Oleh S.M. Zakir

Dalam al-Quran tercatat keterangan tentang kerajaan Saba’ yang maju dan moden. Kerajaan Saba wujud 1000 tahun Sebelum Masihi dikatakan mempunyai teknologi yang canggih sehingga mampu membina empangan besar yakni empangan Ma’rib yang mengairi selatan Semenanjung Arab.

Namun kemajuan hebat yang dicapai menyebabkan pemimpin dan masyarakatnya leka kepada dunia sehingga akhirnya mereka semakin tersasar daripada kebenaran agama. Penduduk Saba’ hidup dalam kemewahan, dan bersuka ria dengan hiburan. Akhlak mereka semakin merosot dan akhirnya mereka menjadi masyarakat yang porak-peranda moral, etika dan norma kerohanian.

Mereka dihancurkan Allah dengan bah besar. Dalam al-Quran banyak disebutkan tentang peradaban manusia yang maju tetapi akhirnya mengalami kemerosotan agama dan akhirnya hancur pupus dari muka bumi.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada Kerajaan Atlantis – sebuah negara maju yang disebut oleh Plato hilang pupus ditelan laut. Namun bukti yang jelas dapat dilihat daripada situasi yang berlaku kepada Kerajaan Pompey, sebuah kerajaan yang maju dan besar tetapi akhirnya mengalami keruntuhan moral yang dahsyat sehingga akhirnya hilang pupus ditelan lahar gunung berapi.

Hal ini merupakan sunatullah yakni putaran yang berlaku dalam sejarah perkembangan tamadun manusia, seperti yang disebut oleh Ibnu Khaldun dalam bukunya Muqadimmah tentang putaran tamadun yang melalui proses kemunculan, perkembangan dan kejatuhan – menyamai putaran usia kehidupan manusia. Lantaran itu, menurut Ibnu Khaldun peranan agama sangat penting kepada negara, khususnya dalam membentuk peradaban atau tamadun.

Sesebuah peradaban harus didasarkan kepada agama, baik yang disebarkan melalui proses kenabian yakni nubuwwah atau seruan kebenaran yang disebut da’watul haqq.

Ibnu Khaldun berhujah bahawa negara dan peradaban lahir dengan adanya kekuasaan negara atau dikenali sebagai al-muluk. Namun al-muluk pula diperoleh dengan adanya kesatuan iaitu asabiyyah yang merupakan kesatuan masyarakat dalam menentukan arah tuju serta kebulatan tekad.

Kesatuan semacam ini dapat diperoleh dengan perantaraan pertolongan (ma’unah) daripada Allah dalam menegakkan agama-Nya. Hal ini demikian kerana menurut Ibnu Khaldun asabiyyah iaitu semangat kesukuan Arab merupakan kualiti kesatuan terbaik, namun sukar diatur. Satu-satunya perkara yang dapat mempersatu kabilah kesukuan Arab ini ialah agama, khususnya Islam. Kualiti asabiyyah yang digabungkan dengan peraturan agama dan disiplin akhlak yang murni membina tamadun Islam yang gemilang dalam sejarah dunia, khususnya sejarah perkembangan tamadun agama.

Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa agama adalah asas pembangunan tamadun, dan agama mempunyai peranan penting dan berkesan dalam memandu ummah ke arah kesatuan dan kekuatan, terutama sekali pada tahap permulaan pembentukan negara atau pemerintahan. Agama dapat menghilangkan sikap persaingan manusiawi yang buruk kerana seluruh tujuan masyarakat “dibulatkan” untuk mencapai tujuan agama yakni kebenaran dan kesejahteraan ummah secara keseluruhan.

Lantaran itu apabila semangat agama mulai lemah, agama tidak lagi dapat dipertahankan sebagai landasan matlamat negara. Akhirnya agama hilang fungsi dalam mengatur peraturan dan akhlak masyarakat. Ketika itu kesatuan ummah mulai lemah, dan kemerosotan akhlak yang membawa kepada reputnya jiwa rohani membawa kehancuran pada mulanya kepada nilai dan norma hidup masyarakat, dan akhirnya meruntuhkan negara atau peradaban itu.

Fungsi agama dalam negara adalah berkait rapat dengan manusia (individu) kerana manusia secara langsung merupakan objek pelaksanaan ajaran agama dan sekali gus menjadi daya penggerak proses pembangunan negara dan tamadun. Lantaran itu, negara memerlukan penghayatan agama yang menyeluruh bagi melahirkan rakyat yang teguh jiwa agamanya, dan seterusnya menyatukan matlamat negara dengan matlamat agama.

Dalam sejarah perkembangan masyarakat dan peradaban, terlihat jelas apabila terjadinya kemerosotan akhlak dan pegangan agama, maka bayangan kejatuhan sesebuah peradaban atau negara itu mula kelihatan. Pelbagai teori dikemukakan dalam membuktikan perkara ini.

Terdapat teori yang menarik dikemukakan oleh Malik Ben Nabi dalam melihat hal ini secara tuntas. Beliau melihat tiga tahap atau peringkat perkembangan negara atau tamadun. Pertama, tahap kerohanian yang dapat dilihat dari dua sudut iaitu sosiologi dan psikologi. Dari sudut sosiologi, wujud hubungan masyarakat yang erat dalam kesatuan yang kukuh dibentuk oleh acuan agama, namun masih tidak mengembangkan apa-apa pengaruh dalam hubungan luar. Masyarakat lebih banyak berada dalam pergelutan domestik, namun mempunyai jiwa agama yang teguh dan semangat ummah yang tinggi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.