Oleh Shaharuddin Idrus

Makalah bertajuk, ”Universiti Kita Ketandusan Idea”, tulisan Profesor Dr. A. Murad Merican dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Oktober 2010, dan makalah bertajuk, “Pendidikan: Mencari Kebenaran”, tulisan Profesor Dr. Dzulkifli Abdul Razak juga dalam akhbar Utusan Malaysia pada 12 Oktober 2010, membuka gelanggang perbincangan tentang kekalutan yang berlaku dalam sistem pendidikan peringkat universiti di negara ini.

Warga akademik di kebanyakan universiti tempatan sekarang sedang gelisah ekoran beberapa keputusan yang dibuat pada peringkat tertinggi universiti yang berlumba-lumba mahu meletakkan universiti masing-masing di kedudukan tertinggi universiti terbaik dunia.

Bukanlah tidak wajar meletakkan sasaran sedemikian, tetapi ketaasuban mengejar sasaran tersebut membawa implikasi besar terhadap sebahagian daripada warga akademik yang terhambat pemikirannya dalam mengejar arus keduniaan dengan mengetepikan soal maruah, moral dan etika. Mutakhir ini mengejar pangkat dan harta menjadi mainan utama sebahagian golongan cendekiawan tempatan. Lantas menjadikan suasana “keresahan” tersebut sebagai medan untuk kepentingan peribadi.

Akibatnya, segelintir warga akademik tempatan tidak lagi berminat untuk mempersoalkan teori atau idea besar yang diungkapkan oleh sarjana Barat. Malahan golongan ini menerima bulat-bulat apa-apa juga yang disuapkan oleh pemikir dari Barat tanpa mengambil kira kesesuaiannya dengan sosiobudaya tempatan.

Lantaran keresahan tersebut, wujud pula satu lagi golongan yang terangkum dalamnya ciri munafik yang tidak membawa kemajuan dan perkembangan ilmu untuk negara. Golongan ini sanggup menggunakan apa-apa jua sumber yang ada tanpa mengira keutuhan moral dan etika. Yang penting, matlamat akhirnya berjaya mengejar pangkat berbanding dengan ilmu yang diilhamkan oleh Allah.

Salah satu ukuran yang digunakan oleh universiti tempatan dalam menentukan kedudukannya di persada global adalah penulisan ahli akademiknya yang diterbitkan dan terhimpun dalam pangkalan data yang diindeks melalui pelbagai bentuk dan jenis penerbitan – buku, bab dalam buku, jurnal, prosiding dan sebagainya.

Golongan munafik akademik ini tanpa segan silu mengeksploitasi sumber penerbitan yang diindeks dengan apa-apa juga cara dan mengetepikan soal moral serta etika. Malah dengan penuh bangga menafikan hak orang lain demi mencapai kedudukan dan pangkat.

Sebenarnya, fungsi asas kewujudan sesebuah universiti adalah untuk mencari kebenaran yang mungkin tidak dapat ditemui di tempat lain. Kebenaran yang dicari dapat diperoleh melalui penyelidikan yang dilakukan dengan penuh jujur dan keinsafan yang luhur yang terbit dari hati penyelidiknya.

Salah satu tugas utama universiti adalah untuk menjana pelbagai ilmu baharu yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Tenaga ahli akademik universiti tempatan perlu digembleng untuk menjalankan penyelidikan yang berterusan bagi menghasilkan teori dan ilmu baharu yang mungkin mengubah pandangan dunia.

Hasil penyelidikan yang diperoleh diteliti, dicerakin, digarap, dan diterbitkan dalam pelbagai bentuk penerbitan sama ada dalam mahupun di luar negara. Jika jutaan ringgit yang dilabur oleh kerajaan untuk menghasilkan sesuatu penemuan penyelidikan datangnya dari negara ini, mengapakah harus hasil penyelidikan tersebut diterbitkan di negara luar dan bahasa yang lain pula?

Lebih wajar sekiranya hasil penyelidikan tersebut yang mungkin mengandungi nilai masyarakat di negara ini diterbitkan di Malaysia dan ditulis dalam bahasa Melayu. Hal ini, pada masa yang sama dapat memartabatkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.