Oleh Nurul Fasihah Abu Bakar

Kejayaan Malaysia mengekalkan statusnya sebagai negara sedang membangun merupakan sesuatu yang amat membanggakan bagi semua rakyat negara ini. Namun, arus globalisasi mendorong Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan setanding dengan negara-negara maju yang lain maka pelbagai dasar telah digubal dan cuba dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan negara untuk mencapai status negara maju. Salah satunya adalah matlamat wawasan 2020. Antara intipati matlamat wawasan 2020 adalah pembentukan negara bangsa yang menjadi isu hangat negara kita pada hari ini. Persoalanya, mampukah penbentukan negara bangsa tercapai menjelang tahun 2020.

Negara bangsa ialah negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Negara bangsa membentuk sebuah negara dengan rakyatnya hidup bersatu padu, berkeyakinan, harmoni, mempunyai daya saing yang tinggi dan mempunyai semangat patriotik yang kental. Rakyatnya akan menikmati kehidupan berasaskan persamaan hak, keadilan dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sistem pemerintahan negara. Faktor-faktor yang membawa kepada pembentukan negara bangsa ialah lingua franca, integrasi, kewarganegaraan, patriotisme dan demokrasi. Dalam usaha pembentukan negara bangsa ini, kerajaan memfokus dan melaksanakan strategi iaitu memperkasakan Bahasa Kebangsaan, memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta membina jati diri dan semangat patriotik dalam diri individu.

Dasar- dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya telah banyak membantu kepada pembentukan negara bangsa. Perlaksanaan konsep 1 Malaysia memberi banyak impak kepada rakyat Malaysia. Konsep 1 Malaysia ini telah dapat mengeratkan perpaduan kaum antara Melayu, Cina dan India. Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara juga merupakan salah satu usaha kepada pembentukan negara bangsa. Program ini dapat memupuk semangat cinta akan negara dan semangat setiakawan yang tinggi remaja-remaja berbilang bangsa. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak  juga merupakan tangga kepada pembentukan negara bangsa. Dasar ini telah sedikit sebanyak berjaya merapatkan jurang kemiskinan antara kaum dan telah mengeratkan perpaduan antara kaum.

Perkahwinan campur juga merupakan penggerak kepada pembentukan negara bangsa. Perkahwinan campur ialah perkahwinan diantara kaum yang berlainan bangsa, negara dan agama. Hasil daripada perkahwinan campur ini akan melahirkan generasi-generasi yang akan mempunyai perasaan cinta pada negara dan mempunyai perpaduan yang utuh dengan kaum lain. Generasi kedua dan ketiga akan lebih berfikiran terbuka dan bersedia untuk menjadi bangsa Malaysia kerana mempunyai semangat perpaduan yang tinggi.

Tercapaikah hasrat pembentukan negara bangsa menjelang 2020. Hasrat ini tidak akan tercapai sekiranya masih ada kekangan-kekangan yang melambatkan proses pembentukan negara bangsa. Isu-isu seperti isu bahasa, sikap etnosentrik, kepentingan ekonomi dan perebutan kuasa adalah halangan utama kepada pembinaan negara bangsa. Isu-isu ini dilihat seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian kerana isu ini melibatkan kepentingan semua kaum.

Pembinaan negara bangsa tidak akan tercapai sekiranya masih ada perasaan etnosentrik dalam kalangan masyarakat iaitu perasaan merendahkan sesuatu bangsa dan budaya kaum lain kerana merasakan  bangsa dan budaya sendiri lebih hebat. Perasaan bangga ini menyebabkan masyarakat sukar untuk menerima kaum lain dalam melakukan aktiviti seharian. Perasaan etnosentrik ini boleh memecahbelahkan keharmonian sesuatu kaum kerana kegagalan untuk bekerjasama dan bertolak ansur. Sikap ini juga boleh membawa kepada pergaduhan besar seperti peristiwa kampung medan dan rusuhan 13 mei.

