Oleh Shakil Hameed
Pendedahan Norton Online Family 2010 oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, cukup merisaukan banyak pihak. Menurut Shahrizat, secara purata, kanak-kanak dan remaja Malaysia berusia lapan hingga 18 tahun menghabiskan masa selama 19 jam setiap minggu untuk melayari Internet.
Menurut beliau lagi hanya empat orang daripada 10 orang ibu bapa mengawasi kandungan laman sesawang yang dilayari anak mereka. Pada masa yang sama, 90 peratus daripada 8.5 juta orang kanak-kanak dan remaja dilaporkan terdedah kepada unsur negatif alam siber yang boleh memberi kesan negatif kepada emosi.
Hasil tinjauan media alternatif oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) baru-baru ini pula merumuskan bahawa lebih daripada enam juta orang generasi muda di negara ini menghadapi krisis kecelaruan identiti. Hal ini berlaku disebabkan kebanyakan generasi muda terikut-ikut dengan gaya hidup Barat yang bertentangan dengan budaya setempat.
Menurut Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman, masalah tersebut berada pada tahap yang membimbangkan kerana gaya hidup Barat mendorong generasi muda ke arah pemikiran liberal. Memandangkan 40.28 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini ialah generasi muda yang bakal menjadi pewaris negara, perlunya tindakan segera untuk mengekang pengaruh gaya hidup Barat ini agar tidak menjadi duri dalam daging kepada masyarakat.
Hal ini penting kerana kecelaruan identiti dalam kalangan generasi muda menyebabkan golongan ini semakin sukar merealisasikan masa depan dan hala tuju negara secara menyeluruh. Antara punca berlakunya krisis seperti ini adalah pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2012.









