Oleh Naziree Bin Md Yusof

Apabila kita membicarakan kehidupan mualaf, isu kebajikan mualaf yang kurang diberikan perhatian sering menjadi persoalan. Hal ini semakin rumit apabila perbahasan hukum syarak sendiri menjelaskan pasangan mualaf perlu diceraikan, anak perlu dipisahkan, tidak boleh mewarisi harta daripada bukan Islam dan sebaliknya, termasuk tempat pengebumian jenazah perlu diasingkan daripada umat Islam. Keadaan ini boleh menjadi punca mualaf tersisih daripada keluarganya sendiri, hilang tempat bergantung atau putus harapan, mengalami gangguan emosi dan tekanan jiwa, yang tidak mustahil akan mengakibatkan golongan mualaf kembali kepada agama asal. Sekiranya masyarakat Islam gagal memelihara kebajikan, keselamatan, persaudaraan dan hubungan sosial dengan mereka, impian untuk melihat Islam sebagai agama rahmat bagi seluruh insan mungkin hanya tinggal sebagai kenyataan retorik semata-mata.

Tidak cukup dengan faktor kebajikan yang terabai, pendebatan konflik perundangan, seperti isu bidang kuasa baitulmal dan mahkamah syariah, sama ada dalam perbicaraan sivil, seperti perintah estopel atau injunksi, surat kuasa mentadbir dan perintah anggapan mati, sering dipersoalkan oleh mahkamah sivil. Begitu juga dalam perbicaraan jenayah, keputusan mahkamah syariah kerap menjadi sasaran kritikan, terutamanya kes murtad. Kesan daripada kes ini mempengaruhi hak hadanah, pencen suami, nafkah isteri, pembahagian harta sepencarian dan lain-lain perkara yang sehingga kini masih tiada kaedah penyelesaian terakhir.

Fungsi dan bidang kuasa baitulmal pada masa kini tidak seperti yang diamalkan pada zaman Rasulullah yang menguatkuasakan segala pungutan dana demi kepentingan ummah, seperti kutipan kharaj (cukai tanah), jizyah (cukai perlindungan kafir zimmi), usyur (cukai perniagaan), ghanimah (harta rampasan perang melalui pertempuran), dan fai’ (harta rampasan tanpa peperangan. Kesan penjajahan telah mengehadkan bidang kuasa sultan untuk urusan keagamaan dan adat istiadat Melayu sahaja.

Hal pemerintahan diserahkan kepada Penasihat British (kini jemaah menteri dan kabinet) dan pengasingan bidang kuasa dinyatakan dalam Senarai II Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Baitulmal beroperasi di bawah Undang-undang Pentadbiran Negeri-negeri dan struktur organisasinya terletak di bawah Majlis Agama Islam Negeri atau ringkasnya di bawah bidang kuasa Sultan. Tanggungjawab baitulmal ialah mengendalikan secara syarak, sebagai contoh harta pusaka baki faraid, harta wakaf, nazar, wasiat dan pelaburan hartanah seperti projek perumahan, bangunan perniagaan, bayaran cukai tanah, insurans dan penyelenggaraan bangunan. Dana zakat pula tidak termasuk dalam pengendalian baitulmal, sebaliknya di bawah pengurusan pusat atau lembaga zakat itu sendiri.

Undang-undang yang mengawal pentadbiran harta pusaka orang Islam dan bidang kuasa mahkamah syariah dalam memutuskan perkara tersebut terhalang disebabkan beberapa statut, seperti Akta Probet & Pentadbiran 1959 (Akta 97), Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1955 (Akta 98), Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan lain-lain yang telah digubal untuk mentadbir tentang harta pusaka Islam yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah dan baitulmal. Oleh hal yang demikian, terdapat kritikan menegaskan bahawa bidang kuasa asal yang sepatutnya dimiliki oleh mahkamah syariah, baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan lain-lain institusi keagamaan telah diambil alih oleh badan lain pada peringkat persekutuan, berdasarkan undang-undang bertulis yang diwujudkan bagi mentadbir harta pusaka orang Islam.

Seksyen 89 dan 90 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau baitulmal merupakan satu-satunya pemegang amanah tunggal bagi segala hartanah wakaf, nazar dan amanah dan mendapat hak bagi segala jenis harta di atas tanpa melalui apa-apa pindah hak sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah. Peruntukan undang-undang ini menjadikan MAIS sebagai organisasi yang mempunyai locus standi (entiti yang sah dan berhak untuk bertindak) dalam memulakan operasi untuk mempertahankan kesemua hartanah wakaf, nazar dan amanah (termasuk milik mualaf).

