Oleh Amirul Afif Muhamat

Pada awal suku keempat tahun 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan polisi baharu bagi mengekang trend ketidakupayaan membayar hutang dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda. Kini, keluh-kesah daripada langkah ini mula kedengaran.

Bank Negara sudah pastinya melihat isu ini daripada perspektif pengawal selia yang bimbang setelah melihat statistik terkini, iaitu tahun 2010 yang menunjukkan lebih 100 ribu orang dikategorikan sebagai muflis disebabkan oleh kegagalan menjelaskan hutang seperi yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian pada tahun lalu. Paling membimbangkan apabila melihat golongan muda menduduki carta teratas senarai mereka yang gagal menjelaskan hutang. Corak yang ditunjukkan dalam masalah mengurus kewangan ini menimbulkan implikasi yang serius kepada sistem ekonomi dan sosial masyarakat negara ini.

Golongan muda merupakan generasi pelapis yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Status muflis yang dilabelkan kepada mereka akan menyebabkan masa depan mereka kelam dan wujudnya perasaan rendah diri kerana situasi yang dilalui serta menjadi malu terhadap rakan dan masyarakat setempat. Hubungan kekeluargaan turut terjejas disebabkan oleh masalah kewangan yang dialami oleh sesebuah keluarga.

Dari segi ekonomi, kegagalan peminjam menjelaskan hutang akan merencatkan kegiatan kewangan sesebuah bank yang telah memberikan pinjaman kerana bank bertanggungjawab kepada pendeposit dan pemegang saham untuk memastikan pemegang taruh mendapat pulangan daripada pelaburan dan simpanan mereka. Yang menariknya, di sebalik risiko yang ditanggung oleh bank sebagai pemberi biaya, Chong Jin Hun dalam nukilannya dalam The Edge pada Ogos 2011 menyatakan bank tempatan menjangkakan yang keuntungan mereka akan menurun sedikit disebabkan peraturan baharu BNM.

Antara syarat yang digariskan oleh BNM ialah keperluan bank untuk menilai pendapatan bersih bakal peminjam sebelum meluluskan pinjaman yakni termasuklah setelah diambil kira potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) dan hutang lain yang ditanggung bakal penghutang. Selain itu, tempoh pembayaran pinjaman kereta dihadkan kepada sembilan tahun sahaja.

Bagi pengguna kad kredit, had minimum gaji tahunan yang disyaratkan ialah RM 24 000 berbanding dengan RM18 000 sebelum ini. Had limit bagi setiap kad kredit bagi mereka yang berpendapatan bawah RM36 000 ialah tidak melebihi dua kali ganda gaji bulanan mereka dan hanya dibenarkan memegang tidak melebihi dua kad kredit dalam satu-satu masa. Langkah lain juga menyaksikan mulai tahun 2012 setiap transaksi menggunakan kad kredit akan disusuli dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengingatkan pengguna tentang transaksi mereka dan tarikh bayarannya. Manakala mulai 2015, setiap penggunaan kad kredit akan memerlukan pengguna memasukkan kata laluan mereka sendiri berbanding dengan sekarang yang boleh digunakan terus di terminal kad kredit.

Peraturan yang dilihat drastik sekali ialah apabila BNM mensyaratkan pengguna yang memiliki lebih daripada dua kad kredit untuk memilih hanya dua sahaja bagi kegunaan mereka dan mesti melangsaikan baki hutang lebihan kad kredit itu dalam masa dua tahun. Tidak dapat dipastikan bagaimanakah mereka yang telah terjebak dalam kancah hutang kad kredit sebelum peraturan baharu ini dikuatkuasakan dapat melangsaikan hutang mereka dalam tempoh yang begitu spesifik sekali.

Pada pihak pengguna pula, ada yang menyokong dan meluahkan rasa resah dan tidak puas hati terhadap peraturan baharu ini. Kos sara hidup dilihat semakin meningkat dengan harga rumah yang tidak kelihatan akan turun dalam masa terdekat, ditambah dengan kos barangan makanan dan keperluan asas yang lain pada paras yang membebankan terutamanya bagi mereka yang berkeluarga dan hidup di bandar besar.

Walaupun isu pengawalan kredit ini begitu penting sekali untuk dilaksanakan di negara ini sebelum terjebak dalam krisis hutang seperti di Amerika Syarikat, pada pihak orang awam kelihatan seolah-olah berada dalam keadaan yang tersepit. Oleh itu, diharapkan agar langkah yang digariskan kerajaan menerusi Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan mencapai sasarannya terutama sekali untuk mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi. Di samping itu, pemerkasaan bidang pendidikan juga perlu sentiasa dilaksanakan kerana ilmulah pengubah nasib seseorang dan pembina minda masyarakat.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.