Pembentukan negara bangsa ini sukar dicapai sekiranya tidak ada komitmen yang menyeluruh oleh rakyat Malaysia sendiri. Semangat perpaduan antara kaum sepatutnya dipupuk semasa kecil lagi. Rata-rata penduduk terutamanya diluar bandar hanya berkawan dengan bangsa yang sama. Ini kerana sesuatu tempat tersebut hanya didominasi oleh satu kaum sahaja iaitu kaum Melayu. Kaum Cina dan India telah migrasi ke kewasan yang lebih maju. Ibu bapa yang berbangsa Cina dan India sanggup menghantar anak belajar di sekolah yang mempunyai lebih kemudahan dan mempunyai persaingan yang sihat.  Anak-anak di sekolah luar bandar memahami erti perpaduan kaum ini setelah mereka melangkah kaki ke peringkat pengajian tinggi. Tidak salah sekiranya meletakkan guru pelbagai bangsa di satu sekolah yang sama. Ini kerana murid-murid akan lebih memahami budaya dan menghormati kaum lain berdasarkan pemerhatian dan tunjuk ajar dari guru tersebut.

Isu bahasa juga merupakan kekangan kepada pembentukan negara bangsa. Hal ini kerana Bahasa Melayu masih tidak diaplikasikan sepenuhnya dalam komunikasi harian. Pengaplikasian Bahasa Melayu ini ternyata agak sukar kerana ramai masyarakat terutama masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak  lebih senang menggunakan bahasa etnik mereka dan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi daripada menggunakan Bahasa Melayu. Tidak salah jika kita sedikit sebanyak mempelajari bahasa berlainan kaum. Mempelajari bahasa berlainan bangsa ini sebenarnya mengeratkan hubungan antara kaum dan dilihat sebagai langkah menghormati kaum lain. Namun jika dilihat generasi kini lebih cenderung untuk mempelajari bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Indonesia  berbanding mempelajari bahasa Cina, Melayu dan India. Sudah tentu semua kaum tidak dapat mengaplikasikan penggunaan bahasa melayu kerana apabila berkomunikasi masyarakat lebih suka menggunakan bahasa pasar dan loghat bahasa negeri masing-masing.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini merupakan suatu usaha yang sukar kerana terpaksa bersaing dengan arus globalisasi yang sedikit sebanyak mengubah sistem pendidikan negara dengan mengaplikasikan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Perkara seperti ini sedikit sebanyak boleh menggugat pengaruh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Namun sekiranya semua masyarakat terutama kaum Melayu itu sendiri berusaha mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pertuturan seharian, tidak menghairankan jika bahasa Melayu ini mencapai matlamat sebagai bahasa bangsa Malaysia.

Matlamat pembinaan negara bangsa ini merupakan satu langkah yang boleh menjulung negara Malaysia menjadi sebuah negara maju ironinya ada sesetengah pihak menganggap matlamat ini hanya sekadar satu retorik dalam politik pemerintahan untuk menarik kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara. Konsep negara bangsa ini adalah impian sebenar semua rakyat Malaysia dan dasar-dasar yang dilaksanakan adalah percambahan usaha bagi merealisasikan matlamat pembentukan negara bangsa. Gagasan satu Malaysia yang diperkenalkan oleh perdana menteri kita Dato Seri Najib Tun Razak merupakan usaha untuk mencapai impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara bangsa.

Tercapaikah matlamat pembentukan negara bangsa menjelang 2020 dengan berlakunya perlambakan warga asing di Malaysia?. Adakah ianya menyatupadukan rakyat Malaysia atau menjauhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia?. Bolehkan Malaysia menjadi sebuah negara bangsa seiring dengan arus globalisasi atau matlamat negara bangsa ini akan tenggelam dalam gelombang globalisasi yang hebat?. Yang pastinya, Pembinaan negara bangsa ini merupakan suatu proses jangka panjang kerana akan sentiasa wujud  masalah-masalah baik pada masa ini mahupun akan datang. Masalah ini haruslah diatasi dengan langkah bijak dan memerlukan komitmen sepenuhnya dari seluruh rakyat Malaysia.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.