Oleh HARIS ZALKAPLI

Menjelang pertemuan berprofil tinggi negara G20 di Toronto, Kanada Jun lalu, China membuat pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh Amerika Syarikat dan rakan dagang negara itu, iaitu membenarkan nilai Yuan meningkat berbanding dengan mata wang lain.

Amalan China yang mengikat mata wangnya, Yuan atau Renminbi kepada Dolar AS, dan menjadikannya bernilai rendah, dikritik oleh Amerika Syarikat dan negara rakan dagang yang lain kerana menyebabkan nilai barangan negara Asia itu sangat rendah. Keadaan ini seterusnya memberinya kelebihan yang tidak adil dalam perdagangan global.

Tindakan Beijing itu berdasarkan perancangan bank pusat China yang diketuai oleh gabenornya yang berpengaruh, Zhou Xiaochuan. Walaupun tindakan ini dilihat sebagai satu langkah untuk kebaikan ekonomi China, terutamanya dalam mengawal inflasi, tetapi hal ini masih dilihat dengan skeptikal, khususnya Amerika Syarikat.

Sejurus selepas China membuat kenyataan itu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Timothy Geithner, mengambil pendirian berhati-hati dan bersikap tunggu dan lihat. Pengumuman itu dianggap Amerika Syarikat sebagai helah China untuk mendapat berita positif dalam pertemuan G20.

Tahun lalu, China menjadikan G20 sebagai medan untuk menunjukkan pengaruhnya dalam sistem kewangan global apabila menuntut mata wang baharu sebagai rizab global. Kenyataan bank pusat China itu pada bulan lalu, memperlihatkan kemungkinan itu, juga sebagai usaha Beijing untuk mengelak isu Yuan menjadi perhatian dalam mesyuarat G20.

Walau bagaimanapun, tindakan Beijing itu juga menunjukkan kesediaan China untuk menjadikan Yuan sebagai mata wang global yang nilainya tertakluk pada sistem yang sedia ada. Tindakan itu menjadi langkah awal bagi memperdagangkan Yuan dalam pasaran dunia dan kemudian menjadikannya mata wang rizab dalam perdagangan global.

China mahu Yuan menjadi mata wang global seperti Dolar dan Yen yang diterima dalam urus niaga dan rizab. Namun demikian, dasar yang mengawal Yuan dengan ketat selama ini tidak membenarkan hal itu terjadi.

China perlu menjadikan Yuan sekurang-kurangnya mata wang pilihan negara yang berdagang dengannya dan membenarkan Yuan didagangkan dengan bebas.

Persetujuan Demi Yuan

Amerika Syarikat, negara rakan dagang terbesar China, berkemungkinan tidak menggunakan Yuan disebabkan agenda politik besarnya yang melibatkan Dolar, tetapi banyak negara lebih kecil yang lain bersedia menggunakannya.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, China sejak tahun 2008 telah mencapai enam persetujuan pertukaran mata wang, iaitu dengan Argentina, Belarus, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia yang bernilai 650 bilion Yuan atau AS$95 bilion.

Selain menjadikan Yuan sebagai mata wang perdagangan dengan negara terbabit yang sekali gus mengantarabangsakan Yuan, tindakan itu juga menunjukkan keyakinan Beijing dalam menjadikan mata wangnya sebagai mata wang perdagangan global.

Pada masa yang sama, China juga mencapai perjanjian dengan Brazil – sebuah lagi negara pesat membangun digelar BRIC (Brazil, Rusia, India China) oleh firma kewangan gergasi Goldman Sachs – untuk menjelaskan import mereka dengan mata wang masing-masing. China membayar dengan Yuan dan Brazil dengan Real, bagi mengelakkan penggunaan Dolar AS.

Hal ini menunjukkan potensi Yuan sebagai mata wang perdagangan global, sekurang-kurangnya dengan negara rakan dagang yang tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat.

Banyak negara menyokong peranan mata wang lain, terutama Euro sebagai mata wang perdagangan dan rizab, sebagai alternatif Dolar AS. Yuan tidak dilihat menjadi pilihan utama bagi negara-negara terbabit termasuk Venezuela, Iran dan Rusia.

Manakala Brazil dan beberapa buah negara lain telah menjadi rakan dagang terbesar China mengatasi Amerika Syarikat. Kepentingan China dalam perdagangan ini berpotensi menjadikan Yuan mata wang perdagangan global semakin menarik, walaupun sejauh mana hal ini dapat dilaksanakan, belum mampu disimpulkan lagi.

Hak Pengeluaran Khas bagi Yuan

Selain mata wang perdagangan, Beijing juga berusaha ke arah menjadikan Yuan mata wang rizab bagi bank pusat seluruh dunia. Agenda ini jauh lebih sukar berbanding dengan usaha menjadikan Yuan sebagai mata wang transaksi perdagangan.

Walaupun kebangkitan China hari ini kelihatan berlaku dengan pantas, diiringi dengan pelbagai potensi, banyak faktor lain perlu diambil kira, termasuklah penerusan kebangkitan itu sendiri. Peranan Yuan bergantung pada kedua-dua kekuatan, iaitu politik dan ekonomi.

