Amat mengecewakan. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan peristiwa yang berlaku baru-baru ini. Peristiwa tersebut berbaur kemarahan dan kebencian yang tidak sepatutnya lahir daripada orang yang berpelajaran.

Penulis merujuk peristiwa sekumpulan mahasiswa Melayu yang menggelar diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri di depan Ibu Pejabat UMNO baru-baru ini.

Mereka enggan memohon maaf atas tindakan biadab itu, malah memberikan amaran kepada kerajaan supaya mendengar tuntutan mereka atau berhadapan dengan protes besar-besaran oleh mahasiswa yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Penulis terdiam melihat perlakuan biadab mereka ini. Penulis boleh menerima situasi sedemikian jika perlakuan tersebut dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa asing di luar bumi Malaysia akibat provokasi laporan media asing yang berat sebelah. Namun, apabila semua itu dilakukan oleh mahasiswa Melayu yang tidak sedar dek untung, penulis sukar menerimanya.

Sebelum ini penulis pernah menghadiri program belia antarabangsa di Korea Selatan, pertukaran pelajar di Jepun, program kepimpinan mahasiswa ASEAN, dan beberapa program belia lain di luar negara.

Tanpa prejudis dan berat sebelah, penulis menyatakan bahawa mahasiswa Malaysia terutama mahasiswa Melayu merupakan antara mahasiswa paling bertuah di rantau ini. Mereka ditatang bagai minyak yang penuh oleh kerajaan dengan diberikan pelbagai bantuan dari segi kewangan, kemudahan pembelajaran, mahupun pelbagai program bantuan yang lain.

Banyak mahasiswa Melayu jika bukan dengan bantuan kerajaan, tidak mampu menjejakkan kaki ke universiti kerana kekangan kewangan mahupun keputusan akademik mereka yang cukup-cukup makan.

Jangan dikatakan bahawa semua itu merupakan tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka kerana di negara lain, tiada bantuan sebanyak itu diberikan oleh kerajaan. Banyak rakan penulis di Jepun dan Korea Selatan yang terdiri daripada pelajar cemerlang terpaksa bertungkus-lumus mencari wang untuk memasuki universiti.

Di Jepun misalnya, seorang rakan penulis yang cukup cemerlang semasa belajar di universiti, ibu bapanya terpaksa menabung sehingga RM1 juta untuk memastikan beliau dapat selesa belajar di universiti kerana khuatir rakan penulis tersebut tidak mendapat “pinjaman” (bukan biasiswa) pelajaran.

Di Malaysia, berapa jutakah duit yang sudah dikeluarkan oleh kumpulan mahasiswa yang mengelar diri mereka SSM untuk membiayai pelajaran masing-masing sehingga berani menurunkan bendera Perdana Menteri? Atau soalan yang lebih tepat berapa banyakkah duit kerajaan yang dihabiskan untuk membiayai pengajian mereka? Hebat sangatkah mereka dapat menurunkan bendera seorang ketua kerajaan mereka sendiri?

Tolak dahulu ideologi politik masing-masing dan renungkan kewajaran mahasiswa yang melabelkan diri mereka terpelajar melakukan perbuatan yang tidak beradab itu. Begitukah gayanya orang terpelajar memperjuangkan prinsip perjuangan mereka? Atau sebenarnya kumpulan SSM ini hanya terpelajar tetapi tidak beradab?

Sejarah memperjuangkan AUKU ini sebenarnya cukup panjang. Sejak penggubalannya pada 1971 pelbagai protes dibuat kerana akta tersebut didakwa mengongkong pelajar. Paling lantang bersuara merupakan pelajar Melayu. Mereka berdemonstrasi ke sana ke mari menyuarakan bantahan. Ironinya setiap kali konvokesyen universiti, berderet-deret pelajar bukan Melayu yang memperoleh ijazah kelas pertama dan pelbagai anugerah kecemerlangan universiti, manakala pelajar Melayu yang sibuk berdemonstrasi hanya menjadi pemerhati.

Dalam sejarah perjuangan AUKU, hanya pada era pemerintahan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, perubahan benar-benar dapat dilakukan. Najib secara terbuka menerima cadangan AUKU disemak semula dan baru-baru ini mengumumkan bahawa mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas dibenarkan menyertai politik di luar kampus.

Yang sibuk melompat atau menghempas meja apabila mendengar keputusan Najib ini ialah kumpulan mahasiswa Melayu. Manakala mahasiswa bukan Melayu tetap sibuk mengunjungi perpustakaan dan kuliah.

Apakah sebenarnya yang disibukkan oleh kumpulan SSM ini? Kebebasan bagaimana lagi yang diingini mereka mahukan? Adakah mereka cukup hebat untuk mengajar kerajaan? Atau lebih baik mereka berjihad untuk belajar dan memastikan mendapat keputusan akademik yang cemerlang?

Apabila mereka tamat belajar dengan keputusan cemerlang, mudahlah mereka mendapat pekerjaan dalam pelbagai profesion yang masih lagi ketandusan orang Melayu. Kemudian, terpulanglah kepada mereka untuk memperjuangkan ideologi masing-masing kerana ketika itu mereka sudah membuktikan kehebatan mereka.

Jadi, untuk apa mereka sekarang beria-ia berdemonstrasi, sedangkan tanggungjawab kepada diri sendiri pun belum diselesaikan? Benarlah kata pantun Melayu, “berburu ke padang datar, dapat rusa belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi!”

- Mohd. Shukri Mohd. Ariff

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2012.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.