestasi alam sekitar negara berada pada tahap yang kurang memuaskan.

Menerusi EPI, rakyat dapat mengetahui dengan jelas sejauh mana pencapaian alam sekitar negara dalam konteks pembangunan yang lestari. Indeks boleh difahami sebagai pendekatan sistematik yang memberikan nilai bagi mewakili sesuatu tahap perbandingan dan pencapaian. Secara umumnya, untuk mengukur pencapaian sesuatu bidang dengan menggunakan pendekatan indeks bukanlah suatu yang baharu bagi Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.