Jepun, sebagai contoh, menjadikan Yen mata wang pilihan pada peringkat global, terutamanya di Asia, ketika zaman kebangkitannya pada dekad 1980-an. Tetapi kemudiannya, peranan Yen merosot pada awal dekad 1990-an. Walaupun Jepun menjadi salah sebuah negara gergasi ekonomi dalam G8, keupayaan mata wangnya sebagai mata wang pilihan global, tidak mencapai jangkaan sebagai pencabar Dolar AS dan hegemoni politik kuasa besar dunia itu.

Satu tindakan China dalam menegaskan kedudukannya dalam sistem kewangan global hari ini adalah dengan mendesak Tabung Kewangan Dunia (IMF) direformasi, serta menuntut Yuan menjadi salah satu mata wang rujukan bagi hak pengeluaran khas atau special drawing rights (SDR). Gabenor bank pusat China, Xiaochuan, pada tahun lalu, mencadangkan mata wang rizab global berdasarkan SDR bagi menggantikan Dolar AS, iaitu satu cadangan berdasarkan sikap politik Beijing.

SDR, mata wang artifisial yang memberikan gambaran tentang peranan mata wang utama dunia dicipta oleh IMF dan ditakrifkan berdasarkan Dolar, Euro, Yen dan Paun Sterling, dengan masing-masing bernilai 41 peratus, 34 peratus, 11 peratus dan 11 peratus. Langkah pertama China untuk memberikan peranan yang lebih besar kepada SDR dalam bentuk yang dikehendakinya bermula dengan menjadikan Yuan sebagai mata wang yang diambil kira dalam SDR.

Penilaian SDR dilakukan setiap lima tahun sekali, dan penilaian terbaharu akan dilakukan pada penghujung tahun ini. China mahu Yuan dimasukkan dalam SDR, dan hal ini mendapat dokongan tokoh ekonomi, Robert Mundell.

Pada tahun lalu, Mundell menjelaskan rasional Yuan dimasukkan dalam SDR dengan menyatakan bahawa yuan kini menjadi mata wang perdagangan ketiga terpenting. Mei lalu, Mundell mengulangi sokongannya kepada Yuan untuk dimasukkan sebagai salah satu mata wang SDR.

Potensi Pengantarabangsaan Yuan

Terbaharu, pada akhir Jun lalu, Bank Pembangunan Asia dalam laporannya menyebut bahawa pengantarabangsaan Yuan mungkin berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakan selama ini, dan berpotensi menjadi alternatif kepada Dolar AS.

Perbandingan Yuan dengan Dolar sering dibuat memandangkan perhatian yang lebih diberikan kepada kedua-dua mata wang ini. Kuasa yang terbabit, serta kemerosotan Dolar AS sebagai mata wang pilihan berlaku ketika potensi Yuan meningkat.

Kemerosotan Dolar AS bukan sahaja diulas oleh penentang politik dan ekonomi Amerika Syarikat, tetapi juga pernah disentuh oleh Robert Zoellick, dalam ucapannya di Sekolah Kajian Antarabangsa Lanjutan Johns Hopkins di Washington DC pada September 2009. Robert Zoellick merupakan Presiden Bank Dunia yang pernah berkhidmat dengan Goldman Sachs.

Walaupun Bank Pembangunan Asia tidak memberikan gambaran semasa bahawa hal itu berlaku, laporan itu memberikan gambaran arah pergerakan Yuan kini dan menambah keyakinan kepada pemerintah China.

Kajian Bank Pembangunan Asia dengan kerjasama Universiti Columbia itu melibatkan 11 orang tokoh ekonomi dunia, termasuk Barry Eichengreen dan Joseph Stiglitz. Kedua-dua tokoh ini bersikap kritikal terhadap IMF, walaupun Eichengreen pernah menjadi penasihat kepada badan itu.

Dolar AS sebagai mata wang pilihan sememangnya dilihat berada pada zaman kemerosotannya, tetapi kemerosotan ini cenderung diperbesar-besarkan oleh banyak pihak, seperti juga kebangkitan Yuan.

Seperti yang dijelaskan oleh pakar mata wang, Benjamin Cohen, dalam tulisannya dalam buku The Future of the Dollar, beliau memberikan penjelasan mudah, iaitu kemerosotan satu mata wang tidak secara automatik menjamin kenaikan satu mata wang lain. Cohen menjangkakan banyak mata wang yang akan bersaing dan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Secara kesimpulannya, Yuan mempunyai potensi untuk berperanan lebih besar pada masa akan datang sekiranya trajektori semasa meliputi iltizam politik dan ekonomi dikekalkan. Tawar-menawar politik dengan Amerika Syarikat dan kedudukan kuasa besar itu juga akan menjadi faktor penting dalam kebangkitan pengaruh China dan Yuan dalam sistem ekonomi dunia. Berdasarkan banyak faktor geopolitik dan ekonomi, dan peranan Yuan yang lebih besar ini, masih tidak boleh disimpulkan lagi bahawa mata wang itu bakal menggantikan peranan Dolar AS.

___

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.