Persoalan timbul apabila tuntutan ahli keluarga yang bukan Islam terhadap harta milik mualaf, iaitu undang-undang harta yang terpakai ke atas bukan Islam ialah Akta Probet & Pentadbiran 1959 dan Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1955, juga prinsip perundangan dalam kes Eeswari Visuvalingam lwn Kerajaan Malaysia. Dalam kes ini, mahkamah memutuskan bahawa pemelukan suami dalam agama Islam tidak menjejaskan hak isteri yang bukan Islam untuk menuntut hak pencen mendiang suaminya (seorang pesara mengikut Akta Pencen 1985). Hal ini berpunca daripada seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-undang 1976 yang menyatakan “Jika satu pihak dalam satu perkahwinan telah masuk Islam, pihak satu lagi yang tidak memeluk Islam boleh membuat petisyen untuk perceraian; dengan syarat bahawa tiada sesuatu petisyen di bawah seksyen ini boleh diserahkan sebelum tamat tempoh tiga bulan dari tarikh masuk Islam itu.”

Sepatutnya, peruntukan ini dipinda kerana ianya tidak memberi ruang untuk menuntut hak kepada pihak yang memeluk agama Islam. Bahkan, banyak implikasi lain yang timbul, seperti masalah kesahan perkahwinan dengan pasangan baharunya yang Islam, masalah pembahagian harta, hak harta warisan, masalah nafkah, hak penjagaan anak, bigami jika membabitkan seorang wanita. Kes inilah yang menjadi asas perundangan kepada keluarga bukan Islam untuk menuntut hak terhadap harta mualaf.

Bagi memastikan harta mualaf kekal di bawah pengawasan baitulmal, beberapa langkah perlu dilakukan secara proaktif mengenai pengemaskinian data seseorang mualaf dan status hartanya.

Pihak baitulmal perlulah segera membuat permohonan di mahkamah syariah mengenai status harta mualaf apabila seseorang mualaf mengisytiharkan dirinya sebagai muslim. Permohonan itu menjelaskan kedudukan baitulmal selaku pemegang amanah tunggal dan hanya baitulmal yang boleh bertindak untuk mentadbir atau menguruskan segala harta peninggalan mualaf tersebut setelah meninggal dunia.

Perintah mahkamah syariah berhubung pengisytiharan tersebut perlu dipanjangkan kepada pihak berkenaan, misalnya bank atau institusi kewangan, pejabat tanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, insurans dan lain-lain badan yang memegang rekod pemilikan harta alih (wang, saham, kenderaan, perabot, peralatan elektrik) dan harta tak alih (tanah, rumah, premis bangunan) mualaf terbabit.

Pihak baitulmal perlu memastikan sebarang liabiliti lain oleh seseorang mualaf termasuk tanggungan nafkah keluarga yang bukan Islam, pembahagian harta sepencarian, pemulangan barang sewaan atau pinjaman selepas dia memeluk Islam, telah berjaya diselesaikan sepenuhnya agar tidak timbul tuntutan lain berikutan kewajipan yang belum dilangsaikan sebelum memeluk Islam.

Satu kaedah yang bersifat siasatan awal perlu dilakukan oleh baitulmal ke atas mana-mana individu yang ingin memeluk Islam untuk dikenal pasti keikhlasan atau hasrat sebenar pemelukan Islam, dan bukan menjadikannya sebagai batu loncatan bagi mengelakkan liabiliti peribadi setelah bergelar sebagai Muslim. Hal ini kerana terdapat sesetengah individu yang mengambil kesempatan untuk melepaskan diri daripada kewajipan asas sebagai ketua keluarga ekoran pertelingkahan peribadi yang dihadapi bersama keluarga bukan Islam. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, seseorang Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada bukan Islam dan demikian juga sebaliknya. Oleh hal yang demikian, tidak mustahil tindakan seseorang individu memeluk Islam sekadar ingin menghalang agar hartanya tidak dapat dipindah milik oleh pasangannya yang bukan Islam.

Dalam hal ini, usaha untuk mewujudkan mekanisme yang proaktif tentang pengemaskinian data seseorang mualaf agak sukar dilakukan sekiranya tiada kerjasama atau gandingan mantap daripada masyarakat Islam sendiri. Sikap mengambil berat mengenai kebajikan dan keselamatan golongan mualaf perlu dipupuk agar masyarakat Islam sentiasa peka dan sensitif terhadap kemungkinan yang boleh mengakibatkan pihak bukan Islam menggesa apa-apa tuntutan yang akan menjejaskan kedudukan harta mualaf.

Berikutan gejala murtad yang hangat diperkatakan kini, beberapa kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam mendesak agar badan berwajib bertindak dengan lebih cekap untuk membantu masyarakat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin. Dengan kata lain, janganlah pula bangunan zakat cantik dan indah, iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal, kaedah pembayaran zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai cara dan teknologi, tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja.

Walau apa-apa pun cabaran yang mendatang, semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk pemerintah, ulama, gerakan Islam dan seluruh umat Islam bagi menangkis serangan jahat musuh Islam. Sikap menuding jari atau hanya meletakkan salah kepada orang lain perlu dijauhi. Kita hendaklah bersama-sama mengkaji sudut kelemahan yang perlu diperbaik. Sebagaimana yang telah diungkapkan oleh al-‘Allamah al-Sayyid Rashid Redha rahimahullah dan diperluaskan penggunaannya oleh. Yusof al-Qaradhawi, iaitu tolong-menolong dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada dalam perkara yang diperselisihkan.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.