Keadaannya sangat mengharukan. Penulis pernah melihat sendiri keadaan seorang pesakit kanser menghembuskan nafas terakhirnya. Kesakitannya tidak terungkap dengan kata-kata.

Penulis masih ingat pesakit kanser itu membisikkan kata-kata terakhirnya ke telinga penulis sebelum beliau pergi buat selama-lamanya, “Sakitnya seperti kulit tubuh sedang disiat-siat.” Penulis hanya mampu mengangguk dan memandangnya penuh simpati apabila mendengar kata-katanya itu. Beliau menghidap kanser pundi kencing dan hanya dapat dikesan oleh doktor setelah kanser itu berada pada tahap empat (paling kritikal). Beliau menderita dengan penuh penyeksaan selama tiga bulan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Berikutan itu apabila penulis mengetahui ada penawar secara klinikal untuk mengubati kanser tahap kritikal, hati penulis tiba-tiba tersentuh. Tiba masanya lebih daripada 11 juta orang pesakit kanser di seluruh dunia (berdasarkan catatan semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia), termasuk lebih daripada 65 ribu orang pesakit kanser di Malaysia, mendapat harapan baharu menamatkan penderitaan mereka. Sebelum ini, kebanyakan pesakit kanser yang dikesan berada pada tahap ketiga dan keempat (fasa kritikal) hanya menunggu saat kematian dengan penuh penderitaan. Mereka hanya boleh diselamatkan dengan “keajaiban.”

Penawar yang berupaya mengubati pesakit kanser tahap kritikal ini dikenali sebagai Human Initiated Therapeutic Vaccine (HITV). Penemuan ini merupakan hasil usaha gigih Dr. Kenichiro Hasumi (pakar dan penyelidik perubatan klinikal) dari Jepun, yang menjalankan kajian rawatan kanser selama hampir 50 tahun dan menemui penawar tersebut pada 2005.

Menurut rekod, sejak penawar tersebut ditemui sudah lebih daripada 350 orang pesakit kanser tahap empat mendapatkan rawatan HITV di ICVS Tokyo Clinic dan hasilnya amat menakjubkan. Semua pesakit yang menerima rawatan berjaya dipulihkan. Memandangkan penemuan ini antara kejayaan terbesar bidang perubatan klinikal di dunia, Hasumi sekarang sibuk memenuhi undangan dari seluruh dunia untuk menerangkan kaedah rawatan HITV.

Di Malaysia, rawatan HITV boleh diperoleh di Pusat Perubatan Antarabangsa Mahameru di Klang, Selangor, di bawah selian Dr. Beh Chor Khim. Dewan Masyarakat berkesempatan menemu bual Chor Khim dan pesakit yang menerima rawatan HITV ini.

Menurut Chor Khim, rawatan HITV yang dibawa ke Malaysia pada 2008 masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dilaksanakan di hospital kerajaan.

Cuma jika tanpa bantuan kewangan, sukar untuk pesakit kanser yang berpendapatan rendah mendapatkan rawatan HITV kerana menurut Chor Kim, kos rawatan HITV sekitar RM150 ribu untuk tempoh rawatan selama tiga minggu. Unjuran itu, setelah rawatan ini diperakui KKM kelak, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berwajib untuk membantu pesakit kanser yang kurang mampu bagi mendapatkan rawatan tersebut misalnya melalui dana bantuan pesakit kritikal di bawah kendalian KKM yang jumlahnya sekarang menjangkau ratusan juta ringgit.

Sebelum ini, Dewan Masyarakat pernah menghuraikan panjang lebar kemelut isu dana bantuan pesakit kritikal yang didakwa terlalu “liat” untuk diluluskan. Namun, khabarnya mutakhir ini sejajar dengan moto, “rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan,” sudah banyak penambahbaikan yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak terhadap pengurusan dana tersebut. Bahkan, sudah tidak kedengaran lagi rungutan daripada pemohon tentang kesukaran mendapatkan dana yang diperlukan untuk menampung kos rawatan yang diperlukan.

Tentu sahaja penemuan rawatan HITV cukup memberikan harapan baharu kepada pesakit kanser. Di Malaysia, dengan segala bantuan yang diberikan kerajaan, tidak ada sebab sesiapa sahaja dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan ini. Selepas ini pasti banyak pihak yang menunggu penemuan penawar penyakit HIV/ AIDS yang sehingga sekarang masih giat dibuat penyelidikan oleh banyak pakar perubatan di seluruh dunia. Tidak mustahil, berkat usaha gigih yang konsisten seperti yang ditunjukkan oleh Hasumi, penawar “berharga” tersebut bakal ditemui.

- Mohd. Shukri Mohd. Ariff

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.