Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub

“SAYA serik ke hospital kerajaan. Saya rela menghabiskan wang ringgit demi mendapat layanan dan perkhidmatan yang berkualiti.” Demikian rungutan yang sering didengari daripada mulut kebanyakan orang apabila mereka berurusan di hospital kerajaan.

Seperti yang diketahui, perkhidmatan di hospital kerajaan hanya mengenakan bayaran sebanyak RM1. Selebihnya percuma, kecuali jika pesakit memerlukan rawatan khas untuk penyakit tertentu, mereka dikenakan bayaran mengikut kadar yang ditetapkan. Itu pun pelbagai tabung dana bantuan disediakan oleh pelbagai pihak untuk mengurangkan beban kos rawatan.

Hakikatnya, senyuman merupakan antara “rawatan” paling mujarab untuk mengurangkan kesakitan, keresahan, malah tekanan yang dihadapi pesakit dan ahli keluarga. Tugas seorang jururawat bukannya mudah; mereka terpaksa berdepan dengan jadual tugasan yang tidak menentu. Namun jika difikirkan secara logik, mereka sebenarnya tidak rugi apa-apa jika “menghadiahkan” pesakit sebuah senyuman.

Kerajaan sering menguar-uarkan sikap negatif kakitangan awam “barisan hadapan” yang kurang mesra apabila berurusan dengan pelanggan. Pelbagai kaedah sudah dilakukan oleh kerajaan demi meningkatkan tahap keyakinan rakyat terhadap semua jenis perkhidmatan awam yang terdapat di negara ini.

Keadaan yang berlaku disebabkan sikap segelintir kakitangan awam yang tidak bertanggungjawab sehingga mencalarkan reputasi perkhidmatan awam. Oleh sebab itulah, sebilangan pihak lebih gemar memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta kerana mereka rela berbelanja lebih asalkan mendapat layanan yang sewajarnya.

Kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit setiap tahun hanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam. Hal ini dibuktikan oleh Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sejurus selepas mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam.

Beliau melakukan pelbagai transformasi demi meningkatkan kredibiliti perkhidmatan awam di negara ini. Mungkin tempoh satu penggal pemerintahannya dianggap tidak mencukupi untuk beliau melakukan pelbagai perubahan. Namun beberapa perubahan yang dilakukan mula menampakkan peningkatan yang ketara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2012.

Share

2 Maklum Balas

  1. Azrul Komen:

    Saya rasa sebilangan kakitangan kerajaan terlalu berada di zon selesa. Walau seteruk mana pun, tindakan dikenakan kadang-kadang tidak setimpal. Mungkin kerajaan harus pantau dan merujuk bagaimana singapura mengendalikan kakitangan kerajaannya sehingga negara tersebut mempunyai sistem tercekap di dunia.

    Dihantar pada 15 Mac, 2012, 3:43 pm

  2. Jayson Komen:

    Saya bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh saudara Azrul. Sesetengah kakitangan kerajaan kurang mendalami tugas mereka terutamanya dalam bidang perkhidmatan. Pelanggan merupakan keutamaan tetapi kerana dalam zon yang selesa menyebabkan keutamaan bertukar…” takpelah hujung bulan terima gaji, tak kerja betul-betul pun ada gaji “….berbanding memberi perkhidmatan terbaik dan kepuasan kepada pelanggan..

    Dihantar pada 14 April, 2012, 7:31 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.