Oleh Fadli al-Akiti

Karpet merah sudah dibentangkan. Kasut tumit tinggi dan kasut but hitam berkilat menghiasi hamparan merah yang meluncur terus ke dalam dewan baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Glamor, anggun, dan gemerlapan menghiasi bibir bergincu dan pipi berbedak para tamunya. Semuanya teruja nama yang bakal dibaca dan kemudiannya diputuskan untuk turun ke pentas merangkul trofi “Panca Delima”.

Johan Raja Lawak (Johan) dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) membuka acara tahunan ini dengan sindir dan melodi, menyatukan judul filem Malaysia sepanjang tahun seakan-akan meniru dendangan muzikal bersemangat Hugh Jackman pada Anugerah Akademi tahun ini.

Namun, sesuatu yang canggung kedengaran dalam lirik lagu yang “sengaja dibacakan” oleh Johan. Satu per satu “judul filem” yang dibacakan adalah filem seram yang kedengaran kurang enak dan mencuit, seakan-akan sebuah sedutan sketsa komedi Senario.

Tiada sesiapa yang menepuk ataupun ketawa. Mereka mungkin menangkap “ironi” realitinya. Keadaan bertambah canggung. Kamera di dalam dewan yang gah membuat tangkapan sudut atas. Jelas, beberapa kerusi putih yang mahal, kosong tidak berpenghuni di serata isi dewan.

Temanya pula “Gemilang Filem Malaysia”. Ogy dan Johan cuba meyakinkan penonton “kegemilangan” yang berjaya dicapai industri perfileman tempatan. Mereka mengalu-alukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) serta pihak penganjur yang bersusah-payah menjayakan malam penuh “gemilang” itu dengan deretan nama badan dan persatuan filem yang gah.

Tahun ini FFM ke-24 menyediakan 10 kategori untuk Anugerah Gemilang Cipta, 15 kategori untuk Anugerah Gemilang Perdana, tiga Anugerah Gemilang Perdana Khas dan empat Anugerah Gemilang Perdana Khas Juri.

Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hadir bagi menyempurnakan penyerahan kategori Filem Terbaik. Pada malam Anugerah Gemilang Cipta yang diadakan lima hari sebelumnya, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia hadir memberikan sokongan.

Datuk Michelle Yeoh yang tidak pernah menjejakkan kaki emasnya dalam filem Malaysia merangkul Anugerah Pencapaian Gemilang kerana usaha gigihnya mempromosikan Malaysia sebagai negara berpotensi untuk pembikin filem luar membuat penggambaran.

Manakala Tan Sri Jins Samsuddin yang masih dinantikan untuk mengarah filem terbesarnya, Pasir Salak, menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada malam itu. Nama-nama gah itu ditauliahkan seperti hendak memalukan “keprestijan” acara pada malam anugerah tersebut.

Ogy dan Johan turut menyatakan kebanggaan sebenar merayakan “kegemilangan” festival tersebut. Pada malam itu, FFM ke-24 mendapat penyertaan yang paling tinggi dalam sejarah sayembara tahunan itu diadakan.

Mendengar hal ini sahaja membuatkan sesiapa sahaja berasa merdu di telinga, apatah lagi mendapat tahu filem Malaysia ditayangkan setiap minggu di pawagam bagi sebuah filem baharu. Jika didengar daripada lirik lagu yang canggung yang dinyanyikan Johan tadi, bukan sahaja filem Malaysia sekarang menjadi juara pengeluar filem seram, tetapi menjadi jaguh pengeluar filem seram sampah!

Kejanggalan itu tidak berakhir di situ sahaja. Filem tersebut turut menyelit sama dalam beberapa dominasi Anugerah Gemilang Cipta dan Anugerah Gemilang Perdana, malah turut mendapat kemenangan besar pada malam itu.

“Filem kita, wajah kita”, begitulah slogan yang disindir oleh beberapa pengkritik yang tidak bersetuju dengan panggung bangsawan yang dimainkan dengan licik sekali oleh juri dan penganjur malam itu.

Pemilihan filem yang salah dan kesilapan memutuskan sesebuah kategori untuk dimenangi merupakan suatu fenomena yang mula menggusarkan peminat filem tempatan. Pemilihan “tidak munasabah” ini mula diperkatakan apabila Oh Fatimah merangkul Filem Terbaik mengalahkan Anak Sarawak dan Yassin pada FFM Kelapan. Tahun berikutnya, FFM seakan “menyedarkan diri” lalu memberikan laluan kepada beberapa buah filem bermutu untuk dimenangi, walaupun tidak popular dalam kalangan penonton tempatan.

Oleh sebab strategi penyatuan populariti dan kualiti oleh pembikin filem berbeza-beza, berlakulah sebuah lagi pertembungan filem “popular” dan filem “bermutu” yang ganas sewaktu FFM ke-18. Pada tahun itu, pelakon popular televisyen, Zamarul Hisham memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk sebuah filem bergenre misteri dan ngeri, Di Ambang Misteri. Yang menariknya, Zamarul berjaya mengalahkan lakonan bercorak berperwatakan (character driven) M. Nasir dalam Puteri Gunung Ledang dan Ng Choo Seong dalam Sepet.

Tahun tersebut juga menjulang Erra Fazira, seorang pelakon popular (yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik untuk filem Soal Hati) yang selalu diperlecehkan memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk lakonannya sebagai seorang wanita versi Tanggang moden dalam melodrama Hingga Hujung Nyawa.

