Pada 24-26 Jun 2010, World Assembly of Youth (WAY) dengan jayanya telah melancarkan Dialog Belia Antarabangsa Melaka ke-10, dengan tema “Kuasa Kepimpinan Belia dan Pengaruhnya Terhadap Masyarakat”, di Hotel Ancasa, Melaka. Dialog antarabangsa yang menggabungkan 120 pemimpin belia dari 32 negara ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Melaka, YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam. 46 tahun dahulu, Malaysia baru sahaja menyertai pertubuhan persidangan antarabangsa belia di Universiti Massachusettes, Amerika Syarikat. Ikuti laporan Sha’ari Tadin yang tersiar dalam Dewan Masyarakat, Hlm. 33 – 37, Jilid II Bil. 10 Oktober 1964.

Persidangan Agong Perhimpunan Belia Sedunia ke-5 yang telah berlangsung di Universiti Massachusettes, Amerika Syarikat baru-baru ini telah dihadiri oleh 500 wakil dan pemerhati dari 110 buah negara termasuk penyertaan baru dari Malaysia. Selain daripada pemimpin belia, anggota naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) seperti UNESCO, UNICEF, FAO, Council of Europe, ILO, WHO, Office of the High Commissioner for Refugees (Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Orang Pelarian) turut mengikuti persidangan pada kali ini.

Perhimpunan Belia Sedunia atau World Assembly of Youth (WAY) merupakan pertubuhan belia antarabangsa yang terbesar di dunia. Pertubuhan ini menggabungkan Jawatankuasa Kebangsaan Belia (National Youth Committee) yang mana keanggotaannya disertai oleh pertubuhan sukarelawan bercorak demokratik dan pertubuhan belia kebangsaan dari sesebuah negeri. Pada masa ini, keanggotaan WAY terdiri daripada gabungan 60 buah jawatankuasa kebangsaan termasuk Majlis Belia Malaysia.

Semenjak penubuhan WAY pada 1946, Majlis Belia Malaysia telah menjadi salah satu daripada pelopornya. Sepanjang penubuhannya, WAY banyak bergiat aktif dalam kegiatan dan perkhidmatan yang ditujukan khas kepada belia di serata benua yang merangkumi Amerika, Eropah, Afrika, Asia dan Australia. Antara pendekatan yang dilakukan oleh WAY untuk para belia ialah menganjurkan seminar, persidangan, menghantar perwakilan muhibah, memberi bantuan teknikal dan mengambil tindakan dalam perkara yang berhubung rapat dengan hak asasi manusia.

Hak Asasi

Sejajar dengan inti pati perjuangan WAY yang berasaskan kepada Pengisytiharan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Hak Asasi Manusia Sedunia, secara relatifnya WAY banyak memberi perhatian dalam kegiatan yang berkait rapat dengan isu tersebut. Dalam persidangan yang berlangsung baru-baru ini, banyak isu politik di Angola, Vietnam, Amerika Latin hangat dibincangkan. Majoriti suara menuntut WAY menghantar suruhanjaya penyelidikannya ke wilayah-wilayah tersebut untuk meninjau lebih dekat dan mendapatkan gambaran sebenar tentang keadaan yang berlaku di sana.

Dengan menggunakan tema “Belia dan Perdamaian Dunia Dalam Zaman Nuklear”, perhimpunan kali ini memberi kesempatan dan peluang yang sama rata kepada wakil yang hadir baik dari negara demokratik mahupun negara komunis. Melalui perhimpunan kali ini, setiap wakil negara berpeluang meluaskan pengalaman dan mengeratkan persaudaraan antarabangsa antara pemimpin dari pelbagai pertubuhan belia seluruh dunia.

Matlamat utama penubuhan WAY adalah untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan belia dan membantu pertubuhan belia yang memerlukan bantuan atau khidmat nasihat. Ini adalah sejajar dengan piagam pertubuhannya, iaitu meningkatkan rasa hormat menghormati, persefahaman dan kerjasama antarabangsa, menggalakkan belia memikul sepenuh tanggungjawab dan kewajipan sama ada dalam pertubuhan mahupun kemasyarakatan dan menggalakkan perkongsian idea antara belia dari seluruh dunia.

Dalam persidangan kali ini, wakil WAY telah berpeluang mendengar ucapan daripada Tuan Robert Kennedy, Raverend Martin Luther King dan bekas pelopor WAY yang berucap mengenai tugas dan peranan belia dalam mencapai keamanan dunia dan hak asasi manusia.

