Oleh Muhamad Haffy Zikry

Peningkatan kelahiran anak luar nikah atau anak tidak sah taraf di negara ini seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) baru-baru ini cukup membimbangkan.

Hal ini menimbulkan banyak persoalan, adakah generasi muda sekarang semakin nipis keimanannya? Adakah institusi kekeluargaan sedang menuju kehancuran? Adakah pendekatan yang dilakukan oleh pelbagai pihak selama ini untuk menerapkan nilai murni kepada generasi muda tidak berkesan?

Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh KPWKM, antara 2008 hingga 2010, sebanyak 152 182 orang anak luar nikah dilahirkan di negara ini. Daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41 490 orang, diikuti Selangor 18 983 orang, dan Sarawak 17 570 orang, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 12 095 orang.

Jika diperhalusi statistik tersebut, bermakna setiap 17 minit anak luar nikah dilahirkan di negara ini. Secara purata 50 ribu orang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia setiap tahun. Jumlah itu belum mengambil kira kelahiran yang gagal direkodkan oleh pihak berkuasa – misalnya menggugurkan kandungan secara haram dan pembuangan bayi.

Banyak punca yang dianggap menjadi penyumbang kepada kelahiran anak luar nikah ini. Antaranya, pergaulan bebas remaja yang sekali gus menyumbang kepada berlakunya hubungan seks luar nikah, selain peningkatan kejadian rogol di negara ini. Institusi keluarga yang tidak kukuh juga banyak menyumbang peningkatan gejala tidak sihat ini. Begitu juga dengan penggunaan Internet melalui laman web lucah yang tidak dikawal, kurangnya didikan agama, keinginan untuk mencuba, pengaruh rakan sebaya, selain merelakan diri untuk melakukan hubungan seks luar nikah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.