Di Ambang Misteri dan Hingga Hujung Nyawa adalah contoh filem bergenre yang bukan tidak bagus, tetapi susah untuk diselaraskan keunggulannya untuk berdiri sama taraf dengan filem yang dibikin dengan penuh ketelitian dan kesenian seperti Sepet, Puteri Gunung Ledang, Gangster dan Qaisy & Laila pada tahun itu. Dari segi penceritaan pun, filem sebegitu susah untuk mencapai tangga keunggulan yang sepatutnya, walaupun dari segi pemerhatian tempatan.

Sejak itu, pencalonan dan penerimaan anugerah FFM terus menimbulkan kontroversi. Tahun lepas, kemenangan Syamsul Yusof sebagai Pengarah Terbaik dalam sebuah filem aksi berdimensi kadbod, Evolusi Kl Drift diperlihatkan sebagai tanda “kejatuhan” sebuah acara berprestij negara.

Kemenangan Magika sebagai Filem Terbaik pada tahun yang sama, walaupun mempunyai idea asal yang berjaya, masih lemah kesempurnaannya dalam pergerakan dan perkembangan cerita. Filem fantasi itu jika dibandingkan dengan beberapa buah filem terbaik FFM yang lepas seperti Matinya Seorang Patriot, Sayang Salmah, Bukit Kepong, Layar Lara, Selubung, Bintang Malam, Isteri, Perempuan & …, Gubra, Tsu Feh Sofiah, Jogho, dan Kaki Bakar, seakan langit dengan bumi.

Namun semua ini dipandang dengan sebelah mata oleh para pembikin dan persatuan filem. Filem “kelas tiga”, yang dicerna dan dikilangkan cepat dengan perbelanjaan yang rendah, terus sahaja mendominasi pawagam Malaysia, dan kini melata penuh dengan “gemilang” pada FFM ke-24.

Penelitian berkenaan mutu, menangkap mis en scene dengan jiwa visera, membikin sebuah filem dengan tanda dan penanda filem yang boleh diselami dan membawa erti berlapis tidak perlu lagi dihasilkan oleh penggerak filem tempatan. Filem aksi komedi Libas yang tepu imej janaan berkomputer yang palsu dengan sikap peniruan Shaolin Soccer karya Stephen Chow, boleh merangkul Anugerah Juri bagi Seni Warisan Nusantara, Cerita Asal Terbaik, dan Pengarah Harapan Terbaik.

Begitu juga dengan filem seperti Kongsi yang berlandaskan lakon layar yang amat tipis, Hantu Bonceng yang menyatukan dua tema pecah panggung lesu disukai ramai, mat rempit dan hantu, dan beberapa filem lain.

Kemungkinan oleh sebab itu, Raja Azmi, penerbit filem kontroversi, … Dalam Botol, melakukan aksi kurang berbudaya pada malam Anugerah Gemilang Cipta apabila berdiri mempersoalkan kemenangan sebuah filem yang dipertandingkan di hadapan menteri dan orang ramai.

Mungkin aksi kurang manis Raja Azmi itu adalah kemuncak FFM ke- 24 yang sebenar – memaparkan protes terhadap acara prestij yang mula dicemari dengan kepentingan peribadi segolongan penggerak industri. Mungkin sebab itu kerusi putih kosong melata di setiap sudut PICC.

Permulaan perancangan acara FFM ke-24 memang hangat diperkatakan dengan kemasukan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) sebagai penganjur utama yang menjalankan pergerakan dan perangkaan acara. Dengan peruntukan kewangan sebanyak RM650 ribu, suara sumbang mula kedengaran apabila pihak penganjur berjanji untuk menjalankan FFM untuk menaikkan martabat industri perfileman.

Kelihatan jelas, acara kemuncak FFM malam itu diisi dengan pencalonan pemain utama dalam persatuan, dijurikan oleh ahli terpilih persatuan dan menjulang kalangan pemain persatuan. Oleh sebab itu, filem popular, berprestij, dan boleh diperbahaskan boleh berdiri sama gah dan sama gemilang.

Hal ini diragui para pengkritik yang benar-benar mahu melihat filem Malaysia boleh diiktiraf sebagai yang terbaik dan boleh dibanggakan di pasaran antarabangsa. Hal subjektif berkenaan cita rasa tempatan (dengan lambakan filem tempatan yang tidak menajamkan minda) memang boleh diperdebatkan sebagai kriteria “membina” pembikin yang baharu hendak berasa membikin sebuah filem yang sempurna.

Malam penuh “angkara” itu diselamatkan juga dengan beberapa kemenangan berbentuk teknikal yang boleh dibanggakan, menjadi penanda aras baharu buat industri perfileman negara. Kemenangan beberapa anugerah teknik kepada Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios memang dijangkakan. Kemenangan Siti Shahreza (Eja) sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Janin turut diperakukan oleh para pengkritik.

Paling manis, Anugerah Filem Cereka Bukan Bahasa Melayu Terbaik yang dimenangi filem Great Day diadakan setelah berlaku penambahan filem bahasa Cina dan Tamil di panggung tempatan. Hal ini merupakan penanda waspada kepada pembikin filem Melayu apabila filem bukan Bahasa Melayu kelihatan lebih menonjol dari segi hasil mutu dan kesarwajagatannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.