Mencari Kenderaan

Persidangan WAY turut menganjurkan forum dan perbincangan yang banyak menyentuh hubungannya dengan belia di serata dunia. Antara topik yang dibincangkan kali ini ialah Belia dan Pelaksanaan Hak-Hak Asasi Manusia, Kerja Belia dalam Projek Pembangunan, Belia dan Negara, Peranan Majlis Belia Kebangsaan, Peranan Belia dalam Pembangunan Pendidikan dan Soal Perlucutan Senjata. Daripada perbincangan tersebut, tercetuslah idea yang boleh dijadikan rujukan bagi pertubuhan belia. Antara lain juga, hala tuju WAY untuk tempoh dua tahun akan datang turut dibincangkan.

Daripada persidangan WAY kali ini, satu perbandingan dapat dibuat antara pertubuhan belia di Malaysia dan di negara luar. Dengan mengambil Sierra Leone sebagai contoh, kebanyakan rancangan belia negara itu sejajar dengan rancangan yang dijalankan oleh kerajaan. Justeru, kerajaan mudah memberikan bantuan kewangan untuk pertubuhan belia negara tersebut.

Soal hak asasi manusia yang amat dititikberatkan oleh WAY dipercayai dapat dilaksanakan dengan mudah melalui perdamaian dunia. Perasaan baik sangka dan saling memahami antara satu sama lain amat ditekankan. Semangat sebeginilah yang harus diterapkan dalam kalangan pemimpin belia yang merupakan tulang belakang bagi sesuatu negara.

Dasar Aparteid

Melalui persidangan kali ini, kebanyakan resolusi yang diluluskan berkait rapat dengan kedudukan politik terutama di negara yang diceroboh, isu pencabulan hak asasi manusia di Rhodesia Selatan, dasar aparteid di Afrika Selatan, kedudukan Negro di Amerika Syarikat dan pemerintahan tentera di Sepanyol dan Ecuador.

Hubungan baik WAY dengan anggota PBB seperti UNESCO memudahkan lagi resolusi ini disalurkan kepada PBB bagi tindakan sewajarnya. Di sini, peranan WAY ialah mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar melalui suruhanjaya penyelidikannya yang dihantar ke tempat berkenaan.

Sebagai sebuah pertubuhan belia antarabangsa terbesar, keanggotaan WAY semakin bertambah dengan kemasukan negara yang baru terlepas dari cengkaman penjajah. Bertindak sebagai sebuah forum yang bebas daripada apa-apa pengaruh, WAY memainkan peranan penting dalam membimbing para belia yang bakal memegang tampuk pemerintahan suatu masa nanti.

Perhatian WAY juga tidak terhad kepada isu hak asasi manusia, malah ia turut memberikan perhatian kepada isu belia di luar dan di dalam bandar. WAY komited dalam memberikan sumbangan berdasarkan keperluan seperti saluran bantuan kepada pertubuhan belia, menganjurkan seminar, kursus latihan dan menjadi platform bagi melatih pemimpin-pemimpin belia dari negera yang baru mencapai kemerdekaan supaya mereka bersedia memikul tanggungjawab pada masa hadapan.

Belia dan Negara

Hasil daripada keputusan yang dipersetujui dalam persidangan WAY, Majlis Belia Kebangsaan seharusnya mempraktikkan resolusi WAY dan mengambil bahagian sama ada dalam kegiatan peringkat daerah mahupun antarabangsa. Majlis Belia Kebangsaan diminta untuk bergiat dalam program pertukaran dan mengambil bahagian sebagai tuan rumah kepada pelajar dan perwakilan luar negara. Bagi menjayakan program peringkat kebangsaan, seminar, simposium, diskusi dan belajar secara berkumpulan boleh dianjurkan bagi memenuhi kehendak pertubuhan belia.

Bagi mengetengahkan isu-isu belia, maklumat dan dokumentasi yang berkaitan seharusnya diusahakan penerbitan buletin di samping mewujudkan perpustakaan yang khusus. Pada masa yang sama, penyelidikan secara analitis perlu dilakukan bagi mengetahui keperluan dan masalah setiap golongan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan setiap tuntutan keperluan dapat dipenuhi.

Melalui sesi “Perhubungan Antara Belia Dengan Negara”, sidang ini berpendapat golongan belia harus bersedia memberi bantuan untuk membangunkan masyarakat. Pertubuhan belia juga seharusnya bebas daripada mana-mana pengaruh politik. Satu rumusan yang dibuat hasil daripada sesi tersebut ialah golongan belia seharusnya bersemangat waja dalam memikul tanggungjawab, bersedia menghadapi kesukaran, menggendong harapan, menangani kegagalan dan meraikan kejayaan.

