Oleh Farizal Razalli

“Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Demikian bidalan Melayu yang penuh dengan maksud tersirat. Mendalamnya peranan pemimpin memberikan pelbagai ekspektasi dalam kalangan pengikut (rakyat). Pada masa yang sama, hal ini turut memberikan tekanan kepada pemimpin lantaran setiap tindakan perlu mencapai atau melepasi jangkauan pengikut.

Dalam erti kata lain, pemimpin cuba melakukan apa-apa sahaja untuk memuaskan hati pengikutnya. Sebagai balasan, pengikut pula melakukan apa-apa sahaja yang terdaya untuk memastikan pemimpin kekal di tampuk kekuasaan. Semakin lama seseorang pemimpin itu berada dalam tampuk kuasa, semakin menebal budaya “klientalisme” dalam sesuatu sistem politik.

Senario ini mungkin sedikit sebanyak menggambarkan situasi yang berlaku baru-baru ini kepada bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac. Chirac, 80 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dengan penangguhan atas sabitan salah menyalahgunakan dana awam ketika menjawat jawatan Datuk Bandar Paris pada 1977 hingga 1995.

Dunia menyaksikan banyak pemimpin tertinggi politik yang memegang jawatan penting negara disabitkan dengan kesalahan, sama ada kes yang melibatkan sivil mahupun jenayah. Malaysia juga tidak kurang dengan kisah sensasi ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dijatuhi hukuman atas kesalahan jenayah. Misalnya, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 merupakan kes jenayah berprofil tinggi pertama di Malaysia yang membabitkan orang nombor dua dalam kerajaan. Manakala Chirac pula merupakan kes pertama yang membabitkan seorang bekas Presiden di Perancis.

Lantas ada pihak yang bertanya, mengapakah pemimpin tertinggi negara boleh terjebak melakukan jenayah yang mereka sedia maklum akibat dan padahnya?

Le bulldozer

Dilahirkan sebagai Jacques René Chirac pada 29 November 1932 di Paris, Chirac merupakan anak tunggal kepada pasangan Abel François Chirac (1893 – 1968) dan Marie-Louise Valette (1902 – 1973). Chirac merupakan graduan dua nush institusi pendidikan tersohor Perancis iaitu Sciences Po dan Ecole Nationale d’ Administration pada sekitar 1950-an.

Seperti kebanyakan pemimpin politik Perancis seangkatannya, Chirac turut melibatkan diri dalam pasukan tentera simpanan Perancis. Penglibatan ini membawa Chirac ke Algeria yang menyaksikan beliau terlibat sebagai pejuang sukarelawan Perancis ketika kemuncak Perang Algeria pada 1956 hingga 1957.

Presiden Perancis ke-19, Georges Pompidou, merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Chirac kepada senario politik Perancis. Apabila Pompidou, ketika itu Perdana Menteri Perancis, melantik Chirac

sebagai Ketua Staf Pejabat Perdana Menteri pada April 1962, kerjaya politik Chirac bermula secara rasmi. Chirac disifatkan sebagai seorang yang tangkas dan fokus dalam objektif tugasannya sehingga beliau terkenal dalam kalangan komuniti politik dengan jolokan nama le bulldozer.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari  2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.