Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

“Ibarat telur di hujung tanduk”. Begitulah situasi yang dialami seseorang yang mengetahui bahawa dirinya menghidapi kanser − penyakit kronik yang membawa maut.

Banyak pesakit kanser yang mengalami kemurungan dan putus asa. Pesakit kanser terpaksa mengharungi sisa hidupnya dengan penuh penderitaan kerana penyakit yang dihidapi mereka itu sukar diubati dan menjadi antara penyakit paling berbahaya di dunia.

Di Malaysia, berdasarkan laporan Pejabat Pendaftaran Kanser Negara yang dikeluarkan pada 2008 mencatatkan jumlah pesakit kanser pada 2003 hingga 2005 ialah sebanyak 67 792 orang. Daripada jumlah tersebut 43.7 peratus (29 596 orang) pesakit lelaki dan 56.3 peratus (38 196 orang) pesakit wanita. Secara purata, setiap tahun sebanyak 35 ribu orang pesakit kanser baharu dikesan di Malaysia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kanser menjadi penyumbang utama kepada kadar kematian manusia di dunia. Misalnya pada 2007, 7.9 juta kematian atau 13 peratus daripada jumlah kematian manusia di dunia disebabkan oleh penyakit kanser.

WHO juga melaporkan bahawa sebanyak 11.3 juta orang menghidapi kanser pada 2007 di seluruh dunia dan dianggarkan pada 2030 jumlah ini terus meningkat dengan kadar yang cukup pantas, iaitu sebanyak 15.5 juta juta orang bakal menghidap kanser.

Jenis kanser tertinggi yang menyumbang kepada kematian ialah kanser payu dara dan kanser paru-paru. Menurut laporan WHO, setiap tahun sebanyak 1.5 juta kes baharu kanser payu dara dicatatkan di dunia. Jika dihitung dengan lebih terperinci, setiap bulan, 88 512 kes dikesan, setiap hari 2950 kes, setiap jam 122 kes, dan setiap minit dua kes kanser berlaku di seluruh dunia.

Yang paling mengejutkan daripada data tersebut ialah julat purata kes tersebut menunjukkan hampir 95 peratus bagi setiap 100 ribu orang pesakit kanser datangnya dari negara maju dan selebihnya dari negara membangun. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kanser Kebangsaan AS, kanser payu dara ialah penyakit yang paling tinggi jumlahnya iaitu kira-kira 184 ribu kes baharu dilaporkan setiap tahun.

Di Barat lain pula ceritanya, dicatatkan purata sekitar 185 ribu orang wanita mendapat penyakit kanser setiap tahun. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 500 orang meninggal dunia pada setiap tahun akibat kanser berkenaan. Pada kebiasaannya, kemuncak penyakit ini berlaku dalam lingkungan umur 45 hingga 50 tahun dan 55 hingga 60 tahun.

Di Malaysia pula kanser payu dara merupakan kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Laporan yang dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangsaan pada 2002 dan 2003 mendapati bahawa seorang wanita di negara ini mempunyai satu per 19 kemungkinan menghidap kanser payu dara dalam hayat mereka. Buktinya, terdapat 3825 kes dilaporkan dan 1707 kematian akibat kanser payu dara di negara ini sepanjang tahun tersebut.

Pecahan peratusan pesakit yang menghidap penyakit kanser payu dara mengikut kaum ialah Cina (59.7 peratus), India (55.8 peratus), dan Melayu (33.9 peratus) bagi setiap 100 ribu orang penduduk di negara ini. Sukar dipercayai bahawa kaum Melayu dicatatkan sebagai pesakit yang paling banyak maut akibat kanser payu dara iaitu sebanyak 54 peratus, diikuti Cina dan India. Agensi antarabangsa untuk penyelidikan dalam kanser (Globocan 2000) menganggarkan bahawa secara kasar kanser payu dara di negara ini ialah 34.9 per 100 ribu orang dengan kadar piawai umur 41.9 per 100 ribu orang.

WHO mengeluarkan kenyataan bahawa lima sebab yang paling tinggi menyebabkan kematian dalam kalangan rakyat Malaysia ialah kanser, penyakit jantung, masalah mental, strok dan kemalangan jalan raya.

Mutakhir ini pelbagai produk diperkenalkan yang dikatakan mampu mengubati penyakit kanser. Baik daripada ramuan herba hinggalah kepada pil yang dihasilkan oleh saintis dunia, masyarakat tidak pernah lekang dengan penemuan baharu bagi mengubati penyakit ini.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanannya? Adakah penawar yang dihasilkan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi tidak berkesan untuk merawat kanser sepenuhnya?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari  2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.