Berperikemanusiaan

Walau bagaimanapun, pertubuhan belia perlu mendapat pengawasan daripada masyarakat dan kerajaan dalam usahanya untuk mencapai kejayaan. Sikap membezakan antara satu sama lain sewajarnya diketepikan demi mencapai matlamat yang memenuhi kepentingan bersama. Persidangan ini turut membincangkan isu mengenai masalah belia dan urbanisasi.

Bagi memastikan golongan belia di kawasan luar bandar tidak terpinggir, Suruhanjaya Belia Luar Bandar yang bertindak sebagai penasihat telah mengemukakan beberapa usul. Suruhanjaya ini telah mengkaji keperluan mereka dari segi kewangan, penyelidikan dan kajian, bantuan dan pertukaran, seminar dan persidangan, penerangan dan penerbitan bersama badan antarabangsa.

Kegiatan Diutamakan

Daripada pemerhatian, dapat dinyatakan bahawa WAY amat menekankan kegiatan yang berkaitan dengan keadaan bagi sesuatu negeri. Melalui kegiatan ini, WAY mahupun pertubuhan belia setempat dapat mengukuhkan kedudukan masing-masing dan pada masa yang sama meningkatkan kebolehan dalam melaksanakan kegiatan dengan lebih berkesan.

Melalui dasar pelaksanaan WAY yang kedua, kegiatan WAY yang bersifat secara berpusat dilihat sebagai usaha bagi mendekati golongan belia luar bandar. Sebagai contoh, WAY telah menyentuh isu “rural exodus” di Afrika Tengah dan Barat, masalah penduduk dan kerjasama di Asia dan seminar mengenai belia dan masa lapang di Eropah.

Bagi dasar rancangan ketiga, WAY giat berusaha untuk memberikan bantuan khas kepada pertubuhan belia. Bagi mendapatkan sumbangan, kutipan derma dibuat daripada negara-negara yang lebih maju seperti negara di Eropah.

Melalui usaha-usaha terdahulu yang dilakukan oleh WAY, sekurang-kurangnya satu gambaran mengenai arah tuju dah hala WAY dalam tempoh beberapa tahun akan datang dapat dijangka kerana sudah pasti pendekatan yang digunakan tidak jauh berbeza daripada yang sedia ada.

Cita-Cita Kosong

Bagi memastikan projek di bawah naungan WAY ini berjaya, jawatankuasa kebangsaan yang bergabung di bawah payung WAY memainkan peranan yang amat penting. WAY yang bersedia menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat, ditambah pula dengan hubungan baik dengan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sudah pasti setiap projek ini dapat dilaksanakan dengan mudah. WAY yang sangat menitikberatkan golongan belia dilihat sedaya upaya cuba untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk golongan tersebut.

Untuk mengisi keperluan dan memenuhi kehendak belia negara, harapan diletakkan sepenuhnya kepada Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Tanah Melayu untuk menjayakan misi dan cita-cita WAY. Belia sewajarnya menggembleng tenaga dalam satu pertubuhan dan pemimpin belia seharusnya mengelakkan persengketaan dan pertelingkahan antara satu sama lain.

Kepentingan negara kini sudah menjadi kepentingan belia sendiri dan cita-cita golongan belia seharusnya dipraktikkan bagi mencapai cita-cita negara.

Kemampuan dan kebolehan belia seharusnya berkembang dan tidak bertumpu hanya pada suatu aliran sahaja, kerana pada zaman yang serba membangun ini, segalanya berkembang pesat. Bagi menjamin belia agar tidak ketinggalan, eksplorasi dalam bidang sains, teknologi dan ekonomi harus menjadi keutamaan. Sesuai dengan peranannya sebagai tulang belakang bagi pembangunan negara, belia seharusnya bersifat lebih dinamik dan bersedia memberi sumbangan dalam pembangunan masyarakat. “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” hanya tinggal omong kosong sekiranya kita masih dibuai oleh angan-angan dan mimpi-mimpi sahaja.

Masyarakat meletakkan harapan pada belia hari ini untuk memberikan sumbangan dalam membentuk negara pada masa akan datang. Dalam konteks ini, golongan belia daripada pelbagai latar pendidikan tinggi dan berpengalaman diharapkan tampil ke hadapan memimpin belia dan membimbing masyarakat ke arah memajukan negara dan membela nasib rakyat khasnya golongan Melayu yang masih ketinggalan.

___

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.